Ahad, 25 Januari 2026

MISTERI RESTORAN HIJAU

“Dalam tempoh lapan bulan terakhir, empat kanak-kanak telah hilang dari bandar tu. Yang pertama ialah Zahrah, gadis kecil berusia lapan tahun dengan rambut ikal, yang kali terakhir dilihat oleh ibu bapanya semasa keluar rumah untuk membeli ayam goreng. Lepas tu, Mustaqim, budak lelaki sepuluh tahun, menghilang selepas keluar bermain dengan kawan-kawan. Natasha, tujuh tahun, hilang semasa bermain di taman permainan dan yang terbaru, budak kecil bernama Afiq, sembilan tahun, yang hilang dua minggu lepas setelah pergi membeli pizza. Inspektor Zahidi dari Balai Polis Tanjung Kemuning yang menyiasat kes ni telah mengkasifikasikan kes itu sebagai ‘hilang akibat kemalangan’ atau ‘lari dari rumah’. Tetapi ibu bapa dan penduduk sekitar situ tak percaya.” Terang Datuk Yusri, Timbalan Ketua Polis Negara kepada Inspektor Husni dari Unit Paranormal dan Misteri PDRM yang duduk di hadapannya sekarang. 

Inspektor Husni mendengar penerangan Datuk Yusri dalam keadaan diam. Dia fokus dengan apa yang didengarnya sambil otaknya terus berjalan. Dia memandang fail kes yang berada di atas meja hadapannya. 

“Kes ni pelik dan dah ditutup oleh Inspektor Zahidi. Jadi, aku nak kau siasat kes ni. Gunakan segala cara agar kes ni selesai.” Sambung Datuk Yusri lagi. 

“Baik Datuk.” Balas Inspektor Husni. Dia kemudiannya terus keluar dari ruang pejabat Datuk Yusri. 

Dia kemudiannya memandu kereta menuju ke Bandar Tanjung Kemuning, sebuah bandar kecil yang sedang pesat membangun. Banyak rumah kedai didirikan di kawasan itu melambangkan bandar itu sedang menyaksikan pembangunan ekonomi yang rancak. 

Inspektor Husni meletakkan kenderaannya di pinggir jalan. Dia keluar dari perut kereta dan memandang sekeliling. Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Jalan raya di bandar itu belum lagi sesak. Mungkin bandar ini tidak sesibuk bandar Kuala Lumpur atau mungkin juga masih terlalu pagi untuk penghuni bandar keluar dari rumah mereka untuk menjalankan urusan. 

Inspektor Husni mengambil telefon pintarnya dari dalam saku. Dia menghubungi Aini, seorang pustakawan separuh masa yang bertugas di Perpustakaan Awam Negeri. Aini banyak membantunya mencari maklumat dan menyelesaikan misteri.  

“Aini, aku sekarang kat Bandar Tanjung Kemuning. Apa yang best kat sini ye?” Soal Inspektor Husni. 

“Situ tak banyak. Setahu aku yang paling popular kat situ Restoran Hijau Rasa. Restoran tu ada jual pizza dan ayam goreng. Ramai orang cakap sedap.” 

“Kat mana restoran tu?” 

“Alamak, aku tak ingat la. Tapi restoran tu semuanya dicat dengan warna hijau. Seingat aku, itu je satu-satunya restoran yang sepenuhnya berwarna hijau kat bandar tu.” 

“Ohh…okay takpe. Nanti aku cari. Terima kasih Aini.” 

“Sama-sama.” 

 

                                                                            ***********


Inspektor Husni meletakkan keretanya di hadapan sebuah restoran besar yang dicat warna hijau lumut. Restoran itu terletak di sebuah tanah lapang. Ada banyak parking di kawasan itu bagi para pelanggan yang mahu singgah dan makan di restoran itu. Setahu Inspektor Husni, itulah kedai yang paling besar dan dibina bersendirian di Bandar Tanjung Kemuning. Lain-lain kedai kebanyakannya berada di rumah kedai. Bangunan yang paling besar sekali di bandar itu adalah bangunan milik Pasar Raya JC Penney. Hanya pasar raya itu yang dapat menandingi kemegahan bangunan Restoran Hijau Rasa.  

