Khamis, 26 Februari 2026

JELAJAH MALAM : KILANG TOPENG TERBIAR

“Hai korang, selamat datang ke channel Jelajah Malam! Malam ni, saya nak menjelajah ke satu kilang lama di pinggir bandar Wang Kelian. Dulu kilang ni buat topeng muka untuk dipakai oleh rakyat Malaysia dan petugas kesihatan semasa pandemik COVID-19. Dulu kilang ni maju gila tapi tiba-tiba muflis sebab salah tadbir urus. Tak tahu mana pemilik dan pekerja kilang ni pergi tapi kilang ni ditinggalkan macam tu je. So malam ni, saya nak cari tahu sejarah dan kenangan yang ada kat kilang terbiar ni. Jom ikut saya.” Ujar Anisah kepada para pengikutnya.  

Anisah meletakkan keretanya di luar pagar kilang yang berkarat. Pintu pagar itu terbuka sedikit, mungkin pernah ada pencuri, penagih dadah atau ahli paranormal lain yang pernah masuk ke situ. Anisah keluar dari perut kereta, ambil kamera, ambil lampu suluh lalu masuk ke kawasan kilang. 

"Okay korang, saya dah masuk ke kawasan kilang. Kilang ni besar gila, ada tiga tingkat. Dulu mesti ramai pekerja yang datang ke kilang ni setiap hari. Bayangkan, betapa hidupnya tempat ni dulu. Tapi sekarang... entah apa yang tinggal." Kata Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

Anisah jalan secara perlahan masuk ke dalam bangunan kilang. Di dalam kilang itu, lantainya penuh dengan serpihan kertas dan kotak yang koyak. Lampu suluh Anisah menyorot ke mesin-mesin lama. Terdapat masih ada topeng yang separuh siap terletak di mana-mana di dalam kotak. Tiba-tiba, Anisah terdengar seperti suara orang.

"Eh, korang dengar tak? Macam ada suara orang bisik-bisik." Anisah cuba mencari punca suara dengan menggunakan kamera dan lampu suluh tetapi tidak jumpa. 

Apabila melihat tiada siapa-siapa di situ, Anisah terus menjelajah di bahagian bawah kilang itu. Di bahagian bawah, dia melihat ada banyak timbunan kotak lapuk dan mesin-mesin yang sudah lama tidak digunakan. Terdapat juga sinki dan lokar yang sudah rosak serta lama dan ada banyak sekali bilik atau ruangan yang mungkin pernah dijadikan sebagai pejabat ditinggalkan kosong dan bersepah-sepah. 

Anisah seterusnya naik ke tingkat dua. Di sana, terdapat banyak ruangan yang pernah dijadikan pejabat. Meja-meja di dalam ruangan itu penuh dokumen lama seperti invois, dokumen dan surat. 

"Korang, tengok ni. Ada surat dari tahun 2021. Ni ada kalendar dari tahun 2020. Maksudnya kilang ni tak ditinggalkan terlalu lama." Anisah menghalakan kameranya kepada surat dan kalendar yang ada di atas meja itu. 

Tiba-tiba, Anisah terdengar langkah kaki di belakang. Anisah segera pusing dengan cepat untuk merakam siapa yang berada di belakangnya tetapi kosong. Namun, kamera Anisah merakam sesuatu. 

"Apa tu? Korang nampak tak bayang tu?" Anisah menunjukkan kepada para penonton. Terdapat satu entiti hitam sedang bergerak-gerak di sebalik rak yang berisi dokumen. Agak lama juga entiti hitam itu berada di situ sebelum menghilang dengan sendiri. 

Jantung Anisah berdegup laju apabila melihat entiti hitam itu. Dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi dirinya. Apabila entiti itu menghilang, barulah dia boleh menarik nafas lega. Setelah bertenang, Anisah meneruskan jelajahnya di tingkat itu. Dia masuk ke sebuah bilik yang mungkin pernah jadikan sebagai stor. Di dalam bilik itu, terdapat banyak rak yang penuh dengan topeng muka dengan pelbagai warna seperti biru, hitam, peach dan hijau yang mungkin tidak sempat dijual. Topeng-topeng itu diletakkan di dalam kotak-kotak kecil dengan pelbagai saiz. Tiba-tiba, satu kotak topeng muka jatuh sendiri dari rak. Anisah terjerit kecil. 

"Tengok korang, Kotak tu jatuh dengan sendiri. Tiba-tiba je." Anisah berkata kepada para penonton sambil menghalakan kamera dan lampu suluh kepada kotak yang baru sahaja terjatuh tadi di lantai. 

Tiba-tiba Anisah terdengar satu suara gelak kecil. Anisah mula rasa bulu romanya berdiri. Dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana dalam ruangan itu untuk mencari punca suara tetapi tiada siapa-siapa.

"Korang, dengar tak suara tadi tu? Suara siapa tu korang? Seram pula bila dengar suara orang kat sini sorang-sorang.” Ujar Anisah kepada para penonton. 

Apabila sudah memastikan bahawa tiada siapa-siapa di situ, Anisah meneruskan jelajahnya di bilik itu. Dia menyorot kameranya ke dinding yang ada dalam ruangan itu. Terdapat banyak grafiti yang tertulis di bilik tersebut dengan pelbagai tulisan dan gambar pelbagai warna. Mungkin dilakukan oleh penceroboh atau budak-budak nakal yang pernah masuk ke situ. 

Setelah puas menjelajah di bilik itu, Anisah pergi pula ke tingkat tiga. Di sana, keadaan lebih gelap dengan bau hapak. Terdapat mesin-mesin besar untuk memotong kain topeng tetapi sudah penuh dengan sarang labah-labah. Anisah juga menemui satu bilik kecil dengan pintu tertutup. Dia pun membuka pintu tersebut. Di dalam bilik itu, terdapat banyak kotak dengan pelbagai dokumen dan kertas. 

"Ada banyak dokumen dalam bilik ni korang. Tak tahulah kenapa pemilik dan pekerja kilang ni tak bawa semua dokumen ni sekali. Nampak macam mereka tinggalkan kilang ni dalam keadaan tergesa-gesa.” Anisah berkata kepada para penonton. 

Kemudian Anisah terpandang suatu entiti di muka pintu bilik itu. Segera dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke situ. Terdapat suatu entiti lelaki memakai uniform biru dengan wajah pucat dan mata merah. Entiti itu sekadar merenung Anisah tanpa berkata atau berbuat apa-apa. Anisah yang berasa takut lantas membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi diri. Beberapa saat kemudian, entiti lelaki itu pun menghilang. Anisah menarik nafas lega. 

Tiba-tiba, lampu siling di dalam bilik itu mula berkelip. Anisah panik sekejap. Mana datang elektrik yang boleh menghidupkan lampu. Dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke arah lampu yang sedang berkelip di siling itu untuk merakam. Kemudian dia terdengar suara orang berbisik namun dia tidak tahu di mana punca suara itu. Dia hanya mampu menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana untuk mencari. 

Kemudian dia mendengar bunyi dinding seperti diketuk dengan benda keras. Anisah pun pusing ke belakang bersama kamera dan lampu suluh. Di sana, dia melihat suatu entiti putih sedang berdiri di sudut bilik. Entiti itu tidak mempunyai mulut tetapi mempunyai mata yang tiada pupil. Maksudnya, mata entiti itu dalam keadaan hitam pekat. 

"Korang! Korang nampak tak entiti yang tengah berdiri kat situ?" Soal Anisah kepada para penonton. Dia terus merakam entiti itu walaupun dia berasa takut. Dia terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi dirinya. Entiti itu sekadar berdiri di situ dan tidak melakukan apa-apa. Tidak lama kemudian entiti itu pun menghilang.

Setelah entiti itu menghilang, Anisah menarik nafas lega. Dia tidak mahu berada lama-lama di situ. Segera dia turun ke tingkat bawah. Semasa turun, dia masih lagi menyuluh dan merakam. Tiba-tiba, dia dengar suara orang ketawa. Dia terus menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana untuk mencari punca suara namun tidak ditemui.  

Anisah cuba bertenang sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Mendapat gangguan sebegitu bukanlah suatu yang asing baginya. Walaupun dia sudah biasa, namun rasa takut masih lagi menghantuinya. 

Anisah memutuskan untuk keluar dari kilang dan pulang ke rumah. Dia sudah puas menjelajah kilang topeng terbiar itu.  Pengalaman dan kenangan yang dia dapat di kilang seram itu sangat banyak dan menarik. Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu pagar kilang dan terus menuju ke keretanya. Kemudian dia menghidupkan keretanya dan meninggalkan kilang tu dalam kegelapan. 

"Korang, terima kasih sebab sudi teman saya malam ni. Saya nak balik sebab saya rasa saya dah puas menjelajah satu kilang tu. Harap korang suka dengan video kali ni. Tolong like video ni nanti bila saya upload di YouTube saya dan tolong sangat-sangat untuk subscribe channel saya. Bye korang…kita jumpa lagi di video akan datang.” Ujar Anisah kepada para penonton dan dia segera tamatkan sesi siaran langsung Youtube-nya. 

Selasa, 24 Februari 2026

JELAJAH MALAM : TASIK CERMIN

Anisah Malek menatap kamera di keretanya. Channel YouTubenya iaitu Jelajah Malam, sudah memiliki 700 ribu subscriber, berkat video-video jelajahnya ke tempat-tempat berhantu seperti rumah lama di Ipoh atau kuburan Cina di Pulau Pinang. Namun, malam ini, sasarannya berbeza. Dia mahu menjelajah ke Tasik Cermin, sebuah danau yang terkenal dengan gangguan hantu di daerah Utan Aji. 

"Korang, malam ni saya nak menjelajah ke Tasik Cermin. Ramai orang yang memancing kat tasik ni pada waktu malam mereka akan jumpa dengan pontianak atau langsuir. Saya bukan nak cari hantu tapi nak belajar dan cari pengalaman kat tempat ni pada waktu malam." kata Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

Suaranya penuh bersemangat. Walaupun dia berasa takut, tetapi takutnya takut-takut seronok. Dia rasa dengan menjelajah ke tempat-tempat seram sebegitu bukan sahaja sebagai satu tuntutan kerja tetapi juga memberi ketenangan dalam dirinya. Dia berasa dengan melawat ke tempat-tempat sebegitu seperti melancong ke luar negara. 

Malam itu, pukul 12 malam, Anisah memberhentikan keretanya di tepi hutan yang berhampiran dengan tasik. Hujan baru sahaja berhenti membuatkan jalan tanah menjadi licin. Keadaan pada masa itu sangat gelap. Dia membawa kamera dan lampu suluh berkuasa tinggi untuk menerangi jalannya nanti. 

“Okay korang. Kalau nak sampai ke tasik tu, kita kena jalan sikit dalam satu kilometer macam tu. Kita kena masuk hutan sikitlah tapi Insha Allah…takde apa-apa.” Ujar Anisah kepada para penonton. 

Anisah keluar dari perut kereta dan setelah memastikan keretanya berkunci, dia berjalan ke tasik melalui sebuah hutan kecil. Sambil-sambil itu dia menyuluh dan merakam di kawasan sekitar. Sampai di tepi tasik, angin malam bertiup dingin, membawa bau tanah basah dan bau hutan. Tasik Cermin terbentang luas, airnya hitam pekat di bawah cahaya bulan separuh. Tidak ada suara burung. Hanya bunyi suara cengkrik kedengaran. Keadaan pada masa itu sangat sunyi.

"Okay korang. Kat depan korang ni la Tasik Cermin. Nampak tak? Biasanya orang kata ada ramai pemancing ikan kat sini. Tapi malam ni saya tak nampak seorang pun." Anisah berkata. Suaranya bergema perlahan dalam kesunyian. Kemudian dia mendengar sesuatu yang aneh di belakangnya. Segera Anisah menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke arah suara yang dia dengar tadi tetapi tiada apa-apa. 

Anisah menjelajah di sekitar tasik itu. Dia merakam dan menyuluh di dalam keadaan tasik yang gelap itu. Dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya di kawasan tasik yang digenangi air. Tiba-tiba, Anisah melihat air di tasik bergelombang seketika seperti ada sesuatu yang besar mahu keluar tetapi tiada apa-apa. Dia terus menyuluh dan merakam untuk melihat sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Korang, saya rasa tiba-tiba je suhu turun mendadak. Saya rasa sangat sejuk kat sini.” Kata Anisah kepada para penonton. 

Setelah penat berjalan, Anisah berhenti di tepi tasik untuk berehat sebentar sambil berdiri. Tasik itu agak luas juga sebenarnya. Boleh kata seluas Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur sana. Sambil-sambil itu dia terus menyuluh dan merakam. Tiba-tiba, dia melihat entiti seorang wanita tua, berambut panjang basah menutupi muka, dengan mata kosong muncul di tengah tasik. Anisah mundur ke belakang dengan cepat. Jantungnya berdegup kencang. 

"Apa tu korang? Korang nampak tak entiti tu?" Soal Anisah kepada para penonton. Entiti itu jelas menampakkan dirinya kepada Anisah. Beberapa saat kemudian, entiti itu menghilang dengan sendiri. 

Meskipun gementar, Anisah cuba bertenang. Dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi dirinya. 

"Nak tercabut jantung saya korang melihat entiti tu." Kata Anisah dengan suara yang bergetar. Dia terus berjalan, mengikuti jalan denai yang mengelilingi tasik itu.

