Memaparkan catatan dengan label Isu semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu semasa. Papar semua catatan

Ahad, 21 Mac 2021

MASALAH PN IALAH EGO

Semua orang tahu hubungan antara UMNO dengan PPBM-PAS tidaklah mesra pada masa sekarang. Meskipun mereka berada di bawah satu kumpulan yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN), namun hubungan mereka dingin meskipun tidak tegang.

Mereka bersatu kerana dua perkara. Pertama, kerana ingin memelihara kerajaan yang mereka pegang ini agar tidak jatuh dan kedua, kerana berkongsi agama,  bangsa dan bahasa yang sama (secara majoritinya).

Mereka baru sahaja menjadi kerajaan namun hubungan mereka menjadi keruh. Hubungan mereka keruh kerana masing-masing mempunyai ego.

UMNO ego kerana mereka merasakan bahawa mereka adalah 'abang besar' dalam perikatan itu. Hal ini terjadi kerana mereka biasa menjadi ketua semasa mereka mengetuai Barisan Nasional dahulu. Tambahan pula, mereka mempunyai jumlah kerusi terbanyak di Parlimen.

PPBM ego kerana mereka merasakan bahawa mereka ketua dalam perikatan itu memandangkan pemegang jawatan Perdana Menteri itu datang dari parti mereka. Oleh kerana jumlah kerusi Parlimen mereka kecil, mereka berusaha untuk merampas kerusi milik UMNO dalam pilihan raya akan datang. Bukan itu sahaja, mereka juga cuba merampas ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian.

Memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai sikap ego, sepatutnya PAS perlu memainkan peranan penting sebagai jambatan penghubung hubungan baik antara UMNO dan PPBM. Namun PAS tidak bertindak seperti itu. PAS dilihat cenderung menyebelahi PPBM dalam banyak perkara.

Kerana sikap ketiga-tiga parti itu begitu, maka hubungan UMNO dan PPBM bukan sahaja dingin malah bertambah keruh. Terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa UMNO mahu keluar daripada perikatan itu. Desas-desus itu menjadi bertambah betul apabila terdapat beberapa ahli parlimen UMNO yang tidak lagi menyokong kerajaan PN. 

Ini adalah suatu perkara yang tidak sihat. PN yang dilihat rapuh itu bertambah rapuh. Kerajaan PN yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin mungkin boleh tumbang pada bila-bila masa.

Kerajaan PN dilihat tidak tumbang kerana perlaksanaan darurat. Tanpa darurat, barangkali kerajaan PN ini telah lama jatuh.

Tidak diketahui apa akan berlaku pada PRU 15 akan datang. Adakah UMNO-BN akan kekal lagi bersama PN atau bergabung pula dengan parti-parti pembangkang lain seperti PKR-Amanah-DAP?

Menjadi tanda tanya juga, adakah UMNO akan bertanding menentang PPBM-PAS di beberapa kerusi parlimen? Dan jika mereka bertanding sesama sendiri, siapa yang akan menang?

Adakah UMNO-BN berupaya untuk menjadi kerajaan semula selepas PRU-15 nanti? Atau adakah Pakatan Harapan masih berupaya merampas kembali kerajaan Persekutuan atau adakah PPBM-PAS akan terus kekal menjadi kerajaan seperti hari ini?

Sesungguhnya politik ialah cabang seni serba mungkin dan tidak wujud ukuran yang jelas untuk membuat apa-apa ketetapan. 

Rabu, 17 Mac 2021

VAKSIN COVID-19 TELAH DITEMUI

Banyak negara mendakwa bahawa mereka telah menemui vaksin untuk menyembuhkan orang-orang yang terkena virus Covid-19.

Pada saya itu adalah suatu perkara yang amat baik. Jika benar vaksin itu telah ada, molek kiranya vaksin itu disebar ke seluruh dunia dengan segera. Malaysia wajar beli vaksin yang telah dicipta itu untuk diberi kepada rakyatnya.

Penemuan vaksin itu adalah penting bukan sahaja kepada penduduk dunia tetapi juga kepada rakyat Malaysia. Vaksin tersebut bukan sahaja dapat menyembuhkan orang-orang yang terkena virus, tetapi juga dapat melepaskan diri kita semua daripada perintah kawalan pergerakan sekaligus dapat menyelamatkan ekonomi keluarga, negara dan dunia.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa vaksin yang dipukul canang di merata-rata itu benar-benar ada dan bukannya sekadar penyedap halwa telinga. Perlu diingatkan juga bahawa vaksin yang telah ditemui itu mestilah halal, bersih dan selamat untuk digunakan oleh orang-orang Islam di Malaysia. 

Saya berasa amat bersyukur jika vaksin penyembuh virus penyakit Covid-19 ini telah ditemui. Hal ini kerana saya sudah tidak tahan lagi melihat masyarakat kita berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP). PKP ini bukan sahaja menyukarkan pergerakan orang untuk ke mana-mana malah merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Ekonomi negara terencat kerana ramai orang hilang punca pendapatan.

