Ahad, 11 Januari 2026

MINI NOVEL : PEMBUNUHAN DI VILLA EMPAT (BAHAGIAN 3)

Inspektor Qairul telah mengisytiharkan kes itu sebagai kes bunuh - bukan kes kemalangan biasa. Hasil autopsi terhadap mayat menunjukkan, terdapat tanda-tanda kekurangan oksigen yang disengajakan berlaku pada mangsa. Mangsa seperti ditekap dengan sesuatu untuk menghalang mangsa daripada bernafas. Walaupun mangsa mati akibat terhantuk di dinding, namun kedudukan badan mangsa tidak natural terjatuh. Terdapat seseorang yang menghentak kepala mangsa ke dinding. Mangsa meninggal kerana berlaku hentakan yang kuat di kepala yang menyebabkan pendarahan di kepala.  

Pak Rasul tidak mencampuri urusan siasatan secara terbuka. Dia duduk di biliknya sambil menulis - jarinya mengetuk papan kekunci secara perlahan, fikirannya laju memikirkan apa yang berlaku hari itu.

Tadi, dia ada mendengar seorang pegawai forensik memberi laporan kepada Inspektor Qairul. 

“Bila saya periksa tadi tuan, takde kesan pecah masuk dalam bilik air tu atau dalam rumah ni. Ini bermaksud, kemungkinan pembunuh tu orang dalam rumah ni. Dan orang itu mestilah orang yang mangsa kenal.” Jelas pegawai forensik itu. 

“Begitu…” Gumam Inspektor Qairul. “Ada apa-apa lagi yang pelik?” 

“Hmmm…ada beberapa antaranya kunci bilik air tak rosak serta luka di belakang kepala Dato Osman begitu tepat dan kemas. Maksudnya, tidak berlaku serangan secara rawak. Jadi, sudah jelas tuan. Ini bukan kemalangan tetapi pembunuhan.” Sambung pegawai forensik itu. 

Mendengar apa yang dinyatakan oleh pegawai forensik itu, Pak Rasul mula berfikir. Dia sejak awal sangat yakin yang sebenarnya Dato Osman dibunuh. Tapi, siapa pula yang bunuh? Apa motif pembunuhannya? Dan senjata apa yang pembunuh guna? 

Pak Rasul mula memikirkan semua orang yang berada di rumah itu. Di cuba mencari tahu siapa dalam kalangan mereka yang mungkin membunuh Dato Osman. Nama Datin Hanini, Soleh, Johari, Ezany, Fazli dan Hazeem bermain-main di fikirannya. Siapakah di antara mereka yang tergamak membunuh Dato Osman? Atau adakah pekerja-pekerja di rumah itu yang melakukannya? 


**********


Malam itu, Pak Rasul melihat Johari berada di taman kecil Villa Empat. Pak Rasul segera menuju ke arah Johari dan duduk di sebelahnya.

“Pakcik faham kamu sedih. Ye la, ahli keluarga kita meninggal kan? Siapa yang tak sedih. Tapi, sebagai anak lelaki kamu kena kuat. Kamu kena kuat untuk ibu kamu.” Ujar Pak Rasul. 

Johari diam sahaja. Tidak menunjukkan sebarang reaksi. 

“Saya tak sedih pun Pak Rasul. Saya okay je. Lagipun saya rasa elok juga ayah mati.” Balas Johari. 

“Ish, apa kamu cakap macam tu. Tak baik tau. Dia tu ayah kamu.” Kata Pak Rasul. 

“Ayah susah la Pak Rasul. Dia nak ikut kepala dia je. Dia suka tentukan hidup orang.” 

“Maksud kamu?” 

“Daripada kecil saya selalu kena ikut sahaja kehendak ayah. Tak boleh bantah. Kalau bantah ayah akan marah dan mengamuk. Contohnya, saya tak minat nak ambil business kat UK. Tapi ayah paksa juga. Saya hanya mampu bertahan satu semester je lepas tu saya tukar ambil muzik. Ayah dapat tahu, ayah marah besar. Dia stop kan pembiayaan saya. Dia kata kalau nak belajar muzik, guna duit sendiri. Akhirnya saya ambil juga business tapi di universiti yang lain.” Johari bercerita. 

“Biasalah tu…tiada bapa yang sempurna dalam dunia ni.” 

“Tapi ayah terlalu teruk. Dia suka mengongkong. Terlalu mengongkong. Kalau saya boleh putar masa, saya nak tukar ayah saya dengan orang lain. Saya tak nak ayah saya sekarang.” 

“Sabar nak…Pak Rasul tahu kamu marah tapi ayah kamu dah takde dah. Kamu sebagai anak kena maafkan kesilapan dia.”

“Sangat bagus ayah kena bunuh. Mesti juga pembunuh tu dah lama sakit hati dengan ayah. Saya tak dapat nak bunuh ayah, tapi orang lain dah buat. Bagus!” Kata Johari. Dia kemudiannya bangun dan masuk ke dalam rumah. Pak Rasul sekadar memandang sambil menggelengkan kepala. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.