Kemudian, Anisah menemui sebatang pokok yang sangat besar. 

"Tengok pokok ni korang. Ramai yang kata langsuir selalu duduk atas pokok ni pada waktu malam untuk ganggu pemancing." Bisik Anisah kepada penontonnya.  

Tiba-tiba, Anisah mendengar suara bisikan samar, kemudian bertukar menjadi suara tangisan anak kecil. Suara itu kedengaran dekat dan kedengaran jauh. Anisah menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana untuk mencari punca suara di sekitar pokok-pokok yang ada di situ namun tidak jumpa. Beberapa saat kemudian suara itu menghilang dengan sendirinya. Kemudian Anisah merakam dan menyuluh di sekitar pokok besar itu untuk menunjukkan kepada para penonton. 

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi dan Anisah masih lagi berjalan di sekitar tasik. Sambil-sambil itu dia menyuluh dan merakam. Tiba-tiba dia dengar ada sesuatu yang bergerak di belakangnya. Dia berpusing dan menghalakan kameranya tetapi tiada siapa. Namun, tidak lama kemudian, di antara pokok, muncul satu entiti berwarna hitam, bergerak perlahan seperti sedang berpusing dalam kegelapan.

Anisah agak terkejut melihat entiti itu namun dia tidak lari. Dia masih merakam dan menyuluh untuk menunjukkan kepada para penontonnya. Sambil-sambil itu dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon pertolongan daripada Allah. 

"Tengok tu korang…korang nampak tak entiti hitam besar kat pokok tu?" Soalnya ke kamera. 

Tiba-tiba, air tasik bergolak, seperti ada sesuatu yang mahu keluar.

Dari air, muncul satu entiti perempuan berbaju putih dengan rambut menutupi wajahnya. Meskipun takut, tetapi Anisah masih merekam. Sambil-sambil itu dia baca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi dirinya. 

"Korang tengok tu korang. Entiti tu berdiri kat tengah tasik." Anisah berkata kepada para penonton live Youtube-nya.  

Tidak lama kemudian, entiti itu pun menghilang dengan sendiri. Anisah menarik nafas lega. Dia bersyukur kerana entiti itu tidak datang ke arahnya dan mengapa-apakan dirinya. 

Setelah bertenang, Anisah meneruskan jelajahnya di sekitar tasik itu sehingga ke pukul 4.00 pagi. Sepanjang masa itu, dia tidak menemui apa-apa. Dia juga tidak mendengar atau menghidu apa-apa. Setelah puas menjelajah, Anisah membuat keputusan untuk menamatkan jelajahnya pada hari itu. Dia kembali semula ke keretanya yang dia letak di tepi hutan. Anisah juga menamatkan rakaman dan sesi live Youtube-nya pada hari itu. Sebelum menamatkan sesi siaran langsung itu, Anisah berjanji kepada para penonton untuk menyunting dan memuat naik video yang dia rakam pada malam itu ke saluran Youtube-nya. Setelah selesai, Anisah pun pulang ke rumah. 

Ahad, 22 Februari 2026

EMOSI DAN TENAGA DALAM PEKERJAAN PENGAMAL URUT

Di balik teknik anatomi, manipulasi otot dan pengurusan sakit yang biasa diajar dalam kursus terapi urut, terdapat dimensi yang jarang diajarkan secara formal yakni sisi emosional, mental dan tenaga. Ramai pengamal urut mempunyai pengalaman nyata tentang bagaimana sesi urut sering kali menjadi ruang bagi pelepasan emosi pelanggan - dan mengapa seorang pengamal harus aktif melindungi dirinya sendiri agar tidak ‘membawa pulang’ beban tersebut.

Sebelum menjalankan terapi, sangat molek jika kita dapat membersihkan ruang atau bilik terapi kita seperti menyapu sampah, membersihkan karpet, mengelap cermin, membakar bukhor dan menyemburkan campuran wangian khusus untuk membersihkan tenaga (dalaman) kita. Ritual fizikal ini bukan sekadar membersihkan bilik terapi, tetapi juga sebagai langkah perlindungan untuk menjaga ruang agar tetap segar, tenang dan bebas dari akumulasi ‘kepadatan’ emosional yang boleh menimbun seiring ramainya pelanggan.

Tubuh sememangnya menyimpan pelbagai emosi - stres, trauma, kesedihan, kemarahan - dalam bentuk ketegangan otot, pola nafas dangkal atau halangan tenaga. Ketika otot tegang dilembutkan melalui urut, ‘penyimpanan’ itu turut terbuka. Pelanggan yang datang dengan keluhan fizikal seperti tengkuk tegang, sakit pinggang atau sciatica sering kali tiba-tiba berkongsi cerita peribadi seperti perceraian, hak asuh anak, depresi akibat penyakit kritikal, kehilangan orang tersayang atau patah hati. Katil urut menjadi tempat aman di mana orang merasa cukup selesa untuk melepaskan beban yang selama ini dipendam.

Kita selaku pengamal berperanan sebagai ‘pembuka pintu’ yakni menciptakan ruang aman agar emosi boleh mengalir keluar tetapi bukan untuk ditampung oleh kita. Jika pintu itu terbuka tanpa perlindungan yang tepat, tenaga pelanggan boleh ‘menempel’ pada kita - menyebabkan rasa letih yang teruk, emosi buruk atau bahkan gejala fizikal yang ringan. Ramai pengamal baru sering burnout cepat kerana tidak menyadari atau tidak punya alat untuk melepaskan beban tersebut.

Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini ialah :

1. Berjalan di tanah sebelum dan sesudah sesi - berhubung dengan sumber tenaga (bumi) agar aliran tetap lurus dan tidak menyerap tenaga pelanggan.

2. Ritual pelepasan pasca-sesi - gerakan membulat di atas belakang pelanggan (yang masih tertutup tuala) sambil secara mental mengucapkan : Please allow whatever allows them to pass through me and back to the earth. Ini adalah cara simbolis untuk mengembalikan tenaga ke bumi, memastikan tidak ada yang tertinggal pada kita.

3. Pembersihan ruang secara rutin - kombinasi fizik (membersihkan) dan energetik (seperti menyemburkan minyak wangi) untuk menjaga vibrasi ruang supaya tetap tinggi.

4. Menentukan batasan peribadi - perlu diakui bahawa garis profesional-peribadi berbeza untuk setiap orang. Ada pengamal yang sangat formal dan ada pengamal yang seperti dirinya membangun hubungan hangat dengan pelanggan jangka panjang. Apa yang terpenting adalah batasan itu terasa sihat dan autentik bagi pengamal sendiri.

Hal tersebut menekankan bahawa aspek ini bersifat pengalaman (experiential), bukan teori dari buku teks. Kursus urut fokus pada otot, fascia dan teknik, tetapi jarang membahas bagaimana menangani pelanggan yang menangis di katil urut atau bagaimana pulang tanpa merasa ‘berat’ setelah mendengar cerita yang traumatis.

Kesimpulannya terapi urut bukan hanya pekerjaan fizikal tetapi pekerjaan holding space untuk penyembuhan holistik. Agar pekerjaan ini berterusan (terutama bagi pengamal mandiri yang tidak punya rakan kerja untuk berkongsi masalah), kita selaku pengamal harus sama seriusnya merawat tenaga dan emosi kita sendiri seperti merawat tubuh pelanggan.

Di era di mana kesihatan mental semakin diakui, hal ini mengingatkan kita selaku pengamal bahawa pekerjaan berdasarkan sentuhan seperti terapi urut, akupunktur atau fisioterapi sering kali menjadi ‘bekas’ emosi tanpa disadari. Tanpa alat perlindungan diri seperti batasan yang jelas, ritual pelepasan, rutin penjagaan diri dan kesedaran energetik - risiko compassion fatigue atau burnout sangat tinggi.

JELAJAH MALAM : RUMAH BANGSAWAN TINGGAL

Kabus tebal menyelimuti kawasan Bukit Lebah ketika kereta Anisah berhenti di hadapan pagar besi yang berkarat pada pukul 12.00 malam.

“Hai korang, malam ni saya nak jelajah ke sebuah rumah yang pernah didiami oleh seorang bangsawan British bernama Lord Ambrose. Itu rumah dia korang.” Ujar Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

“Lord Ambrose ni dia mati dengan cara gantung diri di chandelier ruang tamu rumah tu. Lepas tu, dengar cerita, semua ahli keluarga dan pekerja pergi meninggalkan rumah ni secara beramai-ramai. Rumah ni dah ditinggalkan selama 70 tahun.” Tambah Anisah lagi. Dia kemudiannya keluar dari perut kereta.

Setelah bersedia dengan kamera, lampu suluh dan beg galas, Anisah berjalan masuk ke halaman rumah itu melalui pagar besi yang tidak berkunci. Kemudian Anisah berdiri di hadapan rumah tersebut sambil menyuluh dan merakam. Rumah itu sangat besar dan mewah dengan seni bina Gothik Victoria. Terdapat sebuah menara batu di bumbung rumah tersebut yang sudah buruk dimamah masa selain tingkap-tingkap tinggi yang gelap. Ada beberapa tingkap rumah itu yang sudah pecah atau retak.  

Di tengah-tengah halaman depan rumah tersebut, terdapat air pancur batu yang masih utuh walau sudah buruk dan berlumut. Terdapat juga patung malaikat dengan kedua tangan tercacak ke langit dengan wajah hampir lupus dimakan hujan dan angin selama tujuh dekad di tengah-tengah air pancur batu itu. 

“Sejuk korang kat kawasan ni. Mungkin sebab rumah ni duduk atas bukit sebab tu sejuk. Dan saya ada bau tanah basah. Nak kata hujan, tak hujan. Pastu macam biasalah. Ada bau benda lama atau benda tertutup. Tak tahu saya nak terangkan macam mana.” Kata Anisah kepada para penontonnya.  

Setelah menarik nafas panjang, Anisah mula melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu utama rumah itu berderit panjang ketika ditolak. Di dalam rumah itu Anisah terhidu sesuatu. Bau itu bukan bau busuk tetapi bau yang sangat berat dan pekat. Bau itu sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Keadaan ruang tamu rumah itu sangat gelap. Tirai tebal menutup semua tingkap. Mujur ada lampu suluh yang dibawa oleh Anisah. Jadi, dia dapat melihat keadaan di situ. Di ruang tamu itu, habuk usah dicakap. Begitu menebal di setiap permukaan. Terdapat sebuah chandelier kristal yang tergantung rendah di siling, lukisan-lukisan besar di dinding dan perabot zaman Victoria yang tersusun rapi. 

“Korang tengok sini, kat meja ni ada set teh.” Bisik Anisah kepada para penontonnya sambil kameranya menyorot ke sebuah meja yang terletak di sudut rumah. Terdapat satu set teh perak berdebu tersusun rapi di atas meja kecil. Tiga cawan. Tiga piring. Satu teko yang masih tegak.

Anisah yang ditemani lampu suluh dan kamera meneroka di tingkat bawah rumah agam itu. Dari ruang tamu, Anisah menjumpai ruang makan yang sangat besar dan dapur. Anisah juga menjumpai sebuah bilik stor yang ada banyak barang. . 

Setelah keluar dari stor, Anisah jumpa sebuah pintu kecil. Pintu itu separuh terbuka. Dia berjalan mendekati pintu itu secara perlahan-lahan. Bunyi tapak kakinya menjadi bunyi gema dalam rumah yang sunyi sepi. Terlalu sunyi. Tiada bunyi tikus, tiada angin, tiada apa-apa.

Anisah menolak pintu itu. Dia masuk ke sebuah bilik yang agak besar. Di dalam bilik itu, terdapat sebuah meja altar, salib kayu yang hampir reput dan bangku-bangku panjang yang tersusun rapi menghadap ke depan. Di dinding bilik itu, terdapat lukisan-lukisan dinding yang sudah lusuh dengan gambaran syurga dan neraka, malaikat dan iblis, dalam gaya zaman pertengahan.

Di meja altar itu, terdapat tujuh batang lilin yang sudah lama tidak digunakan. Di hadapan lilin-lilin itu, terdapat sebuah buku tebal. Anisah pergi merakam dan menyuluh buku itu. Dia mendapati kulit buku itu diperbuat daripada kulit binatang. Halaman-halamannya sudah kuning dimakan zaman.

Anisah buka buku itu untuk melihat isi kandungan buku tersebut. Terdapat tulisan tangan dalam bahasa Inggeris lama. Anisah malas mahu membaca jadi dia menutup semula buku tersebut.

Tiba-tiba dia mendengar suara perempuan menjerit. Anisah agak terkejut lalu dia menyuluh dan merakam di sini sana tetapi tidak menjumpai apa-apa.   

Tiba-tiba, bangku-bangku kayu yang tersusun rapi tadi bergerak dengan sendiri secara rawak dan berselerak. Mujur Anisah sempat merakam kejadian itu untuk dipersembahkan kepada para penontonnya. 

Anisah agak takut tetapi dia kekal tenang dan mula membaca doa meminta pertolongan Allah. Dia terpaku di situ selama beberapa minit. Setelah keadaan menjadi tenang, barulah dia bergerak semula keluar dari bilik itu. 

Ketika dia hendak keluar, dia mendengar lagi suara jeritan yang entah dari mana. Suara jeritan itu bercampur-campur antara jeritan bayi, jeritan perempuan dan jeritan lelaki. Anisah kembali menyuluh dan merakam di dalam bilik itu untuk mencari punca suara namun dia tidak menemui apa-apa. Beberapa minit kemudian suara jeritan itu pun berhenti. Anisah menarik nafas lega. 

