Memaparkan catatan dengan label ulas novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ulas novel. Papar semua catatan

Isnin, 18 Jun 2018

ULAS NOVEL : HARTINI KARYA AZIZ AFKAR

Image result for hartini novel
Sumber : Google


Novel ini adalah sebuah novel lama. Sudah agak lama juga saya mencarinya. Bapa saya ada menceritakan bahawa novel amat sedih apabila dibaca. Ramai orang menangis gara-gara membacanya. Atas sebab itulah saya tertarik untuk membacanya.

Saya menemui novel ini ketika saya sedang mencari buku di perpustakaan universiti saya. Saya bersyukur kerana saya menemui novel ini di sana.

Saya tidaklah menangis tatkala membaca novel ini. Cuma perasaan sedih itu memang tidak dapat dinafi. Hal ini kerana, bukan sahaja novel imi memaparkan kisah cinta yang tidak kesampaian, malah watak-watak utamanya juga yang menemui kematian.

Novel ini menarik bagi saya kerana bahasa yang digunakan oleh penulis amat indah dan puitis. Jarang saya membaca sebuah novel yang bahasanya begitu indah dan puitis. Penulis seperti Aziz Afkar ini ialah penulis yang jarang-jarang ditemui. Allahyarham adalah umpama sebatang jarum yang jatuh ke dalam timbunan jerami.  

Bahasa yang indah dan puitis itu dapat dilihat dengan ketara dari sudut surat-surat yang dihantar antara watak-wataknya (misalnya surat Amli kepada Hartini). Sungguhpun bahasa yang digunakan dalam surat itu adalah bahasa yang biasa, namun cara penulis menulis surat itu sangat indah bahasanya.

Tema yang dibawa oleh novel ini memang agak biasa ditemui yakni kisah cinta terhalang antara seorang pemuda miskin yang tidak berpelajaran bernama Amli dengan seorang gadis yang bergelar guru (sudah tentu berpelajaran) bernama Hartini.

Meskipun tema yang diketengahkan oleh penulis itu ialah tema yang biasa ditemui, namun cara penulis menggarap novel ini amat berbeza sama sekali. Meskipun Amli itu tidak berharta, namun Hartini tidaklah memandang hina kepadanya. Sebaliknya Hartini terus membantu Amli untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Dan ternyata dengan bantuan yang dihulurkan oleh Hartini itu telah membuatkan Amli dapat menjadi seorang penulis yang terkemuka.

Amli itu seorang yang miskin tetapi berbakat sebagai penulis. Dengan bantuan Hartini, Amli berjaya menjadi seorang penulis. Kisah Amli sebagai penulis amatlah menarik minat saya untuk terus menhadam novel ini. Hal ini kerana, kerjaya sebagai seorang penulis itu amat subur dalam jiwa saya sejak dahulu lagi.

Meskipun novel ini menarik, namun jalan cerita novel ini bergerak dengan amat perlahan. Saya terpaksa beberapa kali menangguhkan pembacaan. Oleh sebab itulah untuk terus menghadam novel ini pembaca perlu mempunyai kesabaran. Hal ini kerana, pembaca akan mudah berasa bosan.  

Watak Amli ialah watak tipikal orang miskin dalam novel-novel Melayu. Beliau digambarkan sebagai seorang yang amat merendah diri, suka memperlihatkan dirinya sebagai manusia hina dihadapan orang lain dan seorang yang amat pemalu.

Watak Hartini pula ialah watak tipikal wanita dalam novel-novel Melayu. Hartini digambarkan sebagai seorang perempuan yang manja, lemah, mudah menangis, selalu berserah pada nasib dan pemalu.

Masalah dalam kisah cinta antara Amli dan Hartini ini ialah komunikasi dan keberanian. Jika mereka berdua atau salah seorang daripada mereka berani untuk meluahkan perasaan, pasti mereka tidak akan mengalami penderitaan. Barangkali juga Amli dan Hartini boleh hidup dalam kebahagiaan.

Oleh kerana mereka tidak mempunyai keberanian untuk berkomunikasi, Amli bersetuju untuk bertunang dengan Azimah (kawan Hartini) meskipun tiada perasaan cinta di hatinya. Amli memilih Azimah kerana berasa kasihan memandangkan Azimah begitu bersungguh untuk mendapatkan dirinya.