Orang ramai bukan sahaja kehilangan kerja, malah peniaga-peniaga kecil dan sederhana juga mengalami kerugian kerana kekurangan pelanggan. Orang yang kehilangan kerja atau dipotong gajinya tidak dapat lagi berbelanja seperti biasa. Justeru, peniaga kecil dan sederhana tidak mendapat pelanggan sekaligus hilang keuntungan.

Apabila ramai orang hilang kerja atau dipotong gajinya, dan ditambah pula peniaga kecil dan sederhana kurang pelanggan dan keuntungan, duit tidak mengalir dalam perjalanan ekonomi negara. Apabila ekonomi negara berjalan lembab, maka itu boleh memberi risiko ekonomi negara menjadi runtuh.

Kerajaan, saya yakin pasti sedang berusaha untuk mengekang perkara tersebut daripada berlaku. Dan salah satu caranya ialah dengan mencari vaksin penyembuh dengan segera.

Tidak tahu bilakah vaksin itu boleh sampai segera kepada kita semua. Dan adakah vaksin itu benar-benar selamat untuk digunakan seandainya vaksin itu sampai kepada kita.

Moga-moga vaksin yang telah ditemui itu boleh segera sampai kepada kita. Dan setelah vaksin itu sampai, boleh digunakan kepada kita dengan selamat dan berkesan. Jika vaksin telah ditemui, orang kehilangan kerja boleh mencari kerja semula. Orang yang dipotong gajinya boleh mendapat gaji penuh. Dan peniaga yang kekurangan pelanggan boleh menambah pelanggan sekaligus keuntungan.

Selasa, 20 Oktober 2020

MASALAH AIR : SAMPAI BILA?

Sumber : Google 

Baru-baru ini masalah ketiadaan air berlaku lagi di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Ramai pengguna di kedua-dua negeri itu terjejas kehidupan mereka gara-gara ketiadaan air. 

Masalah putus bekalan air ini bukanlah baru. Isu ini sudah lama berlaku. Seingat saya, sepanjang lapan tahun saya menetap di negeri Selangor, baik sebagai mahasiswa universiti mahupun sebagai seorang pekerja, masalah putus bekalan air ini acapkali berlaku. Dalam setahun, bekalan air terputus beberapa kali. 

Saya tidak arif akan masalah yang dihadapi oleh kerajaan negeri Selangor dan pihak yang mengurus bekalan air di negeri tersebut sehingga membuatkan masalah air acapkali berlaku. Namun begitu, jika ada masalah, sepatutnya masalah itu diselesaikan. Tidak sepatutnya masalah itu berlarutan begitu lama. 

Masalah tidak akan selesai jika tidak diselesaikan. Sepatutnya kerajaan negeri Selangor (tidak kira parti mana pun yang mentadbir) perlu mencari jalan penyelesaian segera untuk menghentikan masalah ini daripada terus berlaku. Sampai bila rakyat negeri Selangor dan penduduk Kuala Lumpur harus menderita akibat ketidakcekapan kerajaan negeri Selangor dan pihak berwajib menguruskan bekalan air. 

Semua orang tahu bahawa air adalah keperluan penting untuk manusia. Air bukan sahaja digunakan untuk mandi dan minum, tetapi juga untuk mencuci, bersuci malah berwuduk. Jika bekalan air terputus secara acapkali, banyak aktiviti dalam kehidupan seharian penduduk di negeri Selangor dan Kuala Lumpur akan terjejas. 

Entah sampai bila penduduk Selangor dan Kuala Lumpur perlu berhadapan dengan isu masalah air ini. Dan entah bila lagi masalah putus bekalan air ini akan menyerang penduduk negeri Selangor dan Kuala Lumpur. 

Semua (ulang : semua) pihak yang terlibat dalam isu air di negeri Selangor dan Kuala Lumpur perlu mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini. Satu langkah dan tindakan berkesan perlu diambil bagi mengatasi masalah ini secepat mungkin. Jika tidak, pasti masalah putus bekalan air akan terus berlaku sampai bila-bila. 

Sampai bila isu putus bekalan air ini hendak berlarutan berlaku? Tidak kasihankah mereka melihat rakyat bawahan menderita akibat tiada bekalan air secara kerap? Tidak ada rasa tanggungjawabkah dalam diri mereka untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin? 

Ahli politik yang sibuk bercakaran sesama sendiri untuk merebut jawatan Perdana Menteri eloklah berfikir dan mencari jalan penyelesaian untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Daripada mereka sibuk memikirkan strategi untuk menjadi Perdana Menteri, amatlah molek jika mereka boleh memikirkan strategi untuk menyelesaikan masalah ini demi kebaikan rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur. 

Masalah bekalan air ini sepatutnya diselesaikan oleh semua pihak yang terlibat lama dahulu. Jangan kerana ego politik dan kemalasan kita membuat kerja, rakyat bawahan yang tidak tahu apa-apa menjadi mangsa. 