Jam pada waktu itu sudah pukul 12.00 tengah hari. Sudah banyak kereta yang diletakkan di hadapan kedai itu. Mungkin mereka mahu menikmati hidangan tengah hari berupa pizza dan ayam goreng yang disediakan di restoran itu. 

Inspektor Husni memerhatikan keadaan sekeliling restoran itu. Selain mempunyai tempat meletak kereta yang besar dan luas, di belakang restoran itu ada sebuah bukit yang ditutupi dengan rimbunan dedaun pokok. Lokasi restoran itu dibina sangat bagus menurut Inspektor Husni. Ada tempat parking yang luas di bahagian hadapan dan ada bukit yang dilengkapi hutan kecil di bahagian belakang. 

Inspektor Husni berjalan menghampiri restoran itu. Reka bentuk restoran itu ringkas sahaja. Dibina dalam bentuk segi empat dan mempunyai dua tingkat. Bau pizza berinti keju cair dan ayam goreng rangup menyeruak keluar menjentik deria bau Inspektor Husni.  

Inspektor Husni pun melangkah masuk ke dalam restoran. Saat memasuki restoran, aroma ayam goreng bercampur dengan bau lembap hutan menyambutnya. Restoran itu mengamalkan kaedah layan diri dalam penyediaan makanannya sama seperti KFC dan McDonald. Inspektor Husni menuju ke kaunter. Seorang lelaki dalam lingkungan akhir 50an berdiri di belakang kaunter. Dia memakai tanda nama dengan tulisan AKBAR. 

"Selamat datang, tuan! Tuan nak pesan apa? Pizza keju panas atau ayam goreng special?

“Bagi saya teh ais lemon dengan pizza keju regular panas satu.” Inspektor Husni membuat pesanan. Sambil-sambil itu dia memerhati sekeliling ruang restoran. Restoran itu agak besar. Mempunyai kaunter depan dengan menu yang tidak berapa banyak. Terdapat dapur terbuka di belakang di mana beberapa orang perempuan sedang menggoreng ayam dan menyediakan pizza. Terdapat juga beberapa orang lelaki muda berusia antara 18-28 tahun sedang menghantar pesanan. Dan terdapat juga beberapa orang lelaki yang agak berusia membersihkan lantai dengan penyapu serta mop. 

"Abang pernah dengar kes kanak-kanak hilang kat bandar ni?" Soal Inspektor Husni sambil menunggu hidangannya disediakan.

 "Ya, saya ada dengar pasal kes tu."

"Apa pendapat abang pasal kes kanak-kanak hilang tu?"

“Tak tahulah tuan. Maybe kena culik atau kena bunuh atau kena jual. Saya pun tak ambil tahu sangat sebab sibuk sangat kerja.” Jawab lelaki bernama Akbar itu. Inspektor Husni perasan yang mata Akbar selalu melirik ke pintu belakang.

Inspektor Husni hanya diam. Tidak mengapa, sekarang dia hanya mahu makan. Misteri-misteri juga. Makan tetap perlu dilakukan. 

“Okay tuan, tuan duduk dulu, hidangan tuan dah siap nanti kami hantar ke meja. Total semua RM25.” Ujar Akbar. “Tuan nak bayar macam mana?” 

“Bayar pakai kad boleh?” 

“Boleh tuan.”

Setelah melakukan pembayaran, Inspektor Husni mengambil hidangannya dan menuju ke salah sebuah meja yang masih kosong. Dia menikmati hidangan tengah harinya dengan penuh selera. Patutlah restoran ini popular. Pizza buatannya sedap sekali. 


                                                                       ************


“Aini, kau tahu tak maklumat pasal pemilik restoran hijau tu?” Soal Inspektor Husni melalui panggilan telefon. 

“Kenapa kau tanya?” Soal Aini semula.  

“Saja. Aku rasa tertarik nak tahu secara mendalam pasal restoran tu.” Inspektor Husni menjawab.    