Hartini pula, oleh kerana berasa sedih dengan pertunangan Azimah dan Amli, terus berada dalam keadaan kecewa dan makan hati. Akhirnya dia jatuh sakit sehingga mati. Amli sendiri pun akhirnya mati kerana sudah tiada lagi Hartini di sisi.   

Novel ini menjadi pengajaran, seandainya kita mencintai seseorang, kita meski mempunyai keberanian untuk meluahkan perasaan. Kita mesti berani untuk menyatakan (baca : berkomunikasi) cinta kita kepada orang yang kita cintai. Jika kita tidak berani berkomunikasi, kita sendiri yang akan makan hati.

Aziz Afkar sebagai penulis amat bijak memainkan emosi pembaca melalui novel ini. Perasaan sedih itu pasti menjalar dalam diri pembaca seusai membaca novel ini.

Meskipun novel ini adalah sebuah novel yang bermutu tinggi, tetapi novel ini bukanlah novel yang saya gemari. Novel sebegini tidak berjaya membuat saya untuk mengulang bacanya berkali-kali.   

Ahad, 3 Jun 2018

ULAS NOVEL : IKAN FUGU, LUKISAN DAN JIMSON (SIRI DETEKTIF INDIGO) KARYA FAISAL TEHRANI

Sumber : Google


Sebenarnya ini kali pertama saya membaca karya Faisal Tehrani. Saya tahu beliau mempunyai nama besar dalam dunia kesusasteraan di Malaysia. Dan saya juga tahu beliau dikagumi oleh ramai penulis muda. 

Sebenarnya juga inilah kali pertama saya membaca novel bersiri ini. Novel ini mempunyai tiga siri. Namun, saya memilih untuk membaca siri Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson pada waktu ini. (Entah mengapa saya memilih siri ini di perpustakaan tempoh hari). 

Saya sebenarnya peminat novel yang berunsur thriller atau penyiasatan.  Novel-novel Ramlee Awang Murshid dan novel-novel terbitan syarikat Fixi adalah antara novel-novel yang biasa saya hadamkan.

Saya tidak pasti sama ada novel-novel dalam Siri Detektif Indigo ini ditulis untuk golongan awal remaja ataupun bukan. Namun, saya fikir novel-novel dalam siri ini lebih sesuai untuk dibaca oleh golongan awal remaja yakni pelajar-pelajar sekolah menengah.    

Saya tidak pasti sebaik mana karya-karya yang ditulis oleh Faisal Tehrani kerana saya belum pernah lagi membaca karya-karya beliau yang lain. Walau bagaimanapun, jika hendak dibuat perbandingan antara Ramlee Awang Murshid dan Faisal Tehrani setakat ini, saya akan meletakkan Ramlee lebih baik penulisan novel thrillernya berbanding Faisal. 

Barangkali setelah membaca karya Faisal yang lain, pandangan saya mungkin berubah. Seperti mana dahulu, saya ialah peminat tegar kepada novel-novel Ramlee. Namun, setelah membaca novel-novel Fixi, pandangan saya berubah sama sekali. Saya beranggapan bahawa novel-novel terbitan Fixi lebih baik daripada novel-novel yang ditulis oleh Ramlee terutama dari sudut pergerakan jalan cerita. Namun, dari segi mutu bahasa, pastilah novel-novel yang ditulis oleh Ramlee lebih baik. Walau bagaimanapun, idea yang dipersembahkan oleh Ramlee dan penulis-penulis Fixi adalah sama hebat.   

Berbanding Faisal (dari sudut novel ini), jelas Ramlee lebih bijak mengolah jalan cerita. Sebuah misteri dan teka-teki dalam tangan Ramlee dapat dikembangkan dengan amat sempurna sehingga mencakupi keseluruhan novel. Berbeza dengan Faisal, beliau pada hemat saya agak kurang bijak (mungkin disengajakan) mengembangkan jalan cerita dalam novel ini. Oleh sebab itulah, jika dibaca novel ini, terdapat tiga misteri yang berlainan. 