Ahad, 14 Jun 2020

MN TIDAK WAJAR SERTAI PN

Mufakat Nasional (MN) yang dianggotai oleh UMNO dan PAS sekarang ini berada dalam Perikatan Nasional (PN) bersama GPS dan PPBM. Mereka bersama-sama menubuhkan kerajaan yang berketuakan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Sejak dari awal lagi saya memang tidak bersetuju MN menubuhkan kerajaan bersama PN. Saya lebih suka MN menjadi pembangkang sekarang seterusnya menjadi kerajaan pada PRU akan datang.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran pemimpin-pemimpin MN sehingga sanggup menubuhkan kerajaan bersama PN. Mereka sudah mempunyai kedudukan yang selesa sebagai pembangkang dan bakal menjadi kerajaan pada PRU-15 tetapi mereka masih mahu menjadi kerajaan bersama PN.

Walau apa pun yang dikata oleh rakyat jelata, sama ada setuju atau tidak setuju, MN sudah pun menubuhkan kerajaan bersama PN. Ada di antara pemimpin-pemimpin MN sudah dilantik menjadi menteri, timbalan menteri dan mengetuai GLC.

PPBM itu parti yang bermasalah ketika bersama PH. Meskipun UMNO itu juga parti bermasalah, namun ketika mereka menjadi pembangkang, imejnya sudah pulih sedikit demi sedikit. Rakyat sudah pun boleh menerima parti itu meskipun mereka secara beramai-ramai menumbangkannya pada PRU yang lalu. Buktinya, UMNO menang dalam hampir semua pilihan raya kecil bersama PAS.

Apabila MN menubuhkan kerajaan bersama PN, imej PPBM yang bermasalah itu turut terpalit kepada MN. Imej UMNO yang sudah pulih sedikit itu kembali rosak akibat bersama PPBM dalam PN.

Bergabung bersama PPBM dan kumpulan Azmin yang keluar dari PKR itu sudah tidak bagus. Menubuhkan kerajaan bersama mereka tambah tidak bagus. Sudahlah kerajaan ini dilihat goyah, masalah yang timbul dan diserang oleh pembangkang pula membuatkan kerajaan ini tambah goyah.

Memang dilihat sekarang tidak ada perseteruan secara nyata antara PPBM dan MN. Tetapi kita tidak tahu apakah sikap berbaik-baik antara parti dalam PN ini akan kekal sehingga PRU akan datang. Dikhuatiri apabila tiba masa PRU dan apabila tiba jumlah pembahagian kerusi, mereka bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati.

PAS dan UMNO dilihat gabungan yang cantik membentuk MN. Apabila mereka bersama PPBM dan sekutunya membentuk PN, gabungan itu sudah tidak dilihat cantik lagi.

Tidak diketahui adakah parti-parti yang membentuk PN ini akan kekal sehingga PRU akan datang. Adakah mereka akan bertanding sesama sendiri atau bertanding bersama melawan PH yang diketuai oleh Anwar dan Mahathir.

Seeloknya MN tidak kekal dalam PN sehingga PRU-15. MN itu sudah dilihat kuat dan berupaya melawan PH. Jika MN kekal dalam PN, dikhuatiri mereka akan bertelagah sesama sendiri untuk merebut kerusi dan banyak kerusi perlu dikorbankan.

Jika benar PPBM ikhlas berjuang bersama MN, elok dibubarkan sahaja PPBM dan masuk semula ke dalam UMNO. Sekalian ahli PPBM itu dari Pengerusi dan Presiden sehinggalah ke akar umbi adalah bekas ahli UMNO belaka.

Sejak dari awal lagi sepatutnya MN tidak menubuhkan kerajaan bersama PN. Tetapi oleh kerana sekalian orang UMNO dan PAS tidak sabar mahu menjadi kerajaan biarpun seketika, mereka tetap juga mahu menubuhkan kerajaan bersama PN.

Sekarang MN sedang menghadapi masalah bersama PN. Tidak diketahui adakah rakyat masih boleh menerima MN ataupun tidak. Jika majoriti rakyat tidak boleh menerima, peluang untuk MN menjadi kerajaan pada PRU akan datang semakin tipis.

Sepatutnya dari awal lagi MN tidak bergabung dengan PN. Bergabung dengan PN itu adalah satu keputusan yang salah. 

Ahad, 7 Jun 2020

MUHYIDDIN WAJAR BUBAR PARLIMEN

Kemelut politik negara masih berterusan sehingga ke hari ini. Meskipun negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, namun ahli-ahli politik masih bercakaran sesama sendiri untuk merebut kuasa. Entah apa yang boleh menghentikan mereka.

Ketika negara berada dalam masalah, ahli-ahli politik Pakatan Harapan yang diketuai oleh Anwar dan Mahathir masih mahu merebut kuasa daripada Muhyiddin. Mereka tidak fikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah rakyat dan negara tetapi mereka fikir bagaimana mahu menjadi kerajaan semula.

Kerajaan Muhyiddin Yassin yang dilihat goyah terus goyah dengan pelbagai isu yang melanda. Sukar kita mahu kata kerajaan Muhyiddin ini suatu kerajaan yang kuat. Bukan sahaja bilangan ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin boleh dipersoalkan, bahkan pembangkang sendiri terus menyerang kerajaan Muhyiddin dengan pelbagai isu sama ada besar ataupun remeh.