“Okay jap. Aku pernah baca artikel pasal mereka dalam majalah Keluarga. Mereka diwawancara kerana populariti restoran mereka. Kalau tak salah aku, nama pemilik restoran itu ialah Akbar. Akbar ni dia kira jadi pengurus restoran merangkap juruwang. Nama isteri dia Zainuar. Zainuar ni lebih kepada hal ehwal masak memasak kat dapur la. Mereka ada seorang anak lelaki nama Arm. Aku rasa umur budak tu dalam 16 tahun. Arm ni macam membantu je la dalam bisnes keluarga.” Aini memberi penerangan dengan panjang lebar. 

“Okay, ada apa-apa lagi tak?” 

“Setakat ni tak ada.”

“Okay, apa-apa nanti aku update kau.” 

“Baik!” 


                                                                            ************


Inspektor Husni mula melakukan penyiasatan dan mengumpul maklumat dengan teliti. Dia pergi menemui ibu bapa kanak-kanak hilang. Orang pertama yang dia jumpa ialah ibu Zahrah iaitu Puan Hasmah. Inspektor Husni menemui wanita itu di rumah. 

“Boleh Puan terangkan macam mana Zahrah boleh hilang?” Soal Inspektor Husni. 

“Zahrah suka sangat makan ayam goreng kat Restoran Hijau Rasa tu. Boleh kata hari-hari dia nak makan. Memang setiap hari ayah dia akan beli masa balik kerja. Suatu hari, ayah dia kena pergi outstation. Jadi takde siapa nak tolong beli. Saya pula masa tu kurang sihat. Lepas tu Zahrah beritahu saya yang dia nak pergi restoran tu dengan kawan dia nama Aida. Saya ingatkan Aida pergi ke sana dengan orang dewasa jadi saya bagi la Zahrah pergi. Rupanya Zahrah dan Aida pergi berdua je. Bila Aida balik, Zahrah takde. Saya tanya Aida, mana Zahrah. Aida kata dia tak tahu. Dia cakap masa mereka tengah beratur nak beli ayam, Zahrah tiba-tiba hilang. Aida ada cari tapi tak jumpa.” Puan Hasmah memberi penerangan. 

“Lepas tu puan ada cari Zahrah?” 

“Ada, saya pergi ke kawasan restoran tu tapi tak jumpa. Pekerja-pekerja restoran kata mereka tak nampak Zahrah. Saya cari sampai kat bukit belakang restoran tu tapi tetap tak jumpa.”

“Puan ada buat laporan polis pasal kehilangan Zahrah?” 

“Ada, polis pun ada pergi cari tapi selepas sebulan mereka tak jumpa, mereka hentikan pencarian. Dengar baru-baru ni polis tutup kes tu.” 

“Baik, terima kasih Puan atas kerjasama.” 

“Sama-sama tuan.” 

Inspektor Husni kemudiannya bertemu dengan bapa Mustaqim iaitu Encik Ahmad Linggi untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan kehilangan anaknya. 

“Boleh tuan terangkan macam mana Mustaqim boleh hilang?” Inspektor Husni bertanya. Mereka pada masa itu berada di rumah Encik Ahmad Linggi.

“Mustaqim memang setiap petang keluar bermain dengan kawan-kawan dia. Tak pernah jadi apa-apa sebelum ni. Dia akan keluar pukul 5.00 petang, pukul 6.45 petang biasa dia dah balik. Hari tu nak dekat pukul 8.00 malam dia masih tak balik-balik. Saya cari kawan-kawan dia kat rumah. Kawan-kawan dia kata tadi mereka ada bermain kat bukit belakang Restoran Hijau Rasa tu. Mereka main sorok-sorok. Tiba-tiba mereka kata Mustaqim hilang. Puas mereka cari tak tak jumpa. Mereka rasa mungkin Mustaqim dah balik rumah.” Encik Ahmad Linggi menjawab. 

“Lepas tu tuan ada cari dia?” 