Dalam novel-novel Ramlee, Ramlee akan membawakan misteri dan teka-teki yang berat untuk dihadam oleh pembaca. Meskipun berat, pembaca tidak akan rasa terbeban untuk menghadamnya (meskipun pembaca itu pelajar sekolah menengah) kerana Ramlee mempersembahkannya dengan jalan cerita yang amat menarik. Novel-novel seperti Mikhail, 9 Nyawa, Ungu Karmila, dan Rahsia Perindu boleh membuktikannya. Faisal pula pada hemat saya sekadar membawa misteri dan teka-teki yang ringan dan bersahaja dalam novel ini. 

Ini dapat dilihat dalam dua daripada tiga misteri yang dipaparkan. Misteri pertama adalah misteri pembunuhan Farzad dan misteri kedua ialah misteri kematian Raveena. Hanya misteri yang ketiga yang berbeza iaitu misteri kehilangan lukisan. 

Teka-teki dan unsur suspen dalam setiap novel-novel Ramlee disusun dengan amat baik. Pembaca sukar untuk memecah teka-teka yang dipersembahkan oleh Ramlee seandainya pembaca tidak sampai ke pengakhiran cerita. Walau bagaimanapun, dalam novel Faisal ini, pada misteri pembunuhan Farzad, sudah boleh dipecahkan teka-tekinya. Maksudnya di sini, pembunuh sebenar kepada Farzad itu sudah boleh diteka siapa meskipun misteri itu belum pun diselesaikan. 

Namun begitu, dalam misteri kehilangan lukisan dan misteri kematian Raveena, pencuri dan ‘pembunuh’ sebenar agak sukar diketahui sehinggalah misteri tersebut diselesaikan. Pujian haruslah diberi kepada Faisal dari sudut itu. 

Novel ini menjadi lebih menarik seandainya kesemua misteri yang ada diselesaikan oleh detektif yang sama. Dalam novel ini, ketiga-tiga misteri diselesaikan oleh detektif yang berlainan. Tambah ‘merosakkan’ jalan cerita, ketiga-tiga misteri itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. 

Novel-novel Ramlee meskipun hanyalah bersifat fantasi, namun masih berpijak kepada realiti. Berbeza dengan novel ini, meskipun logik, namun gagal berpijak kepada realiti. Maktab Indigo yang melahirkan kesemua detektif indigo dalam novel ini adalah sesuatu yang saya kira tidak berpijak kepada realiti. 

Watak-watak dalam novel ini kebanyakannya boleh berkomunikasi secara telepati. Meskipun perkara tersebut wujud, namun sedikit sebanyak kuasa telepati itu telah ‘merosakkan’ jalan cerita terutama dalam mengesan pembunuh sebenar dalam misteri pembunuhan Farzad. 

Faisal adalah seorang penulis yang dituduh berfahaman Syiah. Saya cuba untuk tidak mahu terperangkap dalam tuduhan tersebut ketika membaca novel ini. Ini novelnya yang pertama saya baca jadi saya tidak boleh membuat sebarang persepsi awal mengenai perkara itu. 

Selain daripada nama ‘Tehrani’ yang menjadi nama pena Faisal yang dikaitkan dengan ibu negara Iran (yakni Tehran), watak-watak dalam novel ini juga turut menggunakan warganegara Iran seperti Farzad dan Wildan. Jadi, tuduhan tersebut boleh dianggap benar seandainya kita tidak berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap Faisal. 

Tidak dapat dinafikan, baik Faisal mahupun Ramlee, kedua-dua mereka sememangnya seorang penulis yang bukan sahaja berbakat sebagai penulis tetapi juga sangat banyak membaca. Banyak infomasi dan maklumat berguna boleh ditemui dalam novel mereka. Tambahan pula, kedua-dua mereka sememangnya membuat kajian yang terperinci terlebih dahulu sebelum menggerakkan pena mereka untuk mereka menulis. 

Kedua-dua mereka juga dilihat cuba merapatkan jurang perkauman yang agak besar di negara ini. Pelbagai bangsa telah digunakan sebagai watak dalam novel-novel mereka. Percubaan mereka meskipun dilihat belum berjaya (bukan gagal!), tetapi haruslah dipuji.