Langkah terbaik yang boleh Muhyiddin lakukan ialah membubarkan parlimen untuk memecah segala kebuntuan ini. Biar rakyat memilih semula kerajaan yang mereka kehendaki sama ada Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan. Maka, dari situ, sudah tidak timbul lagi desas desus yang kerajaan Muhyiddin ini adalah sebuah kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti

Itupun jika Perikatan Nasional boleh menang. Jika rakyat masih mahu lagi memilih Pakatan Harapan untuk menjadi kerajaan, maka Pakatan Harapan-lah yang akan menang.

Namun begitu, masih adakah rakyat Malaysia yang masih mahu Pakatan Harapan menjadi kerajaan jika parlimen dibubarkan? Barangkali ada dan itu pun mereka yang buta matanya, buta hatinya, liberal pemikirannya, dan rosak akidahnya.

Tidak ada rakyat Malaysia yang waras mahu Pakatan Harapan menjadi kerajaan semula setelah prestasi buruk yang mereka tunjukkan semasa 22 bulan mereka menjadi kerajaan. Jika ada pun, pastilah jumlahnya tidak ramai.

Insha Allah, dengan ketokohan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri cemerlang yang ditunjukkan semasa mengawal penularan wabak Covid-19, dan dengan sokongan UMNO, PAS dan GPS, maka Perikatan Nasional masih berupaya menjadi kerajaan semula.

Muhyiddin tidak perlu risau jika kalah dalam pilihan raya umum nanti kerana sokongan Melayu dan Islam amat besar di belakang beliau. Saya yakin Perikatan Nasional pasti dapat menjadi kerajaan semula jika sekalian pemimpin yang ada dalam gabungan itu bijak merancang strategi untuk memenangi hati rakyat sama ada Melayu atau bukan Melayu.

Kesimpulannya, hanya dengan membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum sahaja yang mampu mengembalikan kestabilan politik di dalam negara kita.. 

Isnin, 23 Mac 2020

MEMBACA SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN



Apabila kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19, serta meminta orang ramai supaya duduk di rumah dan tidak ke mana-mana, pastilah sebilangan daripada kita akan berasa bosan. Maklum sahajalah, jarang sekali kita diberi cuti dalam tempoh masa yang lama. Jika kita mengambil cuti (bagi orang yang bekerja), pastilah ada urusan yang hendak kita selesaikan. Dan apabila kita cuti, pastilah kita akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Jarang kita cuti duduk di rumah sahaja.  


Saya samalah seperti anda semua turut sama duduk di rumah dan tidak ke mana-mana. Bagi menghilangkan rasa bosan yang datang bertandang, selain daripada bermain telefon pintar dan mengemaskini blog yang sudah tebal sawangnya, saya menghabiskan hari-hari cuti saya ini dengan membaca.


Membaca adalah suatu aktiviti yang saya gemari. Namun, sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan, aktiviti ini sedikit demi sedikit saya mula tinggalkan. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja, maka saya semakin kurang membaca. Maklum sahajalah, menyelesaikan urusan kerja saban hari itu amat memenatkan. Apabila pulang ke rumah, yang kita tahu hanyalah untuk tidur sahaja. Tiada masa untuk menelaah buku dan membaca.


Tidak seperti tahun-tahun saya bergelar mahasiswa (2012 – 2018), aktiviti pembacaan sangat rancak ketika itu. Dalam sebulan saya boleh menghabiskan kira-kira dua buah buku. Apabila saya membaca, banyak maklumat terbaru yang saya terima. Pengetahuan saya akan sentiasa lebih daripada kawan-kawan yang sekuliah dengan saya. Apabila pensyarah bertanya tentang sesuatu isu atau topik, mudah sahaja saya mengupas isu atau topik tersebut kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.


Walau bagaimanapun, alam bergelar mahasiswa tidaklah sama dengan alam bergelar seorang pekerja. Alam bergelar mahasiswa lebih lapang masanya berbanding alam bergelar seorang pekerja. Tambahan pula, dunia seorang mahasiswa begitu tebal dengan perjuangan dan idealisme. Maka, membaca untuk menambah pengetahuan itu bukanlah asing dalam diri seorang mahasiswa.


Mungkin ada hikmah disebalik perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan sehingga 31 March ini. Bagi orang seperti saya yang renggang daripada aktiviti membaca, bolehlah kembali semua menjalinkan hubungan dengan aktiviti membaca.


Sebelum-sebelum ini saya ada membeli beberapa buah buku. Namun, buku-buku tersebut saya sekadar beli sahaja kemudian saya simpan di rak buku di rumah saya. Jika saya baca pun hanya sedikit sahaja kemudian saya simpan semula di rak. Entahlah, saya sendiri tidak tahu mengapa, sejak saya bukan lagi bergelar mahasiswa, aktiviti membaca bagi saya adalah suatu aktiviti yang amat membosankan!