Kemudian dia mendengar sesuatu terjatuh dengan banyak. Apabila dia menyuluh, dia melihat lilin-lilin yang berada di altar tadi semuanya jatuh ke lantai. Dia merakam kejadian itu supaya para penonton dapat melihat. 

Tiba-tiba dia mendengar suara bayi ketawa. Dia terkejut dan terus menyuluh ke sini sana tetapi dia tidak menjumpai apa-apa. 

Tiba-tiba dia melihat sesuatu bergerak dari muka pintu bilik itu. Dia menyuluh dan merakam ke arah pintu. Dan dia melihat ada entiti berbentuk bayi sedang merangkak di lantai. Entiti itu sedang merangkak ke arahnya. Kulit entiti itu berwarna kelabu, matanya hitam pekat dan dari mulutnya yang tidak bergigi, keluar bunyi menderam seperti haiwan. 

Anisah menjerit kerana terkejut melihat entiti itu. Segera dia baca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon perlindungan Allah. Tanpa melengahkan masa, dia segera berlari untuk keluar dari bilik itu. Sampai sahaja di ruang tamu rumah agam itu, dia berhenti seketika mengambil nafas. Dia sangat takut masa itu tetapi dia cuba untuk bertenang. 

“Rumah ni memang menyeramkan.” Anisah berkata kepada para penonton. 

Kemudian Anisah naik ke tingkat dua. Tangga kayu berderit ketika kakinya memijak. Di tingkat dua, terdapat sebuah koridor yang agak panjang. Koridor itu dipenuhi dengan potret-potret keluarga Lord Ambrose. Anisah menyuluh dan merakam kesemua potret tersebut untuk tatapan penonton. Namun, dia berasa aneh, mengapa potret yang begitu banyak kenangan ini ditinggalkan begitu sahaja di rumah agam tersebut.

Selain potret, di tingkat dua juga ada tujuh buah bilik. Bilik-bilik itu tidak lain dan tidak bukan adalah bilik tidur yang pernah didiami oleh keluarga Lord Ambrose. Mungkin juga bilik-bilik itu dibuat khusus untuk tetamu bangsawan tersebut. Kesemua bilik itu mempunyai katil, almari, dan meja solek yang tersusun rapi. Terdapat pakaian mewah yang sudah lama tidak digunakan dan hampir reput dalam almari.

Anisah memasuki sebuah bilik yang paling besar. Anisah yakin itulah bilik tidur Lord Ambrose kerana terdapat potret bangsawan tersebut yang sangat besar di bilik itu. Selain ada katil dan almari, terdapat juga sebuah meja solek yang mempunyai cermin besar di atasnya. 

“Saya rasa inilah bilik tidur Lord Ambrose dulu. Nampak mewah betul bilik ni. Saya rasa rumah ni belum lagi diceroboh oleh penagih dadah atau pencuri. Sebab tu barang-barang dalam rumah ni nampak kemas.” Kata Anisah kepada para penonton.  

Ketika Anisah sedang ralit memeriksa ruangan itu, dia perasan ada sesuatu yang berdiri di tepi katil. Dia lantas menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke arah katil. Di sana, dia melihat entiti seorang lelaki berpakaian coat lama dengan wajah pucat dengan mata hitam legam. Anisah mahu menjerit namun dia cuba tahan. Beberapa saat kemudian entiti itu pun menghilang. 

"Apa itu korang? Korang nampak tak entiti tu tadi?" Seru Anisah ke kamera. 

Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Anisah masih meneroka di rumah agam milik Lord Ambrose itu. Di tingkat dua rumah itu, dia menjumpai sebuah bilik lagi yang agak tersorok. Anisah masuk ke bilik itu secara perlahan-lahan sambil ditemani lampu suluh dan kamera. Bilik itu tidak lain dan tidak bukan adalah bilik bacaan milik bangsawan itu. Ada banyak buku yang terdapat di situ seperti sebuah perpustakaan kecil. 

Anisah menyuluh di rak-rak buku tua untuk melihat buku-buku yang ada di situ. Ada banyak sekali buku yang bukan dalam bahasa Inggeris terdapat di rak itu. Kemudian Anisah menghalakan kamera dan lampu suluhnya dii tengah ruangan. Di situ, terdapat sebuah meja dengan pelbagai buku usang. Anisah membuka buku-buku itu. Banyak halamannya sudah rapuh berisi tulisan tangan cakar ayam yang Anisah tidak faham maksudnya. 

Tiba-tiba Anisah terdengar suara langkah kaki yang sedang mendekat tetapi perlahan. Anisah menyuluh ke sini sana untuk memeriksa tetapi tiada apa-apa. Dan secara tiba-tiba, pintu bilik bacaan itu tertutup sendiri dengan dentuman keras. Anisah agak terkejut namun dia cuba untuk tidak panik. 

Kemudian Anisah melihat munculnya satu entiti lelaki berbaju coat dengan wajah membusuk dan mata berlubang berdiri di hadapan meja. Anisah menjerit kerana terkejut tetapi dia masih lagi terus merakam untuk tatapan penonton live Youtube-nya. Beberapa saat kemudian entiti itu pun menghilang dan Anisah menarik nafas lega. 

Anisah keluar dari bilik itu dan turun ke ruang tamu di tingkat bawah. 

“Seram korang bila saya tengok entiti tadi tu. Rasa nak tercabut jantung saya sebab terlalu terkejut.” Ujar Anisah kepada para penonton. 

“Korang, saya rasa saya nak stop jelajah saya sampai sini. Saya rasa rumah ni dulu pernah ada orang buat praktik sihir. Jadi ‘penghuni’ dalam rumah ni sangat banyak dan menakutkan. Apa pun, menjelajah di rumah ini adalah pengalaman yang paling menarik sekaligus menakutkan dalam hidup saya. Jadi korang, kita jumpa lagi di video yang akan datang. Jangan risau, untuk video kali ni saya akan upload kat YouTube. Bye korang.” Ujar Anisah kepada para penontonnya. 

Kemudian dia segera keluar dari rumah tersebut dan bergegas menuju ke keretanya. Sebelum pulang, dia memandang rumah agam milik Lord Ambrose itu. Pengalaman dia di rumah itu sangat menakutkan walaupun seronok. Dia berpuas hati dengan jelajahnya kali ini. Namun, cukuplah sekali dia hadap pengalaman yang sangat mencabar malam itu. Sekarang dia mahu pulang dan berehat di rumah.

Sabtu, 21 Februari 2026

JELAJAH MALAM : PONDOK BOMOH SIAM

Malam itu sangat gelap. Tiada satu bintang pun yang muncul di langit. Anisah Malek, seorang YouTuber paranormal dengan 700 ribu subscriber, memegang kamera GoPro di tangannya. Dia sudah biasa dengan jelajah malam seperti ini – rumah tinggal, kubur lama atau hospital terbengkalai. 

Kali ini, dia hendak menjelajah ke sebuah pondok pula. Pondok yang pernah didiami oleh bomoh Siam. Pondok itu terletak di pinggir kampung Tanjung Penaga, ditinggalkan sejak bomoh itu setelah dia meninggal 12 tahun lalu. Ramai yang kata pondok itu menyeramkan dan ada banyak makhluk jahat yang mendiami pondok tersebut. 

"Korang, malam ni kita jelajah sebuah pondok yang pernah didiami oleh seorang bomoh Siam. Penduduk di kawasan ni kata pondok ni menyeramkan." Kata Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

Suaranya tenang meskipun malam itu bulu roma dan bulu tengkuknya sudah meremang. Dia hanya bersendirian, seperti biasanya, meskipun dia seorang perempuan. Sebab itulah videonya sering tular. Tiada kru dan tiada peneman di sisinya selain lampu suluh dan kameranya.

Anisah sampai di pondok itu sekitar pukul 12.00 malam. Anisah menyuluh dan merakam di sekitar pondok. Pondok itu kelihatan sangat buruk dan usang. Dinding kayunya sudah reput, atapnya bocor di sana-sini dan pintu depannya sudah mahu tertanggal. Anisah menolak pintu itu dan bunyi engsel yang berkarat begitu kuat. Di dalam pondok, dia terhidu bau amis bercampur dengan bau herba kering dan sesuatu yang busuk. Rak-rak penuh botol berisi cecair aneh, patung-patung kayu berwajah garang dan altar kecil di tengah ruang tamu dengan lilin yang sudah lama padam.

"Korang, kalau korang tengok sini kan, inilah altar utamanya. Sinilah agaknya bomoh ni gunakan untuk buat ritual." Ujar Anisah kepada para penontonnya. Dia halakan lampu suluh dan kameranya pada altar untuk menunjukkan pada para penonton.

Tiba-tiba, tingkap pondok itu terbuka dengan sendiri. Bukan sekadar terbuka, malah bergerak sendiri meskipun tiada angin pada masa itu. Kamera Anisah merakam kejadian itu supaya penonton dapat melihatnya. 

Anisah secara tiba-tiba melihat satu lembaga hitam yang berdiri tidak jauh darinya. Dia terus halakan kameranya untuk merakam. Mata lembaga hitam itu berwarna merah. Setelah terakam di kamera, lembaga hitam itu menghilang.  

"Korang nampak tak tadi lembaga hitam tu? Besar betul dan matanya berwarna merah." Bisik Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Setelah bertenang, Anisah meneruskan jelajahnya di pondok itu. Di bahagian belakang pondok, dia menemui sebuah bilik. Lantai kayu berderit ketika dia memijak lantai bilik itu. Di dalam bilik tersebut, terdapat sebuah cermin besar yang retak. Di depan cermin itu, terdapat sebuah buku yang kelihatan agak usang. Anisah pun membuka buku itu untuk mengetahui isi kandungan buku tersebut. Terdapat tulisan Siam di dalam buku itu. Buku itu bertulis tangan dengan aksara Siam. Terdapat percikan berwarna merah pada buku tersebut. Anisah pun zoom kamera ke buku itu. 

"Saya pun tak tahu ni buku apa korang. Mungkin buku ilmu hitam. Saya tak faham bahasa Siam, tapi buku ni nampak menakutkan." Ujar Anisah kepada para penontonnya. 

Ketika Anisah ralit merakam segenap bilik, kameranya merakam satu entiti putih seakan-akan pocong sedang berdiri di pintu bilik. Anisah agak terkejut namun dia segera menghalakan kameranya pada entiti itu untuk merakan namun dalam beberapa saat entiti itu pun menghilang.

Kemudian, di tepi cermin besar itu, muncul satu entiti wanita berbaju merah dengan wajah yang aneh. Entiti wanita itu mempunyai mata, hidung dan rambut namun tidak mempunyai mulut. Mata entiti itu hitam pekat seperti lubang tanpa dasar. Anisah terjerit kecil dan dia mundur kebelakang namun kameranya masih merekod entiti itu. Dalam beberapa saat entiti itu pun menghilang. Anisah menarik nafas lega. Rasa mahu tercabut jantungnya melihat entiti itu. 

Setelah mengambil nafas, Anisah berjalan semula ke ruang tamu. 

"Pondok ni memang menakutkan, korang. Ada banyak ‘penghuni’ dalam pondok ni. Mungkin sebab pondok ni pernah jadi praktik sihir. Sebab itu jadi macam ni." Anisah berkata kepada para penontonnya. 

Tiba-tiba, pintu depan pondok itu tertutup dengan sendiri dengan sangat kuat seperti ada sesuatu yang menghempas pintu itu dalam keadaan marah. Anisah agak terkejut namun dia masih lagi menyuluh dan merakam kejadian aneh itu. 

Kemudian, di belakangnya, Anisah terdengar suara seperti berbisik-bisik. Dia pusing ke belakang untuk melihat. Apabila dia mengamati suara itu, suara itu bercakap dalam bahasa Siam. Anisah cuba mencari tahu siapa yang mengeluarkan suara itu. Dia menyuluh ke segenap ruang namun dia tidak menjumpai sesiapa. Beberapa saat kemudian, suara itu pun menghilang. 

Anisah merakam lagi di sekitar pondok. Di sebelah kanan pondok, dia menjumpai sebuah ruangan yang mungkin pernah dijadikan dapur kecil. Anisah merakam dan menyuluh di ruangan itu tetapi tiada apa-apa yang dia temui di situ. Hanya sekadar tong gas lama dan tempat memasak kecil. 

Tiba-tiba, Anisah mendengar bunyi sesuatu di ruang tamu. Dia bergegas ke sana untuk merakam. Di ruang tamu pondok yang menempatkan altar, tiba-tiba lilin di altar menyala dengan sendiri. Anisah mula panik apabila melihat kejadian itu namun dia kekal tenang dan terus merakam. Anisah juga mula merasakan pondok itu mula bergegar secara perlahan. Anisah hampir hilang keseimbangan badan namun dia cuba kawal. Beberapa saat kemudian gegaran itu pun berhenti dan lilin di altar padam dengan sendiri. 

Kemudian dia mendengar sesuatu dari bilik belakang yang dia masuk tadi. Dia mendengar derap langkah kaki seseorang. Anisah mula mengintip sambil merakam. Melalui kameranya, dia melihat satu entiti yang agak tinggi dengan tanduk seperti rusa sedang berdiri di hadapan cermin. Entiti itu pusing ke arah Anisah dengan mata merah menyala. Anisah tergamam namun masih lagi merakam dan menyuluh. Seram sejuk tubuhnya saat itu. Segera dia baca ayat-ayat suci Al-Quran yang dia tahu agar Allah menolong dirinya waktu itu. Beberapa minit kemudian, entiti bertanduk itu pun menghilang. 