Saya belum membaca lagi karya-karya Faisal yang lain seperti 1515, Perempuan Nan Bercinta, Sebongkah Batu Di Kuala Berang, Karbala dan sebagainya. Novel-novel dalam Siri Detektif Indigo ini pun baru sebuah saya sempat baca. Jadi kehebatan Faisal sebagai penulis belumlah dapat saya beri pujian dengan sebaiknya. Namun, saya amat yakin, sebagai penulis yang biasa dipuji dan dianggap hebat oleh ramai penulis, Faisal tentulah seorang penulis yang bukan calang-calang.        


Selasa, 26 September 2017

ULAS NOVEL : SUAMIKU DAJJAL KARYA AIMAN BANNA



Novel didaktik! Itulah tanggapan awal ketika saya mula-mula menatap novel ini. Ternyata tanggapan awal saya itu tidak tersasar sama sekali (seusai saya membacanya). Sifat didaktik memang wujud di dalam novel ini.

(Nota : novel didaktik adalah novel yang cuba mengajar pembaca tentang sesuatu perkara. Novel jenis ini sarat dengan ilmu atau unsur khutbah di dalamnya.)

Tanggapan awal itu muncul apabila melihat nama penulisnya. Aiman Banna adalah penceramah agama muda yang memang terkemuka. Kerjayanya sebagai penceramah agama itu sedikit sebanyak dituangkan ke dalam novelnya.

Meskipun novel ini didaktik sifatnya, namun saya masih lagi boleh sampai ke pengakhiran cerita. Ini berbeza ketika novel Imam karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein yang pernah saya baca. Sehingga sekarang saya masih belum tahu lagi apa kesudahannya. Ini kerana, jalan cerita novel itu bukan sahaja bergerak dengan sangat perlahan, unsur khutbah di dalamnya juga terlalu berlebihan. 

Saya tidak kata semua novel yang bersifat didaktik itu tidak seronok dibaca. Novel Sebarkan Cintamu karya Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin adalah sebuah novel didaktik yang masih seronok dibaca meskipun unsur khutbah sangat banyak di dalamnya. Membaca novel itu bukan sahaja mengundang keseronokkan, malah ilmu juga boleh kita dapatkan.

Walau bagaimanapun, novel ini bukanlah bersifat didaktik serba-serbi. Novel ini tidak kuat sifat didaktiknya seperti mana kedua-dua novel yang telah saya sebutkan di atas tadi. Unsur khutbah itu tidaklah terlalu mendominasi.

Saya yakin novel ini masih belum mencapai tahap yang dikehendaki oleh Gagasan Persuratan Baru (cetusan Mohd Affandi Hassan yang disokong oleh Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir dan Prof Madya Dr Zariat Abdul Rani). Seandainya novel Imam itu pun masih gagal mengikut kehendak gagasan itu, novel ini saya fikir lebih rendah daripada itu.

Walau bagaimanapun, saya tetap mahu mengatakan bahawa novel ini mempunyai kelasnya yang tersendiri. Meskipun tema dan persoalan yang dikemukakan amat biasa ditemui, namun Aiman bijak menggarapnya dengan cara yang agak berbeza sama-sekali. Unsur-unsur cliché begitu sukar untuk dijumpai.

Teknik penulisan novel yang berasaskan dua sudut pandang yang berbeza (watak Adam Wafiy dan Anis Safia) amat jarang digunapakai oleh novelis di Malaysia. Kebiasaan novelis di Malaysia menggunakan sudut pandang orang pertama atau sudut pandang daripada pelbagai watak-wataknya. Penggunaan teknik penulisan sebegini membuatkan novel ini berbeza dengan novel-novel lain yang ada di pasaran sana.

Seperti mana novel-novel didaktik lain yang pernah saya baca, novel ini juga lebih kurang sama sifatnya terutama dari segi pergerakan jalan cerita. Jalan cerita dalam novel ini bergerak dengan agak perlahan. Membacanya perlu diusung dengan penuh kesabaran. Saya beberapa kali terpaksa menangguhkan pembacaan.