Oleh itu, sempena perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, maka saya akan kembali semula ke ranah pembacaan. Mana-mana buku yang saya beli tetapi saya tidak sempat baca, akan saya habiskan sepanjang tempoh ini.


Buku-buku yang hendak saya habiskan itu ialah : (1) Dari Menara KL – Abd Jalil Ali (2) Entiti – Syafiq Aizat (3) Kopi O Tanpa Gula – Abd Jalil Ali (4) Agama dan Hagemoni Negara – Benz Ali (5) Jangan Selewengkan Sejarah Melayu – Helmi Effendi.    


Itulah senarai buku yang hendak saya tamatkan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini. Moga-moga tuhan memberi saya kekuatan untuk saya menghabiskannya.


Bagi anda di luar sana pula, sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan ini, moleklah anda melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca misalnya. Janganlah habiskan cuti anda ini dengan aktiviti tidur sahaja. Jika tidak mahu membaca, carilah aktiviti berfaedah lain yang boleh anda lakukan. Semoga anda sentiasa sihat dan selamat di luar sana.





Jumaat, 12 Oktober 2018

JANGAN ANGKUH DENGAN RAKYAT YB!

Sumber


Tular baru-baru ini video seorang ADUN DAP merangkap exco kerajaan negeri Melaka, YB Nurhizam Hassan Baktee yang berkelakuan tidak sepatutnya kepada penduduk Kampung Pulau Nibong yang mengadu masalah mereka kepada beliau. Jelas dalam video itu, beliau bersikap angkuh apabila berhadapan dengan rakyat. 

Perkara semacam ini bukanlah pertama kali terjadi. Sebelum ini pun, telah tular video beliau di laman sosial berkenaan sikap yang sama.

Jelas kelihatan wakil rakyat daripada Pakatan Harapan ini masih belum menyesuaikan dirinya sebagai wakil rakyat. Sama ada beliau belum lagi untuk belajar kaedah untuk menjadi wakil rakyat seperti yang sepatutnya ataupun sememangnya sikap beliau begitu, tidaklah kita ketahui. Namun, sikap yang beliau pamerkan itu bukan sahaja merosakkan imej seorang wakil rakyat, malah merosakkan imej DAP, imej Pakatan Harapan dan imej kerajaan negeri Melaka secara keseluruhannya.

Tidak sepatutnya beliau mempamerkan sikap ala gangster begitu apabila berhadapan dengan rakyat. Rakyat sememangnya mempunyai pelbagai masalah yang perlu diselesaikan. Menjadi tugas wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Apabila rakyat datang mengadu masalah mereka kepada wakil rakyat, sepatutnya masalah itu didengari, dibawa berbincang dan cuba untuk diselesaikan. Jika tidak dapat diselesaikan, cubalah berbincang semula dengan rakyat dengan cara yang baik. Mempamerkan sikap ala gangster begitu bukanlah cara yang betul.

Sepatutnya apabila beliau bertanding untuk bergelar seorang wakil rakyat, maka beliau sepatutnya sudah bersedia untuk berhadapan dengan seribu masalah rakyat. Lebih-lebih lagi apabila beliau dilantik sebagai salah seorang exco kerajaan negeri. Maka, beliau sepatutnya sudah tahu bahawa beliau pasti akan berhadapan dengan banyak masalah rakyat dan segala masalah itu perlu diselesaikan.

Jika beliau sudah bersedia untuk bergelar seorang wakil rakyat maka sudah pasti insiden memalukan itu tidak akan muncul. Namun, oleh kerana beliau tidak bersedia, maka jadilah seperti yang kita lihat pada hari ini.

Tidak diketahui mengapa beliau tidak bersedia untuk berhadapan dengan masalah rakyat sedangkan beliau sendiri bertanding dan dipilih sebagai wakil rakyat. Justeru, bolehlah diragui niat sebenar beliau menjadi seorang wakil rakyat. Sama ada benar-benar untuk membantu rakyat atau untuk kepentingan-kepentingan tertentu yang bersifat peribadi.

Beliau sebagai seorang wakil rakyat perlu belajar bagaimana untuk menjadi seorang wakil rakyat yang berwibawa dan boleh diterima oleh semua. Terdapat ramai pemimpin dalam Pakatan Harapan yang bagus-bagus boleh beliau temui dan pelajari. Jika beliau tidak mempelajari bagaimana untuk menjadi wakil rakyat yang betul, maka insiden sebegitu pasti akan berulang lagi pada masa akan datang.

UMNO-BN kalah pada PRU yang lalu kerana ramai wakil rakyat dan pemimpinnya bersikap angkuh dengan rakyat. Meskipun keangkuhan mereka tidak tular seperti mana YB Pengkalan Batu itu, tetapi sekian ramai rakyat merasakan bahawa ramai pemimpin UMNO-BN bersikap angkuh kepada mereka. Maka, rakyat secara beramai-ramai menghukum mereka dalam PRU yang lalu.