Kemudian dia terdengar suara orang tertawa. Terdengar seperti suara wanita. Anisah pusing ke belakang untuk melihat namun tiada siapa-siapa. 

“Korang dengar tak? Saya dengar suara orang ketawa.” Anisah memberitahu kepada para penonton live YouTube-nya. 

Kemudian dia lihat api lilin di altar menyala semula. Kemudian pondok itu bergegar lagi seperti tadi. Anisah mula panik. Dia langsung duduk di tengah ruang tamu itu. Sambil merakam dan menyuluh ke sini sana, dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Secara tiba-tiba, api lilin di altar berhenti menyala dan pondok itu pun berhenti bergegar. 

Kemudian Anisah terdengar jeritan dari luar pondok. Jeritan seorang wanita. Anisah bergegas bangun dan berdiri di muka pintu pondok. Sambil merakam dan menyuluh, dia cuba memeriksa sumber suara jeritan itu tetapi tiada siapa-siapa. Anisah pada waktu itu memang sangat takut tetapi entah mengapa dia tidak ingin lari. 

Kemudian dia terhidu bau amis darah yang entah dari mana.

“Saya ada bau darah korang. Tiba-tiba je. Tak tahu mana datang.” Anisah berkata kepada para penontonnya. 

Kemudian, Anisah melihat satu bayang berwarna hitam, kurus dan setinggi galah berdiri di luar pondok. Anisah terus merakam kejadian itu agar penonton live-nya dapat melihat. Bayang itu tidak memiliki wajah. Entiti itu sekadar berdiri di luar pondok. Anisah membaca ayat-ayat suci Al-Quran lagi. Dan bayang itu hilang tidak lama kemudian. 

“Saya rasa saya nak stop sampai sini korang. Saya dah tak larat dan hadap semua benda ni lagi. Gangguan yang saya terima dari pondok ni sangat banyak dan bertalu-talu. Saya nak balik dan berehat. Terima kasih sudi tonton video saya. Insha Allah, saya akan masukkan video ni dalam YouTube tak lama lagi. Bye korang…jumpa lagi di video akan datang.” Ujar Anisah seraya mengakhiri rakamannya. Dia menarik nafas lega. 

Dan tanpa melengahkan masa lagi, Anisah bergegas meninggalkan pondok itu. Dia bersyukur kerana dia masih selamat. Pengalamannya menjelajah di pondok itu adalah antara pengalaman yang paling mencabar dalam hidupnya. Dia bersumpah tidak akan menjejakkan kaki lagi ke pondok itu. 

Jumaat, 20 Februari 2026

JELAJAH MALAM : GUDANG BURUK

Anisah Malek menatap kameranya dengan senyuman. 

"Hai, korang! Ini Anisah dari channel Jelajah Malam. Malam ini, saya berada di sebuah gudang tua di pinggir Bandar Kelian Intan. Dahulu gudang ini adalah gudang minuman dalam tin dan dalam kotak. Gudang ini sudah lima tahun ditinggalkan. Saya pun tak tahu sebab apa gudang ini ditinggalkan. Apa-apa pun malam ni jom kita jelajah!" Ujar Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Malam itu keadaan sangat gelap. Anisah yang berjalan menghampiri gudang tinggal itu sudah terhidu bau karat dan debu. Gudang itu sangat buruk jika dilihat dari luar. Dinding batu gudang itu sudah banyak yang retak dan atapnya bocor di sana-sini. Sebelum masuk ke dalam gudang, Anisah menyalakan lampu suluh berkuasa tingginya. Kemudian barulah dia masuk ke dalam gudang melalui pintu belakang kerana pintu depan gudang itu terkunci. 

Lampu suluhnya memancarkan cahaya putih untuk menyinari gudang yang penuh dengan kotak-kotak lama dan mesin-mesin rosak. Terdapat juga banyak palet kayu yang ditinggalkan. Kameranya merakam setiap inci ruang gudang itu. Suara tapak kakinya bergema kerana gudang itu terlalu besar.

Anisah datang bukanlah untuk mencari hantu. Dia mahu belajar sesuatu di gudang itu. Gudang lama yang ditinggalkan itu pasti mempunyai sejarah, pengalaman dan kenangan yang didiamkan. Dia ingin belajar semua itu. 

Anisah melangkah masuk ke dalam gudang dengan lebih dalam. Kameranya merakam rak-rak besi yang tinggi. Rak-rak itu penuh dengan kotak-kotak besar yang sudah berhabuk. 

"Lihat ni, guys. Ini mungkin kotak-kotak yang berisi minuman yang ditinggalkan di sini. Kalau pencuri atau penagih dadah jumpa ni, mereka dah ambil dan jual semua kotak-kotak ni."

Tiba-tiba, suara creak bergema dari belakang. Anisah berpaling pantas, lampu suluhnya menyinari kegelapan. Namun, dia tidak melihat apa-apa di situ.

"Bunyi apa tu korang?" Soalnya pada kamera dalam keadaan hatinya berdegup laju. 

Apabila memastikan bahawa tiada apa-apa atau siapa-siapa di sana, dia meneruskan penjelajahan. Dia masuk ke sebuah bilik kecil di hujung gudang. Di situ, terdapat sebuah meja kayu yang dipenuhi dengan fail dan buku yang sudah lama. Anisah menyuluh ke arah buku-buku yang ada di situ. Halaman buku-buku itu sudah berwarna kuning dan tulisannya sudah pudar.

“Saya tak tahu ni buku apa. Mungkin buku panduan untuk gudang ni. Buku ni memang sudah lama tak guna.” Ujar Anisah pada penontonnya. 

Tiba-tiba, dia nampak sesuatu bergerak. Anisah menyuluh ke segenap ruangan itu. Di tepi sebuah almari besi, dia melihat suatu bayang hitam yang seperti melekat di dinding dan seperti bergoyang-goyang.

"Apa tu?" Bisiknya kepada para penonton. Kameranya fokus pada bayang hitam di dinding. Dan tiba-tiba bayang hitam itu menghilang. Dia menarik nafas lega. 

Malam semakin larut. Jam menunjukkan pukul 1.00 pagi. Setelah puas menjelajah di bahagian bawah, Anisah kemudiannya naik ke tingkat atas gudang melalui sebuah tangga besi. Tangga itu berderit apabila kaki Anisah mula memijak. Di atas, ruang lebih luas dan penuh dengan meja dan kerusi. Anisah yakin ruang itu pernah dijadikan pejabat untuk gudang tersebut. 

"Guys, saya rasa ruang ni dulu mereka jadikan sebagai pejabat." Kata Anisah. Dia berjalan perlahan-lahan sambil menyuluh. Di atas meja itu terdapat banyak kertas dan fail yang berselerakan. Terdapat juga beberapa buah komputer yang ditinggalkan. 

Tiba-tiba dia terdengar suara bisikan. Anisah tidak jelas dengan suara itu. Dia terus menyuluh dan merakam di sini sana namun tiada siapa di situ.

"Saya ada dengar suara tadi tapi saya tak tahu suara apa." Anisah memberitahu para penontonnya. Dia cuba untuk bertenang dan meneruskan penjelajahan sambil menyuluh dan merakam di segenap ruangan bekas pejabat. 

Ketika dia sedang sibuk menyuluh, merakam dan memeriksa, sebuah papan kenyataan yang ada di pejabat itu jatuh secara tiba-tiba ke lantai lalu menghasilkan bunyi yang kuat. Papan itu jatuh betul-betul di sebelahnya. Anisah menjerit kerana terkejut. Dia terus menyuluh papan kenyataan yang baru sahaja terjatuh itu. Tiada apa-apa di situ. 

“Apa tu korang? Papan tu jatuh…tiba-tiba je…saya rasa ‘penghuni’ tempat ni sudah mula bertindak.” Kata Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Rasa takut Anisah kembali bertambah. Dia memutuskan untuk turun ke bawah. Dia turun tangga yang dia naik tadi secara perlahan-lahan. Waktu itu hatinya berdegup kencang. 

Namun, dia teruskan juga sesi jelajahnya malam itu. Dia terus berjalan di gudang itu ditemani kamera dan lampu suluh. Di sebelah timur laut gudang, dia jumpa sebuah bilik. Dia masuk ke bilik itu secara perlahan-lahan. Di dalam bilik itu terdapat banyak fail dan buku. Dia menyuluh dan merakam di segenap ruang dalam bilik itu. 

Dia cuba menyelak fail-fail yang ada di situ. Dengan cahaya lampu suluhnya, dia cuba membaca. Namun, dia tidak memahami isi fail itu. Fail itu pastilah milik syarikat empunya gudang tersebut. 

“Sorry guys. Saya tak faham fail tu apa isi kandungan dia. Ada banyak sangat nombor. Maybe akaun ataupun kewangan syarikat. Entahlah. Saya bukan orang akaun. Jadi saya tak faham.” Ujar Anisah kepada para penontonnya. 

Setelah itu, dia terus berjalan untuk meneroka dan memeriksa apa yang ada di bilik tersebut. Tiba-tiba, sebuah cermin kecil yang ada di dinding bilik itu pecah berderai. Anisah terkejut namun dia tidak menjerit. Dia menyuluh ke arah cermin itu dan bergerak menuju cermin. Tidak tahu apa yang menyebabkan cermin itu boleh pecah secara tiba-tiba. Anisah menghalakan kameranya pada serpihan kaca cermin yang ada di lantai untuk menunjukkan kepada para penontonnya. 

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi sesuatu yang menderam. Anisah menyuluhkan lampu suluhnya pada arah bunyi menderam itu. Tidak jauh dari lokasi cermin itu, terdapat satu entiti yang menakutkan. Ada figura perempuan dengan rambut hitam panjang, muka pucat tanpa mata dan mulut hitam yang menganga.

Anisah terkejut dan terus menghalakan kameranya pada entiti itu namun entiti itu menghilang. 

“Korang nampak tak tadi? Ada hantu kat dinding tu.” Ujar Anisah kepada penontonnya dalam keadaan ketakutan. 

Apabila sudah tenang sedikit, Anisah berjalan keluar dari bilik itu. Tiba-tiba terdengar ada seseorang memukul bahagian atap gudang secara bertalu-talu. Bunyi pukulan itu sungguh kuat dan menghasilkan gema. Anisah menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke atap gudang tetapi tiada apa-apa. Bunyi itu masih berlaku dalam beberapa minit. Anisah hanya mampu meneguk liur pahit akibat takut. 

“Korang dengar tak guys bunyi tu tadi? Apa yang pukul atap tu korang? Haiwan ke? Atau ‘penghuni’ tempat ni?” Soal Anisah kepada penonton. Wajahnya pucat ketakutan dan matanya membulat. 

Tiba-tiba Anisah melihat ada entiti perempuan berambut panjang dan berjubah putih compang-camping melayang di atas atau gudang. Anisah terus menghalakan kamera dan lampu suluhnya pada entiti itu untuk menunjukkan kepada para penonton live Youtube-nya. 

“Korang nampak tak guys apa tadi tu? Itu pontianak ke langsuir korang?” Bisik Anisah kepada penontonnya. Dia seperti mahu lari keluar dari gudang buruk itu namun dia cuba bertenang.  

Anisah mahu menjerit apabila melihat entiti itu namun dia cuba tahan. Tiba-tiba, dia terbau sesuatu yang sangat busuk seperti bau bangkai.

“Saya ada bau bangkai korang. Tiba-tiba je. Busuk sangat. Tak tahu datang dari mana.” Kata Anisah kepada para penontonnya. Dia cuba menyuluh di sini sana untuk memeriksa namun tidak jumpa punca bau itu. 

“Okaylah korang. Saya rasa saya nak akhiri live saya malam ni. Saya rasa mungkin ‘penghuni’ tempat ni nak suruh saya balik. Terima kasih kat korang yang sudi live dengan saya pagi-pagi macam ni. Harap korang enjoy dengan video kali ni. Jangan risau, video ni akan saya edit dan saya akan letakkan di channel YouTube saya. So harap korang boleh like, komen dan share okay. Okay korang, bye…” Anisah mengakhiri sesi siaran langsung YouTube-nya. 

Dia kemudian terus bergegas keluar dari gudang itu melalui pintu belakang. Kemudian dia menuju ke tempat dia meletakkan motorsikal. Sebelum dia pulang ke rumah, Anisah memandang semula gudang buruk dan tua itu. Sesungguhnya dia berasa takut dan seronok membuat penjelajahan di gudang itu. Pengalaman meneroka gudang terbiar itu adalah pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya. Dan dia sangat bersyukur kerana Allah masih melindungi dirinya dari hal-hal yang bahaya ketika berada di dalam gudang lama itu.  

Khamis, 19 Februari 2026

JELAJAH MALAM : PEJABAT POS TERBENGKALAI

Anisah Malik menekan butang rekod pada kameranya, wajahnya yang pucat disinari cahaya hijau dari skrin night vision. 