“Ada tuan. Saya dengan beberapa orang jiran pergi cari dia kat kawasan bukit tu tapi tak jumpa. Selepas 24 jam, kami laporkan kepada polis. Polis ada melakukan pencarian tapi lepas sebulan, mereka hentikan. Kemudian mereka tutup kes. Saya sekarang sangat risau dengan keadaan Mustaqim. Saya tak kisah dia hidup ataupun meninggal dunia asalkan saya boleh tengok dia depan mata saya.” Ujar Encik Ahmad Linggi dengan nada sebak. 

“Mustaqim ada cerita apa-apa tak yang pelik sebelum dia hilang?” 

“Setahu saya takde tuan.” 

“Baik, terima kasih atas kerjasama tuan.” 

“Sama-sama tuan.”   

Setelah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Encik Ahmad Linggi, Inspektor Husni kemudiannya pergi bertemu dengan Encik Zan, bapa Natasha. 

“Boleh tuan terangkan macam mana Natasha boleh hilang?” Soal Inspektor Husni ketika bertemu dengan Encik Zan di rumah.

“Natasha memang biasa main dengan kawan-kawan dia kat taman permainan yang berhampiran dengan Restoran Hijau Rasa tu. Memang hampir setiap petang dia akan ke sana. Tapi petang tu masa main kawan dia kata dia hilang. Puas mereka cari dia tapi tak jumpa. Mereka mengadu pada saya pasal kehilangan Natasha. Saya dan ibu dia ada cari di kawasan sekitar situ tapi tak jumpa-jumpa. Kami terus lapor pada polis. Polis ada buat pencarian namun sia-sia. Akhirnya mereka tutup kes tu.” Jawab Encik Zan. 

“Sebelum Natasha hilang dia ada cakap atau buat perilaku yang pelik tak?”

“Takde tuan. Dia okay sahaja.” 

“Baik, terima kasih tuan atas keterangan.”

“Baik, sama-sama tuan.” 

Inspektor Husni kemudiannya bertemu dengan Encik Ali Hassan, bapa kepada Afiq yang hilang dua minggu lepas. 

“Boleh terangkan pada saya macam mana Afiq boleh hilang?” Inspektor Husni bertanya kepada Encik Ali Hassan di rumah lelaki itu. 

“Masa tu sepupu dia datang. Jadi saya nak belanja makan pizza. Saya pun pergi beli pizza kt Restoran Hijau Rasa tu. Masa beratur nak beli pizza kat kaunter tu, saya perasan Afiq dah takde. Saya ingat dia pergi main kat mana-mana. Saya pun carilah tapi tak jumpa. Kebetulan pula kedai tu tak ada CCTV. Jadi sampai sekarang saya tak tahu di mana keberadaan Afiq. Afiq macam ghaib ditelan bumi.” Encik Ali Hassan menjawab. 

“Lepas tu tuan buat apa?” 

“Saya pergi report polis. Polis ada pergi cari. Tapi masih tak jumpa. Saya ada beritahu media pasal kehilangan Afiq dan media pun memang ada uar-uarkan untuk mencari Afiq tapi sampai sekarang masih tak jumpa.” 

“Baik, terima kasih tuan atas kerjasama.” 

“Sama-sama tuan.” 

Inspektor Husni membaca semula catatan hasil soal siasatnya dengan ibu bapa kanak-kanak yang hilang di dalam kereta. Berdasarkan keterangan mereka, mereka selalu sebut mengenai Restoran Hijau Rasa. Inspektor Husni merasakan ada yang tidak kena dengan restoran itu. Dan dia merasakan bahawa kanak-kanak yang hilang itu pasti ada kaitan dengan restoran itu. Namun, dia tidak boleh bersangka buruk dulu. Dia perlu menyiasat untuk mencari tahu. 


                                                                       ***********


Inspektor Husni datang ke Restoran Hijau Rasa pada malam itu. Dia memesan ayam goreng dan air coca-cola sejuk. Apabila makanannya siap, seorang pelayan menghantar makanannya di meja. Dia membaca tanda nama pada baju pelayan itu. Tertulis di situ ARM. 