Jangan sampai apa yang berlaku kepada UMNO-BN itu boleh berlaku kepada YB Pengkalan Batu dan Pakatan Harapan. Perkara semacam itu bukanlah mustahil untuk berlaku. Rakyat memberi mandat kepada PH untuk memerintah Melaka sekaligus Malaysia adalah untuk memastikan negara ini berubah. Dengan sikap yang dipamerkan oleh YB Pengkalan Batu itu, perubahan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian rakyat jelata semakin jauh nampaknya.   


Sabtu, 22 September 2018

SEBAB TOK PA KELUAR UMNO


Terkejut semua apabila Dato’ Sri Mustapha Mohamed keluar UMNO baru-baru ini. Tidak disangka politikus yang mesra dengan panggilan Tok Pa itu boleh mengambil tindakan sedemikian. Selepas Tok Pa mengambil keputusan keluar UMNO, Datuk Seri Anifah Aman pula menuruti langkah beliau. 

Tok Pa bukanlah seperti Khairy Jamaluddin yang sering tidak sejalan dengan pandangan dan pemikiran popular pemimpin UMNO yang lain. Setakat yang diketahui, Tok Pa dilihat tidak banyak bersuara semenjak UMNO menemui kekalahan mereka pada PRU-14 yang lalu. Tiba-tiba sahaja beliau mengambil tindakan keluar UMNO. Pastilah sekian ramai penggamat politik tanah air berasa terkejut.

Pastilah Tok Pa memberi alasan yang muluk-muluk untuk menghalalkan tindakan beliau keluar UMNO itu. Bukan Tok Pa sahaja, mana-mana politikus pun akan turut melakukan perkara yang sama. Hanya beliau sahaja yang tahu sebab sebenar mengapa beliau mengambil tindakan sedemikian.

Tindakan politikus keluar daripada parti politik ini bukanlah perkara yang baru. Sebelum Tok Pa, sudah ramai politikus yang mengambil tindakan seperti beliau. Ada pelbagai sebab sebenarnya mengapa seseorang politikus itu mengambil peluang untuk keluar daripada parti yang disokongnya selama ini selama puluhan tahun.

Antara sebab seseorang politikus itu keluar parti ialah : (1) kerana prinsip perjuangan (2) kerana dibeli oleh pihak tertentu (3) kerana ditekan oleh pihak tertentu dan (4) kerana kepimpinan parti tidak menunaikan kehendak peribadi.    

Jika seseorang politikus itu keluar daripada sesebuah parti politik kerana prinsip perjuangannya yang suci dan murni tidak mengapalah juga. Namun, jika mereka keluar kerana sebab-sebab yang bersifat peribadi atau melibatkan kepentingan diri sendiri, sesungguhnya politikus itu adalah politikus yang bertaraf sampah sahaja.

Tindakan Tok Pa keluar UMNO itu membuatkan UMNO bertambah derita. UMNO sudahlah menderita sejak kalah dalam PRU yang lalu, kini semakin derita apabila seorang demi seorang pemimpin utamanya keluar. Bilangan kerusi UMNO di Parlimen semakin kecil hari demi hari.

Tidak diketahui berapa ramai lagi pemimpin UMNO yang lain hendak keluar atau lompat parti. Telah ditularkan ada beberapa lagi pemimpin UMNO yang hendak keluar. Semakin kecil nampaknya bilangan kerusi UMNO di Parlimen.  

Ada yang berpandangan bahawa bagus juga jika ramai lagi yang mahu keluar UMNO. Menurut mereka, biarlah yang tinggal dalam UMNO itu pemimpin yang ingin berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Bukan pemimpin yang mengharapkan kuasa dan harta sahaja.

Perkembangan mutakhir UMNO ini pastilah menimbulkan rasa gembira kepada penyokong parti lawan. Mereka pasti gembira kerana mereka percaya UMNO akan semakin terkubur. Harap kegembiraan mereka itu tidaklah berpanjangan. Hal ini kerana, tidak mustahil pemimpin parti mereka pun boleh keluar daripada parti masing-masing jika keadaan memaksa.

Ingatlah, tiada apa pun yang mustahil dalam dunia politik. Kata penulis politik Sayuti Omar : jangan pernah percaya dengan sumpah dan janji orang politik tetapi jangan rasa mustahil dengan tindakan orang politik.

Tok Pa seorang pemimpin yang berintegriti dan berwibawa. Harap apa yang Tok Pa lakukan itu adalah semata-mata untuk agama, bangsa dan negara dan bukan kerana sebab-sebab peribadi yang lain. 

Selasa, 31 Julai 2018

BUKTI MELAYU BUKAN BANGSA PENDATANG DI MALAYSIA

Image result for melayu
Sumber

 Sebelum kita pergi ke tajuk utama, eloklah kita ketahui dahulu asal-usul perkataan 'Melayu' itu sendiri. Ada pandangan yang kata nama “Melayu” ni direka²; terutamanya dalam kalangan ilmuan barat ketika menjajah negara kita dulu.

Contohnya,ada yang kaitkan perkataan “Tanah Melayu” dengan William Marsden. Manakala perkataan 'bangsa Melayu' pula dikaitkan dengan Stamford Raffles dan Munshi Abdullah.