"Hai guys, ini Anisah dari channel Jelajah Malam. Malam ini, kita akan meneroka sebuah pejabat pos lama di Pekan Kelian Pauh. Bangunan ni dah ditinggalkan sejak 12 tahun lalu. Saya pun tak tahu kenapa bangunan ni ditinggalkan. Penduduk di kawasan ni kata mereka selalu nampak kelibat hitam dalam bangunan ni pada waktu malam." Suaranya tenang, tapi jantungnya berdegup laju. Pekan Kelian Pauh pada waktu itu sunyi, tidak seperti bandar-bandar besar lain yang masih ‘hidup’ meskipun sudah tengah malam. 

Pejabat pos itu berdiri usang dan terbiar di pinggir sebuah jalan. Anisah memakirkan motorsikalnya berhampiran dengan pejabat pos itu. Setelah bersedia, dia berjalan secara perlahan menuju ke pejabat pos itu sambil ‘ditemani’ lampu suluh berkuasa tinggi dan kamera. Keadaan di sekitar itu sungguh gelap.  

Pejabat pos itu memang sudah terbiar dan tidak dijaga. Dindingnya retak, cat mengelupas dan pintu depan kaca itu setengahnya sudah pecah. Anisah tolak pintu depan itu secara perlahan, mengeluarkan bunyi engsel karat seperti jeritan kecil. Dia melangkah masuk secara perlahan-lahan sambil menyuluh ke dalam. 

Lantai di dalam pejabat itu sungguh tebal dengan habuk. Kaunter-kaunter lama masih ada, penuh dengan kotak surat lusuh dan timbunan kertas kuning.

"Okay, korang, saya dah masuk. So, korang boleh tengok keadaan kat dalam pejabat pos ni pada pukul 12.00 malam." Dia memusingkan kameranya 360 darjah untuk menunjukkan pada penonton livenya malam itu keadaan pejabat pos pada waktu itu. 

Keadaan dalam pejabat pos itu sungguh gelap, hanya diterangi oleh cahaya pada lampu suluh Anisah. Dia terus berjalan ke semua ruangan yang ada di pejabat pos itu. Dia kemudiannya terjumpa sebuah bilik yang terletak di bahagian belakang pejabat. Dalam bilik itu terdapat sebuah meja yang di atasnya ada banyak timbunan fail dan surat. Dia melangkah masuk perlahan-lahan sambil menyuluh ke segenap ruangan yang ada di bilik itu. 

"Guys, saya rasa seram sejuk dalam bilik ni. Meremang segala bulu roma saya dalam bilik ni." Katanya pada kamera dengan suara bergetar. Di dalam hatinya sudah timbul rasa tidak sedap. Kesejukan malam yang menyusup masuk dari celah tingkap yang pecah menambahkan rasa suram dan seram di ruangan itu. 

Tiba-tiba dia berhenti apabila mendengar bunyi ketukan yang agak kuat. "Apa tu? Korang dengar tak?" Soal Anisah kepada para penonton.

Dia menyuluh untuk mencari punca bunyi itu namun tiada apa-apa. Dia cuba untuk kekal tenang dan meneruskan jelajahnya malam itu lalu masuk ke sebuah bilik yang lain. Bilik itu terletak bersebelahan dengan bilik yang dia masuk tadi. Di dalam bilik itu, terdapat rak-rak tinggi yang penuh dengan fail dan surat lama. Anisah masuk perlahan-lahan ke dalam bilik itu sambil menyuluh. Tiba-tiba, sebuah fail terjatuh menyebabkan kertas-kerta yang ada dalam fail itu bertaburan. Anisah menjerit kecil kerana terkejut. Dia menyuluh ke arah fail yang terjatuh tu. Dia menghampiri dan menyuluh ke arah fail yang berada di lantai. Dia kemudiannya menyuluh di sekeliling ruangan itu namun tiada apa-apa. 

"Terkejut aku. Please, saya datang ni bukan nak kacau awak. Saya just nak belajar sesuatu dari tempat ni. Awak janganlah marah." Ujar Anisah dengan lembut. Dia tujukan percakapan itu kepada makhluk-makhluk halus yang mendiami tempat itu. Oleh sebab dia tidak sedap hati, Anisah berjalan keluar dari bilik itu. 

Jam menunjukkan 1.00 pagi. Setelah keluar dari bilik belakang itu, Anisah pergi pula ke ruangan yang menempatkan kaunter utama. Keadaan di kaunter itu sungguh bersepah dengan kertas, fail dan surat di atas lantai. Terdapat juga banyak alatan pejabat seperti cop dan pen. Terdapat sebuah komputer lama berada di atas kaunter itu. Di atas meja kaunter itu juga bersepah-sepah dengan kertas dan fail. 

Anisah menyuluh dan merakam di segenap ruangan kaunter itu. "Korang tengok ni guys. Bersepah-sepah tempat ni. Tak tahulah yang mereka pindah dulu secara tergesa-gesa ke atau ada pencuri atau penagih dadah yang menyelongkar tempat ni. " Katanya kepada penonton di live Youtube-nya.  

"Tol...ong..." Anisah terdengar bunyi suara wanita secara sayup-sayup dan perlahan. Mata Anisah membulat. Dia menyuluh ke segenap ruangan itu untuk memeriksa.

“Saya dengar suara minta tolong guys. Suara siapa tu guys?” Anisah menyoal penontonnya dengan nada cuak. Dia pergi menuju ke pintu utama pejabat pos itu untuk memeriksa sama ada terdapat sesiapa berada di luar pejabat pos yang meminta pertolongan. Namun, dia tidak menjumpai sesiapa di situ. 

Setelah memastikan tiada siapa di situ, Anisah menuju pula ke sebelah kiri ruang pejabat itu. Di sana, dia menjumpai sebuah bilik yang agak gelap. Dia masuk perlahan-lahan sambil menyuluh ke dalam bilik itu. Dinding bilik itu penuh dengan tulisan dan coretan vandalisme. 

“Tengok guys. Orang conteng-conteng kat dinding bilik ni. Entah apa-apa ditulisnya.” Ujar Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

Anisah masuk lebih dalam ke ruangan bilik. Di sana, dia menjumpai sebuah pintu di hujung bilik. Pintu itu diperbuat daripada besi. Pintu itu sudah berkarat dan dalam keadaan terkunci. Anisah cuba tolak tetapi tidak bergerak sedikit pun. Oleh kerana tidak dapat masuk ke dalam ruangan pintu besi itu, Anisah memusingkan badannya untuk meneroka di bahagian lain bilik itu. Cahaya lampu suluhnya terus menyuluh dan tiba-tiba, dia nampak suatu figura. Terdapat seorang perempuan, dengan rambut panjang menutup muka, berdiri di hadapannya.

Anisah terkejut dan ingin menjerit tetapi figura itu tiba-tiba hilang. "Korang nampak tak apa yang saya nampak guys?" Soal Anisah kepada para penontonnya. 

Anisah cuba menenangkan diri. Dia agak terkejut tadi. Dia kemudian terus memeriksa ruangan itu. Di atas lantai, terdapat sepucuk surat lama dengan sampul warna kuning. Dia angkat surat itu dan dia baca tulisan pudar yang ada di sampul itu. Dia tidak dapat membaca apa yang tertulis di sampul tersebut. Jadi, dia letak semula surat itu di lantai.  

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi langkah kaki dari atas siling seperti seseorang berlari. Anisah angkat kamera ke atas untuk memeriksa tetapi tiada apa-apa. Terdapat debu jatuh ke mukanya.

"Apa yang berlari kat atas tu guys?!" Bisik Anisah kepada penonton live Youtube-nya. Dia berasa agak takut pada waktu itu namun dia cuba menenangkan diri. 

Anisah meneruskan jelajahnya. Dia buat tidak endah dengan apa yang dia dengar tadi. Mungkin itu adalah bunyi yang dibuat oleh ‘penghuni’ tempat itu untuk mengganggunya. Dia keluar dari bilik itu dan dia menjumpai sebuah bilik yang ada di hadapan bilik yang dia masuk tadi. Bilik itu pintunya tertutup. Dia buka pintu itu. Pintu terbuka dengan bunyi menggerunkan. Bilik itu sama seperti bilik-bilik lain, berada dalam keadaan yang sungguh gelap. Terdapat sebuah almari kayu lama dan reput berada dalam bilik itu. Anisah masuk perlahan-lahan sambil menyuluh dan merakam.  

"Tengok guys. Ada banyak fail dalam almari kayu ini." Anisah berkata kepada penonton live Youtube-nya sambil menyuluh ke arah almari itu yang pintunya sudah tidak tahu hilang ke mana. 

Anisah terus melangkah masuk ke bilik itu. Di bilik itu penuh dengan kotak-kotak bersaiz besar. Anisah juga jumpa ‘bong’ - alat yang digunakan oleh penagih ganja di ruangan itu. 

Tiba-tiba Anisah terdengar seperti suara berbisik. Dia memusingkan badannya dan menyuluh untuk memeriksa jika terdapat siapa-siapa di sana. Namun, ruangan itu kosong. Hanya dia sahaja yang berada di ruangan itu. 

“Saya dengar ada suara berbisik guys tapi saya tak tahu dia bisik apa.” Ujar Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Dia teruskan berjalan di ruangan itu. Dia nampak sebuah cermin retak di dinding. Dia menuju ke arah cermin itu dan menyuluh. Tiba-tiba dia dengar bunyi nafas berat, seperti seseorang berada begitu hampir dengan dirinya. Dia pusing kameranya untuk merakam tetapi tiada siapa. Dan tiba-tiba, almari kayu tadi runtuh separuh. Fail dan kertas jatuh bertaburan di lantai. Anisah terjerit kecil melihat kejadian itu. Dia pergi ke arah almari itu untuk memeriksa tetapi tiada apa-apa. 

“Mati!!!” Tiba-tiba Anisah mendengar suara orang menjerit halus di luar bilik itu. Anisah berlari keluar untuk memeriksa. 

"Siapa tu?" Anisah bertanya sambil menyuluh namun tiada siapa di situ. Anisah agak takut dan berdebar waktu itu namun dia cuba menenangkan diri. Itu bukanlah pertama kali dia berhadapan dengan situasi seperti itu. 

Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi waktu itu. Anisah terus meneroka di segenap ruangan dalam pejabat pos itu. Dia menjumpai sebuah bilik lagi. Dia masuk perlahan-lahan ke dalam bilik itu. Dia menyuluh ke sana sini untuk memeriksa. Tiba-tiba, lampu suluhnya menyuluh ke arah satu entiti di hujung bilik. Entiti itu memiliki badan yang kurus, berwajah pucat dan kepalanya seperti mahu tercabut dari badan. Anisah menjerit namun entiti itu terus menghilangkan diri.

"Korang nampak tak tadi apa tu guys?" Aminah tercungap-cungap bertanya kepada penonton live Youtube-nya. Dia benar-benar takut dan terkejut. 

Kemudian dia mendengar seperti bunyi cakaran di dinding. Dia menyuluh di segenap ruangan itu namun tiada apa-apa. Bunyi cakaran itu pun menghilang. Anisah berasa lega tetapi masih lagi takut. Anisah berjalan ke luar dari bilik itu. Sambil-sambil itu dia terus merakam dan menyuluh. 

“Okaylah guys. Saya rasa saya nak stop sampai sini. Maybe ‘penghuni’ tempat ni nak suruh saya balik.” Ujar Anisah kepada penonton live Youtube-nya. Anisah keluar dari pejabat pos itu dan menuju ke motosikalnya. 

"Alhamdulillah guys, saya selamat. Memang pengalaman menjelajah di pejabat pos ni akan menakutkan bagi saya tapi saya puas hati. Saya harap korang boleh subscribe channel saya dan like video ni. Terima kasih sebab korang sudi live dengan saya sampai pagi macam ni. Kita jumpa lagi pada video yang akan datang. Bye…” Anisah mematikan kemeranya. Dia melihat ke arah pejabat pos itu. Pejabat pos itu memang menakutkan tetapi memberi pengalaman yang menarik baginya sebagai seorang penjelajah waktu malam yang mahu mencari ilmu dan pengalaman.  

SIULAN HANTU

“Ada apa tok datang ke mari?” Soal Ustaz Fitri kepada Tok Saifuddin, Penghulu Kampung Seri Bertam. Mereka pada masa itu di pusat rawatan Islam yang dimiliki oleh Ustaz Fitri. 

“Saya nak minta tolong Ustaz.” Balas Tok Saifuddin dengan wajah gusar. 

“Minta tolong apa tu?” Tanya Ustaz Fitri. Dia mengamati wajah lelaki tua yang duduk di hadapannya itu.  

“Sebulan dua ni, ada seorang penduduk di kampung saya, Nasution namanya, dia meninggal dalam keadaan yang sangat mengerikan. Dia mati dalam keadaan badan dia mengeras dan matanya terbutang selepas dia kena rasuk. Sebelum dia mati, dia asyik sebut pasal siulan ataupun orang bersiul. Saya pun tak faham apa tu.” Tok Saifuddin bercerita. 

“Siulan?” 

“Ya, betul ustaz. Ada khabar angin kata, kalau kita dengar siulan di kawasan kampung tu pada waktu malam, kita boleh mati. Saya pun tak pasti betul ke tidak khabar angin tu.”  

“Tok pernah dengar ke siulan tu?” 

“Tak pernah ustaz. Kalau saya pernah dengar, saya tak ada dekat depan ustaz ni.” Ujar Tok Saifuddin. Ustaz Fitri tersenyum kecil mendengar kata-kata penghulu kampung itu. 

“Boleh tok cerita sikit latar belakang Nasution tu?” 