“Adik ni anak Encik Akbar ke?” Tanya Inspektor Husni setelah Arm meletakkan ayam goreng dan air coca-cola di atas meja.

“Macam mana abang tahu?” Arm sudah mula berasa pelik. 

“Saya ada baca artikel pasal awak kat majalah Keluarga.” 

“Ohh. Haha.” Arm tertawa kecil. “Betul, saya anak Encik Akbar.”

“Macam mana bisnes sekarang? Okay?” 

“Alhamdulillah…makin maju…sejak beberapa orang pempengaruh datang buat review, restoran ni makin ramai pelanggan.” 

“Alhamdulillah…hmm…nak tanya la Arm, Arm tahu ke pasal kehilangan empat orang kanak-kanak kat bandar ni?” Inspektor Husni bertanya. Dia melihat Arm kelihatan gugup apabila mendengar soalan itu. 

“Ada…sebab dalam berita ada keluar. Lagipun polis ada je datang sini buat siasatan.” 

“Apa pendapat Arm pasal kehilangan budak-budak tu?” Inspektor Husni cuba menguji. Dia melihat Arm mula menggeletar sedikit. 

"Hmmm… saya tak... tak tahu, bang. Saya tak baca atau ambil tahu sangat." Balas Arm dalam keadaan tangannya menggigil.

“Rilekslah. Jangan takut. Saya tanya je.” 

“Haha. Okaylah, kalau takde apa-apa, saya pergi buat kerja dulu.” 

“Okay.” Balas Inspektor Husni sambil tersenyum. 


                                                                        **************


Seusai makan, Inspektor Husni tidak terus pulang ke hotel sebaliknya berjalan-jalan dulu di sekitar Bandar Tanjung Kemuning. Dia mahu menghabiskan masa. Sekitar pukul 11.00 malam, dia menyelinap ke belakang Restoran Hijau Rasa. Dia bersembunyi di belakang tong sampah. Bau busuk usah dikira. Untuk menyiasat, segala cara perlu dilakukan. Keadaan masa itu bukan sahaja busuk malah banyak nyamuk juga memandangkan restoran itu hampir dengan hutan kecil. 

Sedang dia menunggu, Inspektor Husni mendengar bunyi pintu belakang dibuka. Dia melihat Encik Akbar membawa sebuah kotak besar ke sebuah van hitam yang diparkir di belakang restoran itu. Terdapat seorang perempuan yang memandu van itu. Husni mengambil gambar perempuan yang memandu van itu. Namun sayang, dia tidak dapat melihat nombor plat van itu. Kalau dapat, sudah pasti kerjanya menjadi lebih mudah. Setelah itu, Inspektor Husni melihat van hitam itu bergerak pergi. Dan dia juga melihat Encik Akbar masuk semula ke dalam kedai dan menutup pintu belakang. 

Setelah itu, Inspektor Husni pun berdiri. Dia memandang pintu belakang kedai itu untuk memastikan tiada siapa yang keluar. Dia berasa sangat tidak selesa berada di situ. Bau busuk dan nyamuk sering kali menyerang dirinya membuatkan dirinya berasa terganggu.

Inspektor Husni mengambil telefon pintarnya dan menghantar gambar wanita pemandu van tadi kepada Aini melalui Aplikasi Whatsapp. 

Inspektor Husni : Aini, kau tolong cari siapa wanita yang aku dah whatsapp gambar dia tu. Mana tahu kalau kau jumpa. Tak jumpa, aku kena minta tolong kawan aku kat Jabatan Pendaftaran Negara. Tapi susah sikit la. 

Aini : Okay kejap.

Inspektor Husni : Baik. 

Aini : Aku dah check. Setakat ni takde berita apa-apa pasal perempuan tu. Tapi…siapa perempuan tu?

Inspektor Husni : Aku tak pasti. Tapi dia pemandu van hitam yang parking kat belakang Restoran Hijau Rasa. Takpe, yang ni nanti aku settle. 

Aini : Baik. Apa-apa nanti update aku tau. 