Sebenarnya, sebelum mereka ni lahir dah lama perkataan Melayu ni digunakan. Malahan sejarawan Portugis bernama Tomé Pires (1468-1540 M) pernah guna perkataan “Terra de Tana Malaio” untuk rujuk Tanah Melayu.

PERKATAAN 'MELAYU' SUDAH WUJUD SEAWAL 645 MASIHI

Perkataan 'Melayu' ni dah lama wujud.Seorang ahli geografi bernama Ptolemy (90-168 masihi) dalam karyanya pernah sebut “Maleu-Kolon” yang bermaksud Melayu Barat/Tanah Melayu.

Dua abad lepas tu pulak,perkataan “Malayadvipa” yang bermaksud pulau bergunung dijumpai kat kitab berbahasa Sanskrit. Pulau bergunung ni maksudnya Tanah Melayulah.

Sekitar tahun 645 Masihi, ada satu kerajaan yang dinamakan Melayu kat Jambi, Sumatera.Punyalah power kerajaan ni, diorang siap hantar utusan kat Empayar China masa tu. Seorang pengembara China yang pernah lawat Melayu tulis tempat tu sebagai “Ma-La-Yu”.

Nama Melayu ni semakin dikenali apabila nama Kerajaan Melaka yg terkenal dengan kemakmuran dan kekuasannya di Tanah Melayu. Biar pun diorang tak guna nama kerajaan Melayu, tapi Kerajaan Melaka ni boleh beri gambaran identiti Melayu – bahasa Melayu, adat Melayu dan agama Islam.

“Orang Melayu Melaka dianggap Melayu sebenar (bukan kacukan) dan bahasa mereka dianggap bahasa Melayu sungguh (piawai).
– Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh

Daripada maklumat-maklumat kat atas, bolehlah kita simpulkan yang nama “Melayu” ni memang dah lama wujud.

ORANG MELAYU PERANTAU/PENDATANG DARI TAIWAN?

Sebut je pasal asal-usul orang Melayu, mesti banyak teori yang korang pernah dengar. Banyak je teori-teori tu takde sumber, nasib baik takde orang yang kata Melayu datang dari bulan.

Salah satu teori yang terkenal bila kita sembang tentang asal-usul Melayu adalah 'Teori Keluar dari Taiwan'.Teori ni telah dibawakan oleh Peter Bellwood dan disokong oleh ramai ilmuan barat.

Teori ni sebut bahawa sekitar 4,000 tahun lalu rumpun manusia Austronesia atau Malayo-Polynesia, termasuklah orang Melayu seperti yang dikenali di Malaysia-Indonesia-Brunei-Singapura telah berhijrah jauh dari selatan negeri China dan lalu kat Taiwan. Masa tu takde grab lagi, diorang jalan kaki kot.

Diorang berhijrah sebab tempat asal dah padat sangat dengan penduduk.Dan diorang ni memang pakar dalam bidang pertanian. Memandangkan dulu BR1M belum ada, diorang dapat survive menggunakan ilmu pertanian yang tinggi.

KAJIAN 'ORANG MELAYU DARI BENUA SUNDA' PATAHKAN TEORI KELUAR DARI TAIWAN

Teori Keluar dari Taiwan tadi dikatakan takde bukti yang kukuh, sebabnya orang kat Asia Tenggara dah lama mahir dalam ilmu pertanian dan maritim.

Ada satu kajian yang tolak teori Keluar dari Taiwan tu.Pengkaji ini yakin orang Melayu bukan berhijrah tapi memang asalnya dari Tanah Melayu.Kajian yg di beri nama 'Orang Melayu Keluar dari Benua Sunda' ini dipelopori oleh Dr. Stephen Oppenheimer.

Kajian ni jelaskan, sekitar 16,000 tahun dulu (sebelum zaman batu berakhir) – Asia Tenggara ni merupakan satu tanah yang lebih besar dari India. Maksudnya semua negara dalam Asia Tenggara ni adalah satu tanah je, takdenya terpisah macam sekarang.

Tapi, ada satu banjir besar yang buatkan negara-negara kat Asia Tenggara ni terpisah macam sekarang. Agaknya banjir level zaman nabi Nuh kot.

Sebab banjir besar ni orang Melayu terpaksa berhijrah ke Taiwan,Indo-China dan Madagascar.
 
Unsur banjir besar dalam kajian ni penting sebab ia memang selari dengan perubahan iklim dan legenda banjir besar yang pernah melanda Asia Tenggara.

Kajian ni membuktikan yang sebenarnya orang Melayu bukanlah pendatang, tapi memang dah menetap kat sini lebih 10,000 tahun dulu.

“Pada tahun 2009, Human Genome Organisation mememui bukti genetik yang selaras dengan teori yang dikemukakan oleh Oppenheimer. Bukti itu menyarankan bahawa sebaran kependudukan di Asia berlaku melalui kepulauan Asia Tenggara, tanpa penghijrahan dari tanah besar Asia.” – Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh

BUKTI SAINTIFIK BUKTIKAN MELAYU BUKAN KAUM PENDATANG

Selalunya ada orang yang tak percaya dengan bukti-bukti sejarah ni, sebab diorang kata sejarah boleh je dikarang oleh sesiapa yang ada kuasa.Jadi di sini ingin ditegaskan bahawa 'Kajian Benua Sunda' ni datang dengan bukti saintifik!.