“Nasution ni dia petani kecil-kecilan kat kampung tu. Malam dia mati tu, dia pergi lepak dengan kawan dia kat Warung Hasnah. Dalam pukul 10.30 malam kot baru dia balik rumah. Dia sampai je rumah, isteri dia kata wajah dia pucat. Lepas tu dia terus rebah kat ruang tamu. Lepas tu dia macam kena rasuk dan akhirnya dia meninggal.” 

“Lepas Nasution, ada lagi tak yang mengalami hal yang sama?” 

“Ada, lepas Nasution, si Ismail pula kena. Ismail ni bapa tunggal. Anak dia cerita, sebelum dia meninggal, dia ada dengar siulan semasa menyapu sampah di belakang rumah. Saya pun tak faham la kenapa dia menyapu sampah malam-malam. Esoknya tu dia jatuh sakit. Dia kena demam tinggi dan mula bercakap dalam bahasa aneh. Dua hari kemudian, dia mati dalam tidur, dengan senyuman aneh di bibir.”

“Lepas tu ada lagi tak orang lain yang kena?” 

“Ada ustaz. Lepas tu, ada sebelas orang lagi penduduk kampung yang mengalami nasib sama. Ramai yang takut keluar malam. Saya ada suruh penduduk kampung untuk buat rondaan malam-malam tapi ramai yang tak berani. Saya sendiri pun takut ustaz.” 

“Selain dari siulan, tok ada dengar apa-apa lagi punca penduduk kampung mati secara misteri ni?”  

“Ada yang kata orang bunian yang buat bunyi tu. Ada yang kata roh yang tak tenang yang buat bunyi tu. Ada yang kata, siulan itu adalah panggilan dari hantu langsuir untuk membalas dendam. Saya sendiri pun tak tahu mana satu yang betul.” 

“Baik, faham. Takpe, macam ni, tok balik dulu. Saya nak bincang dengan kawan saya dulu bila nak ke kampung tok. Bila kami dah sepakat, kami akan beritahu tok bila kami nak datang untuk uruskan masalah ni.” 

“Baiklah. Harapnya ustaz dapatlah bantu kami untuk selesaikan masalah ni.” 

“Insha Allah…kami pasti bantu.” 


************ 


Ustaz Fitri, Saliha, seorang pengamal reiki dan Ustaz Baba yang merupakan pembantu kepada Ustaz Fitri berkereta menuju ke Kampung Seri Bertam. Ustaz Baba yang jadi pemandu. Ustaz Fitri duduk di sebelahnya manakala Saliha duduk di kerusi belakang. Dalam perjalanan itu, mereka mengamati suasana kampung tersebut. Kampung Seri Bertam terletak di sebelah barat daya Semenanjung Malaysia. Kampung itu sangat tenang, redup dan sejuk kerana kampung itu masih dihiasi dengan pokok-pokok rimbun nan tinggi yang menjadi kanopi semula jadi yang menghalang cahaya matahari menembus masuk dengan garang.  

Menurut Tok Saifuddin, penduduk kampung itu hidup secara sederhana. Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani. Mereka bergantung pada ladang getah dan kebun sayur kecil. 

“Kita nak ke berhenti kat mana ni ustaz?” Soal Ustaz Baba kepada Ustaz Fitri. 

“Kita berhenti kat masjid besar kampung ni. Kita solat Asar dulu lepas tu baru kita ke hotel untuk check in.” Jawab Ustaz Fitri. 

“Baiklah.” Balas Ustaz Baba. 

Setelah menjumpai masjid di kampung itu, mereka bertiga pun pergi menunaikan solat Asar. Seusai solat, tidak putus-putus doa dipanjatkan oleh Ustaz Fitri kepada Allah supaya dapat membantu dan mempermudahkan urusannya. Habis solat Asar, mereka bertiga kembali semula masuk ke dalam perut kereta. 

“Lepas ni kita nak pergi mana pula ustaz?” Ustaz Baba bertanya kepada Ustaz Fitri. 

“Kita pergi check in hotel kita dulu. Malam nanti dalam pukul 11.00 malam, kita datang semula ke kampung ni. Malam ni kita akan mula siasat.” Ustaz Fitri membalas. 


*************


Malam itu, tepat pukul 11.00 malam, mereka bergerak dari hotel dan menuju semula ke Kampung Seri Bertam. Sampai sahaja di kawasan kampung, Ustaz Baba meletakkan kereta di tepi sebuah hutan yang ada di kampung itu. Dia kemudiannya mematikan enjin kereta dan duduk bertiga bersama Ustaz Fitri dan Saliha di dalam kereta. Mereka sebenarnya sedang menunggu untuk mendengar siulan yang boleh membawa maut itu. 

Semasa menunggu, Ustaz Fitri terus berzikir dengan tasbih yang dibawanya. Dia juga membawa air zam zam yang telah diruqyahkan. Malam itu suhu agak dingin. Mungkin kerana kampung tersebut ada banyak pokok. Ustaz Baba dan Saliha pula sekadar bermain telefon pintar mereka. 

“Ustaz rasa betul ke kalau kita dengan bunyi siulan tu kita boleh mati?” Soal Ustaz Baba. Sebenarnya dia agak takut berada di kawasan itu. Dalam kalangan mereka bertiga, hanya dia yang tiada ilmu dalam menangani hal-hal mistik. Dia ikut ini pun kerana diminta oleh Ustaz Fitri untuk menjadi pemandu dan menjadi teman agar Ustaz Fitri tidak berdua-duan dengan Saliha. 

“Saya pun tak tahu Ustaz. Malam ni kita dengar. Kalau malam ni kita mati, maka betul la tu.” Ustaz Fitri menjawab. Ustaz Baba meneguk liur pahitnya manakala Saliha pula tersenyum kecil mendengar kata-kata Ustaz Fitri itu. 

Selain sejuk, keadaan pada masa itu sungguh hening dan sunyi. Tiada kelihatan orang lalu lalang di kawasan itu. Tidak sampai dua kilometer di hadapan sana, ada beberapa rumah kampung yang dibina secara berjauhan antara satu sama lain. Mungkin benar kata Tok Saifuddin. Penduduk kampung itu takut untuk keluar pada waktu malam. Takut terdengar bunyi siulan yang boleh mematikan itu. 

Sedang asyik mereka melayan perasaan masing-masing, tiba-tiba mereka terdengar bunyi siulan dari arah hutan. Mereka bertiga menegakkan badan. Bulu roma mereka turut berdiri. Ustaz Fitri langsung membaca ayat-ayat ruqyah dengan kuat di dalam kereta itu. Ustaz Baba membaca ayat Kursi dan zikir-zikir yang dia tahu. Manakala Saliha pula cuba mengaktifkan tenaga semester yang positif di dalam dirinya. 

“Ustaz Baba tunggu dalam kereta ya. Jangan pergi mana-mana. Saya dan Saliha nak masuk hutan untuk pergi siasat. Ustaz Baba boleh buka radio yang memperdengarkan bacaan Al-Quran. Insha Allah tiada apa-apa.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Baik.” Balas Ustaz Baba pendek. 

Ustaz Fitri dan Saliha masuk ke dalam hutan dengan berjalan kaki. Mereka membawa lampu suluh untuk menerangi jalan di hutan yang gelap-gelita itu. Mereka berjalan dengan penuh hati-hati kerana takut terjatuh. Sepanjang mereka berjalan, mereka terus menerus mendengar bunyi siulan itu. 

"Saya dapat rasa tenaga negatif yang sangat kuat di sini." Kata Saliha sambil berjalan. “Saya tak tahu makhluk apa yang buat bunyi siulan ni tapi tenaga negatif dia sangat kuat.” 

Ustaz Fitri sekadar mengangguk. Dia terus membaca ayat-ayat ruqyah sepanjang dia berjalan. Siulan itu berbunyi seperti melodi duka - lambat dan menyedihkan.  

“Ustaz, saya dapat rasa satu tenaga negatif yang sangat kuat, laju dan besar sedang menuju ke arah kita. Kita kena hati-hati.” Ucap Saliha. Ustaz Fitri sekadar mengangguk. 

Tiba-tiba muncul satu makhluk yang sangat besar di hadapan mereka. Makhluk itu setinggi tiga lelaki dewasa, berwarna hitam dan berbulu. Mereka berdua tidak dapat melihat wajah makhluk itu tetapi makhluk itu mempunyai dua mata berwarna merah. 

Makhluk itu cuba mendapatkan Ustaz Fitri dan Saliha namun mereka berdua berlari dan berpecah. Ustaz Fitri terus membaca ayat-ayat ruqyah dengan suara nyaring manakala Saliha pula menghalakan tangannya ke arah makhluk itu untuk menyalurkan tenaga positifnya pada makhluk itu. Ustaz Fitri pula selain merenjis air zam zam pada makhluk itu, dia juga mencampakkan garam dan lada hitam ruqyah. Gabungan ruqyah dan tenaga semester positif daripada Ustaz Fitri dan Saliha telah membuatkan makhluk itu kesakitan dan makhluk itu pun menjerit. Siulan yang keluar dari makhluk itu tadi bertukar menjadi jeritan.

Serangan bertubi-tubi dari Ustaz Fitri dan Saliha telah melemahkan makhluk itu. Walaupun makhluk itu cuba melawan, namun makhluk itu tidak mampu. Akhirnya makhluk itu mengalah lalu menghilangkan diri. 

“Saya rasa makhluk itu la yang buat siulan tu selama ini.” Ujar Saliha setelah mendapatkan Ustaz Fitri. 

“Betul, dan makhluk itu jugalah yang membunuh penduduk kampung ni.” Balas Ustaz Fitri. 


**************


Keesokan harinya, Ustaz Fitri dan Saliha pergi membuat siasatan. Mereka hendak tahu apa yang telah berlaku di kampung itu. Kemunculan makhluk itu pasti ada sebabnya. Makhluk itu tidak akan muncul secara tiba-tiba. Pasti ada sesuatu yang membuatkan makhluk itu muncul dan membunuh penduduk kampung. 

Hasil wawancara mereka dengan penduduk kampung, pernah berlaku satu pembunuhan yang melibatkan seorang wanita bernama Qamariah 20 tahun dahulu. Wanita itu dibunuh dan ditanam oleh suaminya di dalam hutan. Qamariah dituduh curang dengan lelaki lain oleh suaminya. Oleh kerana marah dan tanpa usul periksa, dia dibunuh dengan sangat kejam.  

“Di mana jasad Qamariah sekarang?” Soal Ustaz Fitri kepada Tok Saifuddin. Mereka pada masa itu berada di rumah penghulu kampung itu. 

“Lepas polis jumpa jenazah dia di hutan, dia sudah dikuburkan dengan baik.” Jawab Tok Saifuddin. 

“Apa yang jadi dengan suami dia sekarang?” Tanya Saliha pula. 

“Suami dia kena gantung sampai mati oleh mahkamah lima belas tahun lepas.” Tok Saifuddin menjawab.  

“Selain suami dia, ada tak ahli keluarga dia yang lain?” Ustaz Fitri bertanya. 

“Kalau tak salah saya, adik dia ada tinggal di sebelah selatan kampung ni. Adik dia tu bomoh. Ramai orang yang pergi dapatkan tangkal azimat, pelaris dan minyak pengasih dari adik dia.” Balas Tok Saifuddin. 

“Siapa nama adik dia tu?” Soal Saliha. 

“Hamidi.” Tok Saifuddin membalas. 

“Saya yakin yang serang kita semalam bukan qorin Qamariah. Itu makhluk lain.” Ujar Ustaz Fitri. Dia minum teh suam yang dihidangkan oleh isteri Tok Saifuddin di ruang tamu rumah kampung itu. 

“Apa-apa pun, kita kena jumpa Hamidi untuk siasat.” Kata Saliha.

“Betul tu. Mari kita pergi cari dia.” Balas Ustaz Fitri. 


*************


Ustaz Fitri dan Saliha pergi ke rumah Bomoh Hamidi secara berkereta yang dipandu oleh Ustaz Baba. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke sebuah rumah kampung yang agak uzur. Rumah itu kecil sahaja dan jika dilihat dari luar, rumah itu kelihatan agak menyeramkan.

“Rumah ni penuh dengan tenaga negatif. Terlalu banyak. Memang pemilik rumah ni memang mengamalkan sihir yang sangat dahsyat.” Ujar Saliha setelah dia turun dari kereta. 

“Yup, rumah ni bukan sahaja suram malah seram. Hanya orang yang bersekutu dengan iblis sahaja suka tinggal di rumah ni.” Kata Ustaz Fitri. Ustaz Baba hanya diam. Dia tidak berkata apa-apa. Melihat rumah tua uzur itu sudah menakutkan dirinya. 

“Ada perlu apa kalian ke mari?” Soal seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di muka pintu rumah itu. Wajah lelaki itu garang dan menakutkan. Uban sudah memutih di kepalanya. Dia memakai baju-T dan kain pelikat yang agak lusuh. 

“Kami datang ni nak jumpa Hamidi.” Balas Ustaz Fitri. “Dia ada?”

“Sayalah Hamidi.” Kata lelaki itu. “Ada perlu apa awak nak jumpa saya?” Lelaki itu bertanya dengan agak kasar.    

“Saya nak tanya pasal kakak tuan yang nama Qamariah tu…yang meninggal 20 tahun lepas.” Jawab Ustaz Fitri. 