Inspektor Husni : Baik. 


                                                                        *************


Keesokan paginya, Inspektor Husni bertemu dengan Inspektor Zahidi di Balai Polis Tanjung Kemuning.

"Kes kehilangan budak-budak tu bukan kes biasa." Kata Inspektor Husni. "Aku yakin yang Restoran Hijau Rasa tu ada kaitan dengan semua ni."

Inspektor Zahidi ketawa. "Bro, kau ni banyak berangan la. Aku dah periksa restoran tu. Takde apa-apa kat sana." 

Inspektor Husni hanya diam memerhati senyuman sinis di wajah Inspektor Zahidi. Tiba-tiba mata Inspektor Husni ternampak jam tangan yang dipakai oleh Inspektor Zahidi. Jam tangan itu agak mahal. Pegawai polis seperti Inspektor Zahidi takkan mampu untuk membeli jam tangan sebegitu. Bermacam perkara yang bermain di fikiran Inspektor Husni pada masa itu. 

Inspektor Husni mula mengesyaki sesuatu. Dia yakin terdapat konspirasi lebih besar di balik semua ini. Namun, dia perlukan bukti. Justeru, dia perlu lakukan penyiasatan secara lebih mendalam. 


                                                                          **********


Tengah hari itu Inspektor Husni pergi makan lagi di Restoran Hijau Rasa. Setelah memesan pizza keju panas dengan teh ais lemon dan melakukan pembayaran, dia duduk di mejanya untuk menunggu makanannya sampai. Ketika itu, berhampiran mejanya, terdapat seorang lelaki tua dengan mengemop lantai. Inspektor Husni membaca tanda nama di baju lelaki itu. Tertera nama SIRKAMI di situ. 

“Dah lama kerja sini bang?” Inspektor Husni menegur. Lelaki itu tersentak. Dia memandang Inspektor Husni dan menghentikan apa yang dia lakukan. 

“Ada la dalam lapan bulan macam tu.” Jawab Sirkami, lelaki yang mengemop lantai itu. 

“Rajin abang kerja. Umur dah berapa sekarang bang?” Inspektor Husni bertanya lagi. 

“Tahun ni sudah nak masuk 52 tahun.” Sirkami membalas. 

Tiba-tiba mata Inspektor Husni tertuju di dapur restoran yang terbuka memandangkan dia duduk sangat hampir dengan kaunter. Dia melihat wanita yang dia temui semalam dalam van hitam itu berada di kaunter. Wanita itu sedang mengangkat dan menyusun barang di dapur tersebut. 

“Dia tu siapa bang?” Soal Inspektor Husni. 

“Yang mana satu?” Sirkami bertanya semula sambil memandang ke arah dapur. 

“Perempuan kurus yang pakai baju hitam tu.” 

“Oh…itu Nabila. Dia tu tukang beli stok barang kedai ni. Dia tu…saya pun tak tahulah…dia jarang datang. Dia datang pun kalau stok barang dah habis. Tak tahulah dia kerja sini full time ke part time.” 

“Oh macam tu…” Balas Inspektor Husni pendek. Semasa mereka sedang berbual, makanan dan minuman yang dipesan oleh Inspektor Husni pun tiba. Sirkami meminta diri untuk meneruskan kerja manakala Inspektor Husni pula mula menjamah hidangan sambil matanya terus mengawasi keadaan di kaunter dan di dapur. 

Sedang asyik Inspektor Husni menjamu selera, dia melihat Aini menghantar pesanan melalui aplikasi Whatsapp. Inspektor Husni pun membuka aplikasi itu di telefon pintarnya.  

Aini : Husni, aku ada into baru. Aku ada terjumpa sesuatu pasal Zainuar. Dia dulu seorang jururawat. Akhbar Harian Terang pernah temuramah dia pasal kerjaya dia sebagai jururawat. 

Inspektor Husni : Oh okay…terima kasih Aini. 

Aini : Sama-sama. 