Saya fikir situasi yang berulang-ulang seperti situasi di pesta buku itu perlu dielakkan (terutama pada Bab 11 dan Bab 12). Meskipun situasi itu digarap dari dua sudut pandang yang berbeza, namun membacanya tetap diikuti dengan rasa bosan juga. Ini kerana, situasi tersebut sudah pun diketahui oleh pembaca.

Watak adalah antara unsur terpenting untuk menjadikan sesebuah novel itu mempunyai tarikan. Aiman sedaya upaya untuk menjadikan watak Adam Wafiy sebagai watak yang mempersonakan. Tetapi percubaan Aiman itu telah menemui kegagalan. Watak Adam masih gagal untuk menjadi satu daya tarikan kepada keseluruhan jalan cerita. Watak Adam masih gagal untuk memukau pembaca.

Meskipun watak Adam digambarkan sebagai watak yang penyabar, tabah, tenang, berilmu, mempunyai iman yang tinggi, dan telah menempuh pelbagai dugaan, tetapi watak ini masih gagal melekat di ruang fikiran (pembaca). Saya fikir Aiman perlu mengembangkan lagi watak Mujahid Aiman (nama Aiman Banna sendiri?) atau watak Ameerul Mukmin atau watak Aniq Hamdi supaya mempunyai lebih peranan. Ini bagi membolehkan novel ini mempunyai watak yang lebih mempersonakan (sekiranya Aiman mahu kekalkan watak Adam dengan cara sebegitu). 
 
Aiman agak bijak menimbulkan unsur suspen dalam novel ini. Pembaca pasti tertanya-tanya siapakah Encik Kopiah yang sering disebut secara acapkali (oleh Anis Safia). Meskipun watak Encik Kopiah itu sudah boleh diteka siapa, namun Aiman bijak menyembunyikan watak itu di pertengahan cerita. Pembaca pasti tertanya-tanya dan terkeliru mengenai watak Encik Kopiah yang sebenarnya. Identiti sebenar Encik Kopiah hanya terbongkar setelah pembaca sampai ke akhir cerita. Unsur suspen yang digarap oleh Aiman ini telah dilakukan dengan agak sempurna.

Bagi saya, cara Adam Wafiy mengenakan Anis Safiya semasa percutian ke Lombok dan London itu adalah sesuatu yang perlu ditukar sebenarnya. Saya tidak fikir cara sebegitu boleh mengundang ‘sweet moment’ dalam diri pembaca. Saya yakin Aiman pasti dapat menghasilkan ‘sweet moment’ yang lebih baik lagi sebenarnya.

Memandangkan novel ini didaktik sifatnya, sedikit sebanyak ilmu yang terkandung di dalam novel ini boleh diserap oleh pembaca. Novel yang bersifat didaktik ini memang bagus sebenarnya. Cuma janganlah diperlahankan pergerakan jalan cerita. Kelak rasa bosan pasti akan menyelubungi diri pembaca.

Seperti yang telah saya sebut di atas tadi, novel ini berada di kelasnya yang tersendiri. Novel ini walau apa pun tetap juga boleh dipuji. Saya mengharapkan Aiman boleh menulis novel yang lebih baik daripada novel ini. Semoga Aiman Banna akan terus berkarya lagi.


Rabu, 23 Ogos 2017

ULAS NOVEL : KAMPUS KARYA SYAFIQ AIZAT




Rasa yang hadir semasa membaca novel Kampus karya Syafiq Aizat ini sama seperti ketika membaca novel Gantung karya Nadia Khan juga. Hal ini kerana, novel ini sebenarya tidak ubah seperti ‘carbon copy’ kepada novel Gantung yang telah lama saya baca. Watak dan perwatakan dalam novel ini adalah lebih kurang sama. Cuma jalan ceritanya sahaja yang agak berbeza. 

Watak Dani adalah jelmaan watak Gibbs dalam novel Gantung sebenarnya. Watak Atiqah dan watak Lara pun begitu juga. Kedua-dua watak tersebut adalah watak jelmaan watak Fara dan Deepa sahaja. Mujur Syafiq menjelmakan watak Dean (walaupun masih ada unsur persamaan) dan watak Daud dalam novel ini. Jika tidak, pasti novel ini dianggap (ulang : dianggap) meniru novel Gantung serba serbi.  