“Kenapa awak sibuk-sibuk nak tahu pasal dia?” Soal Hamidi dengan muka masam. 

“Tiada apa cuma kami nak siasat pasal bunyi siulan yang sering mengganggu penduduk kampung ni pada waktu malam. Kami cuma nak tahu adakah dia ada kaitan dengan siulan tu.” Ustaz Fitri membalas. 

“Tak payah nak sibuk-sibuk. Dia dah lama meninggal. Tak payah kacau dia. Kalian semua boleh balik!” Kata Hamidi dengan tegas seraya menutup pintu rumahnya dengan kasar. Ustaz Fitri dan Ustaz Baba sekadar menggelengkan kepala melihat ulah Hamidi itu. 

“Saya dapat rasakan yang makhluk semalam itu ada di sini. Tenaga negatif makhluk semalam itu begitu kuat di sini. Saya yakin makhluk bersiul semalam tu ada kaitan dengan Hamidi.” Ujar Saliha. 

“Awak yakin Saliha?” Ustaz Fitri memandang wajah Saliha.

“Ya, saya sangat yakin.” Saliha menjawab. 

“Kalau macam tu, kita kena hantar semula makhluk ni pada tuan dia. Biar dia rasa pula apa yang dia buat kat orang.” Balas Ustaz Fitri. 


*********** 


Malam itu malam bulan purnama mengambang. Ustaz Fitri, Ustaz Baba dan Saliha pergi semula ke hutan. Malam itu seperti biasa agak sejuk dan sunyi. Saliha dan Ustaz Fitri berjalan berdua di hutan manakala Ustaz Baba tunggu di dalam kereta. Saliha cuba mengesan tenaga negatif yang dipancarkan oleh makhluk itu. Ustaz Fitri pula terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. 

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi siulan yang kuat dan menusuk seperti biasanya. Tidak lama kemudian, makhluk hitam besar itu muncul dengan mata merah. Dari makhluk itu jelas kedengaran bunyi siulan tanpa henti.

Ustaz Fitri mula membaca ayat Kursi dengan suara kuat. Saliha pula mula merasakan tenaga negatif makhluk itu mula mendekat ke arah mereka berdua. Ustaz Fitri mula menyembur air zam-zam ke arah makhluk itu. Dia juga melempar garam dan lada hitam ke arah makhluk itu. Sesudah itu, dia pukul makhluk itu dengan kayu pohon bidara.

Saliha pula tidak tinggal diam. Dia cuba menyalurkan tenaga semester yang aktif dalam dirinya kepada makhluk itu dengan cara menghalakan tapak tangan. Tenaga semester yang disalurkan oleh Saliha itu telah menyebabkan makhluk itu lemah. Pukulan dengan kayu bidara oleh Ustaz Fitri pula menyebabkan makhluk itu kesakitan. 

Ustaz Fitri terus membaca ayat ruqyah dan ayat Al-Quran lagi. Dia cuba untuk menghantar makhluk itu kepada tuan dia semula. Dengan ilmu Ustaz Fitri digabung pula dengan tenaga semester yang ada pada diri Saliha, makhluk itu tercampak pergi dan kembali semula kepada tuan dia. 

“Esok kita akan tahu, siapa yang punya makhluk bersiul yang suka bunuh orang ni.” Ujar Ustaz Fitri. 


**************  


Keesokan harinya, gempar berita yang Hamidi meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan. Beberapa penduduk kampung yang hendak pergi ke kebun menemui mayatnya. Keadaan mayatnya sungguh menakutkan. Wajahnya kelihatan pucat dan kebiruan. Matanya terbutang dan terperosok ke dalam. Mulutnya ternganga dan keadaan kulitnya berkedut seribu.

Mendengar berita itu, Tok Saifuddin, Ustaz Fitri, Saliha dan Ustaz Baba pergi ke rumah Hamidi. Mereka sungguh terkejut melihat keadaan dan rupa mayat Hamidi. 

“Memang sah la. Hantu bersiul tu memang dia yang bela.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Apa?” Tok Saifuddin agak terkejut mendengar kata-kata Ustaz Fitri. 

“Sebenarnya yang bersiul dan membunuh penduduk kampung ni bukan roh atau qorin Qamariah tetapi Jin yang dipuja oleh Hamidi. Saya tak tahu apa tujuan dia tapi itulah yang dia buat.” Tambah Ustaz Fitri. 

“Ya Allah…dahsyat betul dia ni. Tapi saya rasa saya tahu kenapa dia buat macam ni.” Kata Tok Saifuddin. 

“Kenapa?” Ustaz Fitri dan Saliha bertanya serentak. 

“Sebab duit. Sejak ada penduduk kampung ni ada yang mati dengar siulan hantu tu, ramai yang ke rumah Hamidi minta tangkal. Dia boleh jana pendapatan dekat situ.” Tok Saifuddin menjawab. 

“Licik juga bomoh ni.” Balas Ustaz Fitri. 

“Apa pun terima kasih Ustaz dan Cik Saliha kerana sudi datang dan tolong saya. Saya hargai sangat-sangat.” Kata Tok Saifuddin. 

“Eh tak ada apakah. Dah tugas kami. Harap lepas ni penduduk kampung tak perlu berasa takut ni.” Balas Ustaz Fitri. 

“Begitu hendaknya.” Tok Saifuddin tersenyum.

Sejak meninggalnya Bomoh Hamidi, Kampung Seri Bertam kembali tenang. Mereka tidak lagi mendengar bunyi siulan yang membawa maut itu. Mereka juga sudah tidak takut lagi untuk keluar pada waktu malam. Sesungguhnya, hantu yang bersiul itu sudah pergi dari hidup mereka.  


Jumaat, 13 Februari 2026

HANTU TANGGA TUNGGAL



Di pinggir Kampung Banggul Derdap, terdapat sebuah padang yang menjadi tempat permainan anak-anak kampung bermain bola lisut setiap petang. Di tepi padang itu, berdiri sebuah tangga batu lama, sisa dari tinggalan rumah Melayu tradisional yang sudah lama runtuh. Tangga itu disebut Tangga Tunggal kerana tangga itu berdiri sendirian, tanpa rumah yang menempel padanya. Ironinya, batu tangga itu masih putih dan bersih seolah-olah ada orang yang membersihkannya setiap hari meskipun tangga itu sudah berada di padang tersebut 80 tahun lamanya. 

Penduduk kampung jarang mendekati tangga itu. Remaja dan kanak-kanak yang bermain di padang itu pun takut untuk menghampiri tangga tersebut. Terdapat cerita yang mengatakan tangga itu berpenunggu. Kononnya, roh seorang perempuan yang mati tragis pada zaman penjajahan Jepun masih bergentayangan di situ. Namanya Fazidah, seorang gadis Melayu yang dibunuh secara kejam oleh tentera Jepun. Mayatnya dikuburkan di bawah tangga rumahnya. Malangnya rumahnya sengaja dibakar. Tiada apa yang tinggal kecuali tangga batu itu sahaja. Roh Fazidah didakwa tidak tenang, marah kerana kuburnya diganggu apabila padang bola lisut dibina di atas tapak rumah lama itu.

Pada suatu petang yang redup, segerombolan budak lelaki pergi mendekati tangga itu. Mereka diketuai oleh Kormeng, seorang budak berusia 12 tahun yang suka mencabar kawan-kawannya. Dia memutuskan untuk bermain di tangga itu. 

"Jangan takutlah, hantu mana ada siang-siang ni," kata Kormeng sambil ketawa, memandang kawan-kawannya yang ragu-ragu. 

"Kau pasti ke Meng? Aku dengar cerita Pakcik Anwar mati sebab tangga ni." Balas Hanif, sahabat baik Kormeng, dengan suara perlahan.

"Eleh, cerita lama tu. Kalau takut, balik rumah je lah!" Ejek Kormeng, sambil melangkah naik tangga pertama. Kawan-kawan yang lain, termasuk Ibrahim dan Zahid, ikut serta walaupun hati mereka berdegup kencang. Mereka naik turun tangga itu, melompat-lompat seperti monyet. 

"Woi, siapa paling laju naik turun, dia menang!" Jerit Kormeng, cuba membuat suasana lebih ceria. Namun, tiba-tiba, angin bertiup lembut, membawa bau amis seperti darah basi. 

"Eh, angin apa ni? Busuk betul!" Kata Ibrahim sambil menutup hidungnya.

Tiba-tiba Zahid tergelincir dan jatuh terlentang di atas tangga. Mereka mentertawakan Zahid. Namun, tawa mereka berhenti sebaik sahaja melihat mata Zahid membulat dan badannya kejang-kejang. Mulutnya juga mengeluarkan buih warna putih seperti tertelan racun. 

"Kamu semua akan mati…" Bisik Zahid dengan suara perempuan yang serak dan garau. Kormeng dan kawan-kawan mula menyedari bahawa yang bercakap itu bukan suara Zahid sendiri. 

"Zahid! Kau okay tak? Bangun lah!" Jerit Kormeng, cuba menggoncang badan Zahid. 

Tiba-tiba mata Zahid melotot, membulat dan terbentuk menjadi mata ular. Zahid tersenyum dengan senyuman yang sangat menyeramkan. Melihat keadaan itu, kawan-kawannya lari lintang-pukang, meninggalkan Zahid bersendirian di tangga itu. Mereka memberitahu ibu bapa masing-masing mengenai kejadian itu. Kemudian beberapa penduduk kampung datang mencari Zahid di tangga tersebut. Malangnya, Zahid ditemui mati dengan mulut berbuih. Tidak hanya Zahid, Kormeng, Hanif dan Ibrahim turut meninggal dalam keadaan yang sangat mengerikan tidak lama kemudian. 

Insiden itu bukan yang pertama. Ramai yang cuba mengalihkan tangga itu – kontraktor, penduduk kampung bahkan pegawai daerah. Seorang kontraktor bernama Pak Fadhilah pernah membawa jentolak untuk meruntuhkan tangga itu. Dia benci melihat tangga itu kerana anaknya dirasuk sehingga gila setelah bermain di tangga tersebut. Keesokan harinya, Pak Fadhilah ditemui tergantung di pokok mangga belakang rumahnya, tanpa sebab yang jelas. Sejak itu, ramai penduduk kampung takut untuk mendekati atau berbuat sesuatu di tangga itu. 


**********


Ustaz Fitri, seorang pengamal perubatan Islam yang terkenal, telah ditemui oleh Haji Yusuf, Penghulu Kampung Banggul Derdap. 

"Ustaz, tolonglah. Tangga tu dah bunuh ramai orang. Ramai budak takut nak main kat padang tu. Kami nak alihkan tangga tu tapi penunggu tangga tu tak bagi." Kata Haji Yusuf dengan suara gementar di pusat rawatan Ustaz Fitri. 

"InsyaAllah, saya pasti datang untuk bantu." Balas Ustaz Fitri, suaranya tenang tapi tegas. Dia sudah biasa dengan kes-kes seperti ini – roh-roh tidak tenang yang memerlukan doa dan ayat suci untuk dihalau.

Mendengar kata-kata Ustaz Fitri, Haji Yusuf menjadi tenang. 

“Tuan Haji pulang dulu. Esok saya akan ke sana untuk buat apa yang patut.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Baiklah.” Balas Haji Yusuf. 

Setelah Haji Yusuf pulang, Ustaz Fitri menghubungi Saliha, seorang pengamal reiki yang mempunyai kebolehan merasai kehadiran makhluk ghaib dalam bentuk tenaga. Saliha, berusia 38 tahun, pernah membantu Ustaz Fitri merawat seorang kanak-kanak perempuan yang dirasuk dengan jin yang sangat jahat dan kuat. Sejak itu, jika ada kes, Ustaz Fitri pasti akan menghubungi Saliha untuk membantu. 

“Saliha, Penghulu Kampung Banggul Derdap, Haji Yusuf, ada datang jumpa saya tadi. Dia nak minta tolong halau penunggu tangga kat padang kampung tu.” Ujar Ustaz Fitri melalui panggilan telefon. “Bila awak free? Saya nak ajak awak ke sana.” 

“Lusa saya takde customer. Insha Allah lusa saya free. Lusa la kita ke sana.” Saliha menjawab. 

“Baik. Kita jumpa di kampung tu lusa." Balas Ustaz Fitri.


*********


Mereka tiba di Kampung Banggul Derdap pada malam Jumaat, malam yang dikatakan paling kuat kuasa ghaib. Padang bola lisut pada masa itu gelap, hanya diterangi cahaya bulan sabit. Tangga Tunggal kelihatan lebih menyeramkan di bawah cahaya bulan yang samar-samar. Beberapa penduduk kampung diketuai Haji Yusuf berkumpul di pinggir padang, memegang lampu suluh dan membaca ayat Kursi beramai-ramai. 

"Ustaz, selamat datang. Ini Saliha ke? Kami harap korang boleh tolong," Kata Haji Yusuf, menyambut mereka dengan tangan berjabat. 

"Insha Allah, dengan izin Allah," balas Ustaz Fitri. Kemudian mereka beramai-ramai menuju ke Tangga Tunggal. 

Ustaz Fitri dan Saliha mendekati tangga itu perlahan-lahan. Ustaz Fitri membaca ayat Kursi dengan suara yang lantang, sambil memercik air zamzam ke tangga tersebut. 

"Wahai makhluk Allah, kami datang dengan niat baik," kata Ustaz Fitri kepada penunggu tangga. 