                                                                           **************


Inspektor Husni dihubungi oleh kawannya dalam SPRM. Menurut data dari BNM, terdapat sejumlah wang yang agak besar masuk ke akaun bank Inspektor Zahidi sebanyak empat kali dalam lapan bulan terakhir. SPRM dan BNM sedang bekerjasama untuk menyiasat perkara itu kerana jumlah dan cara urusniaga itu dilakukan sangat mencurigakan. 

Malam itu, Inspektor Husni menyusup masuk ke dalam restoran setelah restoran itu tutup. Dia umpil pintu belakang restoran itu dan masuk ke dalam restoran di bahagian dapur. Setelah berjaya masuk, dia membuka lampu suluh. Dia meninjau-ninjau di sekitar dapur restoran itu. Tiba-tiba, dia menemui sebuah pintu hitam yang berkunci. Dia memecahkan kunci pintu itu dan membukanya. Di sebalik pintu itu, terdapat sebuah tangga yang menuju ke bawah. Inspektor Husni pun menuruni tangga itu dan dia sampai di sebuah bilik bawah tanah. Bilik itu agak lembap dan berbau hapak. Di situ ada banyak pinggan dan cawan plastik. Tiba-tiba dia mendengar suara tangisan samar. Dia berjalan ke arah suara itu dan dia menemui seorang kanak kanak lelaki yang sedang diikat. Kanak-kanak itu sedang meniarap sambil menangis. Dia menuju ke arah kanak-kanak itu dan menyuluh muka. Inspektor Husni terkejut. Kanak-kanak itu ialah Afiq! Dia pernah melihat gambar kanak-kanak dalam fail kes yang diberikan oleh Datuk Yusri. 

Tanpa melengahkan masa, Inspektor Husni segera melepaskan ikatan kanak-kanak itu. Dia kemudiannya menghubungi Datuk Yusri. Dia menceritakan penemuannya dan meminta Datuk Yusri menghantar pasukan polis dari Bukit Aman untuk membuat tangkapan dan meneruskan siasatan. Inspektor Husni pun segera mendukung Afiq dan membawa Afiq ke hospital. 


                                                                                   ************


Inspektor Husni memandang tasik yang luas yang terletak bersebelahan dengan Perpustakaan Awam Negeri. Keadaan dan suasana pada masa itu sangat tenang dan damai. Dengan bunyi kicauan burung di atas pokok-pokok yang ada di sekitar tasik itu, tambah memberi rasa tenteram di hati Inspektor Husni yang selalu berhadapan dengan jenayah dan orang jahat. 

“Menung apa tu? Ingat bekas isteri ke?” Tegur Aini sambil duduk di meja kayu yang diduduki oleh Inspektor Husni di tepi tasik itu secara berhadapan.

“Ish takdelah.” Balas Inspektor Husni tanpa memandang wajah Aini. Memang pada masa itu dia tidak memikirkan bekas isterinya itu tetapi kenangan bersama wanita itu masih berbekas di hatinya. Ingatan bersama wanita itu sama ada semasa bercinta dan semasa berkahwin tidak pernah luput dari kotak fikirannya. 

“Adibah macam mana sekarang? Kau ada Whatsapp dia?” Soal Aini. 

“Ada…tapi dia tak balas. Aku call pun dia tak angkat. Entahlah…” Jawab Inspektor Husni lemah. 

“Hmmm takpelah…Okay, sekarang ni kau letak tepi jap pasal Adibah. Kau cerita dengan aku pasal kes Restoran Hijau Rasa tu. Siasatan polis dah settle kan?” 

“Haha…tak sabar ye kau. Haha, polis dah lengkapkan siasatan. Okay, aku nak mula dari mana ye. Hmmm….okay macam ni, kau tahu Arm kan? Sebenarnya, dia tu bukan anak Akbar. Dia adalah kanak-kanak yang diculik beberapa tahun lepas, dia dipaksa bekerja dengan sindiket penjualan kanak-kanak.” 

“Sindiket penjualan kanak-kanak?” Aini kerut dahi. 