Menelusuri jalan cerita dalam novel ini umpama ‘berlari di sebuah taman dengan penuh keterujaan’. Ini kerana, jalan cerita dalam novel ini tidak dileret-leretkan. Jalan ceritanya bergerak dengan penuh kepantasan. Namun masih boleh dinikmati dengan penuh rasa keseronokan.

Kekurangan dalam novel ini adalah terletak pada watak Dani sebagai watak utama. Watak ini digambarkan sebagai nakal, gila seks, kacak, buaya darat, menyakitkan hati, perasan bagus, suka memandang rendah pada orang lain, dan kaya-raya. Dia melakukan seks dengan ramai perempuan dengan menggunakan rupa kacak dan kekayaan ibunya. Dia menang jawatan ketua kolej pun menggunakan cara yang sama.

Memandangkan Syafiq sebagai penulis telah menggambarkan Dani sebagai watak utama dengan cara sebegitu, maka novel ini sudah hilang moral dan mutu. Watak Dani yang bersifat antagonis itu memang tidak layak langsung untuk menjadi watak utama. Syafiq sebagai penulis seolah-olah menggambarkan ‘kejahatan’ adalah sesuatu yang sempurna dan mesti diterima.

Tidak salah untuk menggunakan watak yang ‘jahat’ sebagai watak utama. Tetapi mestilah ada balasan yang setimpal yang sewajarnya Dani diterima. Tetapi Dani dilihat baik-baik sahaja di akhir cerita. Jelas menunjukkan yang Syafiq tidak mahu langsung mengubah Dani untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Dani terus kekal begitu sehingga ke akhirnya. Cuma barangkali dia berubah menjadi baik sedikit (ulang : sedikit) kesan daripada pembunuhan yang dilakukan oleh Krampus yang menghantui hidupnya. Saya tidak pasti adakah Syafiq memang cuba untuk menabalkan ‘kejahatan’ di dalam novelnya?

Ironinya, watak Daud yang sudah berubah dan sering diperlekehkan oleh Dani, boleh pula bertemu dengan Krampus pada pengakhiran novel ini. Mengapa Daud yang tidak banyak melakukan dosa (kalau ada pun cuma bersubahat sahaja), perlu ‘dihukum’ sedangkan Dani yang paling banyak melakukan dosa, masih lagi hidup dengan bebas dan gembira? Saya tidak pasti apakah tujuan Syafiq menimbulkan unsur paradoks sebegitu rupa. 

‘Kejahatan’ itu tidak berlegar-legar pada watak Dani sahaja. ‘Kejahatan’ yang ditabalkan dengan penuh rasa gembira oleh Syafiq itu wujud pada watak-watak penghuni blok A yang lain juga. Watak Dean yang merupakan kawan baik kepada Dani lebih kurang sama. Dia digambarkan gemar melakukan seks dengan ramai perempuan di dalam kelas yang berbeza-beza di universiti tersebut bagi memuaskan nafsunya.  

Dengan wujudnya watak Dani sepanjang pembacaan, fikiran pembaca telah disesakkan. Pembaca akan lebih terkesan dengan watak Dani yang penuh kenakalan (?) berbanding keseluruhan jalan cerita di ruang fikiran. Pembaca pasti mahu riwayat Dani segera ditamatkan (oleh Krampus). Namun, di akhir cerita, Dani masih boleh lagi menikmati hidupnya dengan penuh keriangan. Bahkan, dia boleh membongkar identiti sebenar Krampus dengan jayanya. Segala kekurangan yang membelengu dirinya (seperti orang berkawan dengannya kerana harta dan bukan kerana ikhlas atau suka memperlekehkan orang lain) seolah-oleh tidak memberi kesan besar kepadanya atau berupaya mengubah dirinya. 

Adalah lebih baik jika watak Haziq dijadikan sebagai watak utama. Meskipun watak ini tidaklah sebaik mana, tetapi dia lebih baik daripada Dani sekurang-kurangnya. Peranan yang dimainkan oleh watak ini agak besar juga. Cuma mungkin Syafiq suka menabalkan ‘kejahatan’ di dalam novelnya, maka watak Haziq kekal sebagai ‘hero’ yang kedua. 