• BUKTI SAINTIFIK PERTAMA
 
Pada 28 Mei 2008 Universiti Oxford keluarkan satu laporan dengan tajuk “New DNA Evidence Overturns Population Migration Theory In Island Southeast Asia”.

Laporan ni menegaskan yang orang kat Tanah Melayu ni memang dah berasal dari sini.Proses perhijrahan memang berlaku.Tapi penghijrahan itu adalah melibatkan orang Melayu keluar dari Tanah Melayu sampailah ke Taiwan.Banjir besar tu mungkin boleh jadi salah satu sebab kenapa berlaku penghijrahan ini.

• BUKTI SAINTIFIK KEDUA
 
Seperti mana yg di ketahui umum,melalui ujian DNA kita boleh mengesahkan dari mana sesuatu pihak itu berasal.

Terdapat satu kajian genetik yang dijalankan bagi membuktikan kesahihan teori Benua Sunda ni. Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2005 bertajuk 'Y-Chromosome Evidence of Southern Origin of the East Asian-Specific Haplogroup 03-M122'.
Dalam kajian tersebut ada di nyatakan:
 
“Corak ini menunjukkan bahawa penempatan pertama manusia moden di Asia Timur berlaku di tanah besar Asia Tenggara semasa Zaman Ais terakhir, bertepatan dengan ketiadaan fosil manusia di Asia timur, 50,000-100,000 tahun yang lalu.” – Kajian Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh

• BUKTI SAINTIFIK KETIGA

Bukan setakat kajian saintifik je.Malahan ia di sokong oleh seorang pakar antropologi bernama Janet Montgomery McGovern yg berasal dari Taiwan).

Menurut Janet,di Taiwan ada satu upacara tradisi tahunan oleh sebuah komuniti yg di kenali sebagai orang Amis.Upacara tradisi itu adalah untuk memperingati nenek moyang diorang yang naik perahu dari selatan (Asia Tenggara).

*Sila Google untuk lihat gambar orang Amis.

Mengikut orang Amis,nenek moyang mereka berasal dari pulau Lan Yu diTaiwan.Dan di Pulau Lan Yu ni pula,ada satu puak yg di kenali sebagai Yami.Nenek moyang puak Yami ni datang dengan perahu dari kepulauan Batan di utara Luzon, Filipina.
Jadi perkara ini membuktikan yang orang Melayu memang pernah berhijrah keluar dari Asia Tenggara.

3 KELOMPOK IDENTITI MELAYU

Daripada bukti-bukti yang dikemukakan dalam kajian Prof. Md. Salleh ni, kita dapat tahu yang sebenarnya orang Melayu bukan dari Taiwan.

Kalau ikut kajian ni,identiti Melayu boleh di bahagikan kepada tiga kelompok:
 
• Kelompok Pertama
 
- Kelompok 'Malayo-Polynesia' iaitu yang tinggal kat Tanah Melayu atau mereka yang dah berhijrah. Kumpulan ni terdiri daripada banyak kaum seperti yang di ceritakan di atas.

• Kelompok Ke- 2.
 
Kedua pulak, Melayu di Kepulauan Melayu – termasuk di Filipina dan Melayu yang telah berhijrah ke Afrika Selatan, Sri Lanka, dan barat Australia.

• Kelompok Ke- 3.
 
Yang ketiga pulak adalah yang kat Malaysia ni. Identiti Melayu kat Malaysia ni ditentukan oleh Perlembagaan Negara.

Seorang pakar perbandingan anatomi bernama Dr. Johann Friedrich Blumenbach memberi gambaran tentang fizikal orang Melayu;
“Berkulit Tawny; rambut hitam, lembut, kerinting, tebal dan berlimpah; kepala agak kecil; dahi sedikit bengkak; hidung penuh. Hidup di pulau-pulau India berhampiran Semenanjung Melaka, serta Sandwich [Hawai`i]."

UNTUK YANG BUTA SEJARAH,SILA BACA

Ramai je yg fikir orang Melayu ni asal-usulnya adalah daripada kerajaan Melaka, padahal orang Melayu dah wujud berpuluh ribu tahun dulu.

Daripada kajian Prof. Md. Salleh ni, kita dapat tahu yang Melayu memang asal dari Tanah Melayu. Jadi kalau ada yang kata orang Melayu ni pendatang, bolehlah tunjukkan artikel ni pada mereka.

“Melayu itu orang yang bijaksana, nakalnya bersulam jenaka, budi bahasanya tidak terkira, kurang ajarnya tetap santuni, jika menipu pun masih bersopan, bila mengampu bijak beralas tangan.”– Usman Awang, Sajak Melayu.

PS: Maklumat artikel ini adalah hasil kajian yang bertajuk :"Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu: Ke arah Pencerahan yang Dinantikan" ditulis oleh Prof. Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dari USM.

Artikel ini disalin tampal daripada Facebook : Ziefenz Zee