“Yup, budak-budak itu diculik untuk dihantar ke Amerika dan Britain untuk jadi peminta sedekah. Mereka akan potong tangan atau kaki budak-budak tu atau butakan mata mereka, kemudian mereka akan dihantar ke dua negara tu untuk jadi peminta sedekah.” 

“Ya Allah…takutnya…kejam betul diaorang tu.” Ujar Aini. “Tapi macam mana Arm boleh terselamat?” 

“Entahlah, maybe nasib dia baik kot. Dia cuma dipaksa bekerja je kat restoran. Sebenarnya Restoran Hijau Rasa tu cuma bayang je. Lebih kepada mereka buat penggubahan wang haram. Bisnes utama mereka ialah penjualan kanak-kanak. Mereka buat sebuah restoran yang kanak-kanak suka pergi, kemudian mereka culik dan jual. Dan untuk pengetahuan kau, sebelum Restoran Hijau Rasa tu wujud, mereka dah buka dua lagi restoran sebelum ni dengan nama lain. Satu kat Sabah dan satu kat Kelantan. Dua-dua tempat mereka lepas. Kali ni mereka sangkut.” 

“Huissh…teruk betul.” 

“Yup, Afiq nasib baik aku jumpa. Sebenarnya malam tu Afiq nak kena jual tapi tak berjaya sebab aku jumpa dia dulu. Dekat Amerika dan Britain polis sedang siasat sindiket ni. Jadi mereka ada masalah nak jual Afiq. Sebab tu Afiq disimpan lama kat sini.” 

“Habis yang tiga orang lagi macam mana?” 

“Diaorang selamat. Polis Amerika dan polis Britain berjaya selamatkan mereka. Mereka dalam proses dihantar pulang.”

“Fuhh…nasib baik.” 

“Yup. Haa…kau ingat tak pasal Zainuar yang kau cerita dia kerja jururawat tu kan?”

“Haa ye ingat. Kenapa dengan dia?

“Sebenarnya Zainuar tu bukan jururawat biasa. Dia sebenarnya pakar ubat tidur. Dia yang culik budak-budak tu lepas tu dia suntik ubat tidur.”

“Jahatnya perempuan tu…tak sangka aku…Habis, pekerja-pekerja lain kat restoran tu pun terlibat sama juga?” 

“Ehh tak…mereka memang pekerja betul. Yang jahat dalam tu cuma Akbar, Zainuar dengan Nabila je.” 

“Si Akbar tu macam mana pula?” 

“Akbar tu sebenarnya ketua sindiket. Dia menjual kanak-kanak ke sindiket peminta sedekah kanak-kanak di luar negara. Zainuar bantu dia dengan ubat tidur dan tukang culik. Arm dipaksa, dia memang tak salah. Nabila pula penghubung antara Akbar dengan sindiket luar negara.”

“Ohh macam tu rupanya.”

“Inspektor Zahidi pula…” Inspektor Husni berhenti seketika. “Dia disogok untuk menutup kes. Dia sekarang bukan sahaja kena pecat dari PDRM, tetapi juga sekarang kena siasat dengan SPRM.”

“Tak sangka kan? Pihak berkuasa macam Inspektor Zahidi sanggup tutup mata melihat kanak-kanak diculik semata-mata sebab nak duit yang banyak.” 

“Macam itulah orang yang tamak dan tak reti bersyukur.” 

“Sekarang apa jadi dengan Akbar dan Zainuar?” 

“Mereka kena tangkap dan kena siasat dengan polis. Tak lama lagi akan dituduh di mahkamah.” 

“Alhamdulillah…syukurlah…orang yang buat kerja-kerja jahat ni biarlah undang-undang yang menghukum mereka.” 

“Yup, itulah yang sebaiknya. Penduduk Bandar Tanjung Kemuning dah boleh tidur lena dah lepas ni. Dah tak payah risau dah anak mereka hilang lagi.”

“Yup dan tahniah pada kau sebab berjaya selesaikan kes ni.” Aini memberi pujian. 

Inspektor Husni mengangguk dan tersenyum senang lalu pandangan matanya dijatuhkan ke tasik nan indah di hadapannya. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.