Namun begitu, novel ini masih mempunyai watak yang mempersonakan. Watak Dr Maimon (tetapi Dani menggelarnya Datin Maimon) adalah watak yang mempunyai kekuatan. Meskipun watak ini adalah watak sampingan, namun dari segi kewibawaan dan kebijaksanaan, watak ini memang tiada tandingan. Watak ini – dalam mengawal Dani – penuh dengan keupayaan. Cuma watak ini telah dirosakkan dengan kenangan silam yang penuh kepahitan. 

Meskipun novel ini adalah sebuah novel thriller, namun unsur suspen agak kurang di dalamnya. Unsur suspen yang ada hanya satu sahaja iaitu untuk meneka siapakah Krampus yang sebenarnya. Meskipun watak-watak yang mencurigakan itu ada, namun tidak ditimbulkan dengan sempurna. Jadi, unsur suspen yang ada dalam novel ini adalah kurang berjaya.

Menikmati unsur suspen dalam novel ini dan unsur suspen dalam novel-novel Ramlee Awang Murshid memang banyak perbezaan. Menikmati dan melayani unsur suspen dalam novel Ramlee memang cukup menyeronokkan. Novel Mandatori, Fiksyen 302, Ranggau, 9 Nyawa, Aku Bercerita, Aku Darah Anak Malaysia, Mikhail, Unggu Karmila, dan sebagainya mempunyai unsur suspen yang cukup berkesan. Cuma dari segi jalan penceritaan, novel-novel Ramlee perlu ditelusuri dengan penuh kesabaran. Membaca novel-novel Ramlee umpama mendaki sebuah gunung yang tinggi sambil kepala diisi dengan beribu pertanyaan. 

Apabila watak Adi telah tertangkap sebagai Krampus yang melakukan pembunuhan dengan sebanyaknya, ia bukanlah sesuatu yang bersifat luar jangka. Watak Adi tidak mempunyai peranan yang besar di dalam novel ini. Maka, pendedahan Adi sebagai Krampus itu langsung tidak mengejutkan sama sekali. 

Berbeza dengan Cik Humaira yang didedahkan sebagai Krampus kedua, barulah boleh dikata sebagai luar jangka. Cik Humaira yang sentiasa berperwatakkan ‘baik’ semasa berhadapan dengan Dani itu, tidak disangka berupaya untuk melakukan pembunuhan dengan kejam sebegitu.

Seandainya Syafiq sebagai penulis menggunakan watak Haziq atau watak Atiqah sebagai sebagai Krampus bagi menggantikan watak Adi, pasti kejutan akan lebih terserlah lagi. Tetapi sayangnya Syafiq menggunakan watak Adi. Maka kejutan itu tidak dapat ditimbulkan dengan baik sekali. 

Bukanlah mahu dikata watak Adi itu tidak sesuai untuk dijadikan sebagai kejutan sama sekali, tetapi Adi tidak mempunyai peranan besar di dalam novel ini. Seperti dalam novel-novel Ramlee Awang Murshid misalnya, setiap watak mempunyai peranan yang besar di dalam cerita. Setiap watak mempunyai potensi untuk menjadi penjahat utama. Maka, pembaca pasti akan diasak dengan tanda tanya untuk mencari siapakah penjahat yang sebetulnya.

Walaupun novel ini adalah sebuah novel yang menyeronokkan, tetapi membacanya kurang memberi kepuasan. Kepuasan akan timbul jika Dani yang banyak dosa itu menerima hukuman atau sekurang-kurangnya memperoleh keinsafan. Justifikasi hukuman yang hendak dikenakan ke atas Dani wajar juga disertakan.  Ia tidak lain dan tidak bukan sebagai satu peringatan kepada pembaca supaya kesalahan itu tidak wajar diulangi. Tetapi ingin ditegaskan sekali lagi bahawa Syafiq sebagai penulis memang sengaja membiarkan kejahatan itu berleluasa dan tidak terhukum di dalam novel ini. Perlu diingatkan bahawa setiap perbuatan baik atau jahat memang tidak akan terlepas dari sebarang pembalasan sama sekali. Antara novel Gantung dan novel Kampus, novel Kampus saya fikir lebih bagus lagi!