Saliha menutup mata, kedua-dua telapak tangannya dihadapkan ke tangga itu untuk merasai kehadiran tenaga penunggu itu. Tiba-tiba, matanya terbuka luas. 

"Penunggu tu ada di sini…dia marah kerana kawasannya diganggu. Dia tak mahu pergi kerana tangga ni rumah dia." Kata Saliha, suaranya bergetar.

Tiba-tiba, angin bertiup kencang, membawa suara tangisan perempuan yang pilu. Daun-daun pokok berhampiran bergoyang ganas, seolah-olah ada ribut kecil yang hanya berlaku di sekitar padang itu. Semua yang ada di situ mula berasa panik dan takut. 

"Apa ni? Mana datang angin ni?" Tanya salah seorang penduduk, memegang lampu suluhnya dengan erat. 

Ustaz Fitri cuba menaiki tangga tetapi langkah pertamanya membuatkan tangga batu itu bergetar seperti ada gempa bumi. 

"Allahuakbar!" Jeritnya apabila dia merasa ada tangan yang sejuk menyentuh bahu kirinya. Dia berpaling tetapi tiada siapa. Dia berasa seperti hendak terjatuh kerana hilang keseimbangan badan. 

"Ustaz, hati-hati! Saya dapat rasa ada tenaga jahat di belakang ustaz." Jerit Saliha dan dia lantas menarik Ustaz Fitri ke belakang.

Ustaz Fitri pula melihat satu bayang hitam meluncur di dihadapannya – seorang perempuan dengan muka penuh darah, mata merah menyala. 

"Kau jangan marah. Kami nak tolong kau." Kata Ustaz Fitri, cuba berkomunikasi dengan penunggu itu. Penunggu itu menjerit nyaring. Suaranya hampir memekakkan telinga semua yang ada di situ. Mereka beramai-ramai menutup telinga masing-masing kerana tidak tahan dengan jeritan makhluk itu walaupun mereka tidak melihatnya. 

Penunggu itu datang melulu ke arah Ustaz Fitri lalu mencekiknya. Ustaz Fitri cuba melawan dengan membaca potongan ayat Al-Quran namun gagal kerana lehernya rasa dijerut. Saliha yang melihat keadaan itu segera mengeluarkan tenaga dalamannya untuk menghalau makhluk itu. Dia menghalakan kedua-dua tapak tangannya pada penunggu itu dan mengeluarkan tenaga semester yang ada dalam dirinya. Tenaga dalaman dirinya yang bersih itu begitu kuat sekali dan berupaya menolak makhluk jahat itu terpelanting jauh dari Ustaz Fitri. Makhluk itu tercampak dan terhentak ke tanah dengan kuat. Akibat berasa sakit, makhluk itu menghilangkan diri.

Beberapa penduduk kampung pergi mendapatkan Ustaz Fitri. Ustaz Fitri tercungap-cungap mengambil nafas. Cekikan makhluk itu begitu kuat sekali di batang lehernya membuatkan dia sukar untuk bernafas. Dia duduk di tanah untuk berehat sebentar kerana dia berasa terlalu letih. Peluh jantan membasahi baju Melayu hijaunya. 

“Maafkan saya tuan-tuan. Penunggu tangga ni terlalu kuat. Saya tak mampu nak lawan dia malam ni.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Takpe Ustaz. Kami faham.” Balas Haji Yusuf. 

“Kita kena siasat tangga ni. Ada tenaga yang sangat negatif menyelubungi tangga ni. Mesti ada sesuatu di sekitar tangga yang menyebabkan penunggu itu jadikan tangga ini sebagai rumah.” Kata Saliha. 

“Betul tu. Biasanya memang macam tu. Kita kena gali tanah di sekitar tangga ni untuk mencari sesuatu. Sesuatu yang menyebabkan penunggu tu boleh jadikan tangga ini sebagai rumahnya.” Ustaz Fitri berkata. 

“Kami tak berani ustaz nak gali apa-apa kat tangga ni. Nasib buruk pasti akan menimpa kami.” Ujar Haji Yusuf. 

“Jangan risau tuan haji. Penunggu tu takde di sini. Dia mungkin berada di mana-mana. Insha Allah…takkan ada apa-apa. Saya sekarang tak merasai tenaga penunggu tu di sini.” Balas Saliha. 

“Kalau macam tu, mari kita ramai-ramai gali tanah kat sekitar tangga ni untuk mencari sesuatu.” Kata Ustaz Fitri. 

Mereka pun menggali tanah di sekitar tangga untuk mencari sesuatu. Kemudian seorang penduduk kampung, Azizan namanya menemui rangka manusia di tepi tangga itu.

“Saya dah jumpa. Ada rangka manusia di sini.” Jerit Azizan untuk memberitahu penduduk kampung. Mereka beramai-ramai menuju ke arah Azizan untuk melihat rangka itu. 

“Inilah rangka manusia milik Fazidah.” Ujar Ustaz Fitri. 

Tiba-tiba, tanah di sekitar tangga itu bergerak-gerak. Akar-akar besar mula menjulur keluar lalu melilit kaki mereka dan menarik mereka sehingga terjatuh. Akar-akar itu bergerak seperti sesungut sotong kurita yang besar - menarik dan mengheret mereka semua di sekitar padang itu.

"Tolong!!!!" Penduduk kampung mula menjerit beramai-ramai. Ustaz Fitri berjaya mengelak dari dililit oleh akar itu. Dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang boleh melawan kekuatan di sebalik tanah dan akar itu. Tidak lama kemudian akar itu berhenti bergerak dan masuk semula ke dalam tanah. Keadaan menjadi tenang semula.  

Namun begitu, terdapat seorang penduduk kampung yang meninggal kerana akar itu tidak sahaja melilit kakinya malah melilit juga lehernya sehingga dia sukar untuk bernafas.  

"Penunggu tangga ni bukan biasa-biasa. Hantu ini sangat pendendam dan kuat. Bukan penunggu itu sahaja berada di sini. Dia juga menarik banyak jin lain menghuni tangga ni. Dia jadi ketua kepada mereka." Kata Saliha sambil menggigil. 

Ustaz Fitri hanya diam. Dia sekarang sedang berhadapan dengan makhluk yang bukan sahaja kuat malah menjadi ketua kepada makhluk-makhluk jahat yang lain. 


**************


Keesokan harinya, Ustaz Fitri dan Saliha menyelidik sejarah tangga itu. Mereka bertemu dengan seorang nenek tua di kampung itu yang bernama Fadhlina yang sudah berusia 98 tahun. Wanita itu bercerita mengenai sejarah tangga tersebut. 

"Dulu ada perempuan bernama Fazidah. Dia dibunuh kerana menentang Jepun. Dia dipancung di tangga rumahnya sendiri. Mayatnya dikubur di sekitar tangga.   Anaknya yang kecil bernama Kamaruddin juga mati dibunuh. Nenek rasa roh Fazidah tak tenang kerana anaknya dan dirinya tak dikubur betul-betul." Cerita Nenek Fadhlina dengan suara lemah, sambil menggeleng kepala. 

"Anak? Kami tak tahu yang Fazidah ada anak." Ustaz Fitri kelihatan terkejut. 

"Ya, budak kecil tu nama Kamaruddin. Roh dia didakwa yang ganggu budak-budak kampung." Tambah Nenek Fadhlina.

“Bukan Fazidah saja yang mati di situ, tapi ada anaknya juga. Itulah sebab budak-budak yang bermain di tangga itu diganggu – roh budak itu mahu ikut bermain dengan mereka, tetapi akhirnya merasuk dan membunuh.” Nenek Fadhlina menyambung. 

"Ustaz, kita kena cari tulang anak dia jugak. Kalau tak, Fazidah tak akan pergi." Kata Saliha.

"Betul kata awak. Tapi sebenarnya itu bukan roh Fazidah atau roh Kamaruddin. Itu Qorin mereka yang jadi penunggu dan hantu di situ. Takpe, malam ni kita cuba lagi." Balas Ustaz Fitri.


***********


Malam kedua, mereka datang lagi ke Tangga Tunggal. Ustaz Fitri cuba berkomunikasi dengan Qorin Fazidah yang telah menjadi penunggu di tangga itu.

"Fazidah….anak kau….kami akan kuburkan dia dengan betul. Aku harap kau pergi dan tinggalkan tangga ini." Kata Ustaz Fitri dengan suara lembut. Sambil-sambil itu dia berdoa dan membaca ayat-ayat Al-Quran untuk meminta pertolongan Allah. 

Namun, penunggu itu tidak mahu terima. Dia menjerit dengan jeritan yang sangat kuat dan boleh memekakkan telinga. Ustaz Fitri, Saliha, Haji Yusuf dan penduduk kampung yang berada di situ lantas menutup telinga kerana tidak tahan mendengar jeritan yang sangat kuat dan nyaring itu.

Tiba-tiba jeritan itu berhenti. Keadaan mula menjadi tenang. Namun, seorang penduduk kampung bernama Sidek jatuh menggelepar di atas tanah. Matanya bulat dan berbentuk seperti mata ular. Dia mengukir senyuman seram kepada semua mereka. 

"Aku takkan pergi dari sini. Ini rumah aku! Kamu semua yang kena pergi. Pergi!" Jerit Sidek yang kerasukan. Suaranya bertukar menjadi suara perempuan namun garau dan kasar. Kemudian dia tertawa kuat. Dia lantas berdiri namun badannya melengkung ke belakang. Tiba-tiba suaranya berubah menjadi tangisan budak. 

"Mak...Din nak mak..." Ratap suara itu dari mulut Sidek. Mereka percaya itu adalah suara Kamaruddin, anak Fazidah. 

"Ya Allah, lindungilah aku! Aku nak buat ruqyah sekarang!" Jerit Ustaz Fitri. Dengan cepat dia membaca ayat ruqyah. Sidek mula menggelepar dan jatuh ke atas tanah semula. Dia meronta-ronta tidak keruan. Matanya sudah bertukar hitam semua dan mulutnya berbuih putih. Penduduk kampung lantas memegang tangan dan kaki Sidek dengan erat. Ustaz Fitri memercik air zamzam yang telah dibaca dengan ayat ruqyah. Dia juga mencampakkan segenggam garam dan lada hitam ke arah Sidek.

Saliha tidak tinggal diam. Dia menghalakan tapak tangannya ke arah Sidek. Dia cuba menyalurkan tenaga positif yang ada di dalam dirinya untuk menghalau tenaga negatif yang ada dalam diri Sidek. Sidek terus meronta-ronta tidak keruan. Sepuluh orang lelaki termasuk Haji Yusuf terpaksa memegang kaki, tangan dan badan Sidek kerana waktu itu Sidek terlalu kuat.

Setelah hampir satu jam bertarung dengan gabungan Ustaz Fitri dan Saliha, akhirnya Sidek berjaya pulih. Penunggu yang merasuk Sidek lantas melarikan diri - hilang entah ke mana. Ustaz Fitri sangat penat. Dia sudah tiada tenaga lagi setelah semua tenaganya dikerahkan untuk mengeluarkan jin dari tubuh Sidek. Begitu juga dengan Saliha. Dan malam itu mereka pulang ke rumah tanpa dapat melakukan apa-apa.      


**********


Esok malamnya, Ustaz Fitri meminta Haji Yusuf memanggil ramai orang kampung ke padang untuk membaca Surah Yaasiin. Ini dilakukan supaya penunggu Tangga Tunggal dapat dilawan dan dijinakkan. Tepat pukul 8.00 malam, ramai penduduk kampung datang ke padang tersebut dan membaca Surah Yassiin. Beberapa orang penduduk kampung pula ditugaskan membantu Ustaz Fitri untuk terus menggali lagi di kawasan padang itu. Tidak putus-putus doa Ustaz Fitri kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. 

Akhirnya, setelah satu jam menggali, mereka jumpa tulang-tulang kecil. Tulang-tulang yang dimiliki oleh Kamaruddin, anak Fazidah. 

Ustaz Fitri meminta Haji Yusuf mengebumikan tulang milik Fazidah dan tulang milik Kamaruddin seperti yang sepatutnya. Pada malam itu juga, mereka beramai-ramai menguburkan kedua-dua jenazah yang sudah jadi tulang itu di tanah perkuburan Islam. 

Semasa sesi bacaan talqin, Ustaz Fitri melihat qorin Fazidah muncul di tanah perkuburan Islam itu. Wajahnya sudah tidak buruk lagi. Dia memakai pakaian putih bersih. Semuanya kelihatan bersih dan cantik. Di sisinya, terdapat seorang budak lelaki. Ustaz Fitri yakin bahawa budak lelaki itu pastilah Kamaruddin. 

“Terima kasih ustaz sudah membantu saya.” Ucap Fazidah dengan senyuman manis. 

“Ya, sama-sama. Aku harap lepas ni kau tinggalkan kampung ni. Pergi balik semula ke dunia kau. Aku dah kebumikan jasad tuan kau dan jasad Kamaruddin seperti yang sepatutnya.” Balas Ustaz Fitri. 

“Baiklah, saya akan pergi tinggalkan tempat ini dan takkan kembali lagi.” Ujar Fazidah dan dia terus hilang bersama Kamaruddin. Mereka kembali semula ke dunia mereka. 

"Alhamdulillah, mereka dah pergi." kata Saliha dengan nada lega lega. 

Kini, Tangga Tunggal sudah tiada penunggu atau hantu lagi. Penduduk kampung terutama kana-kanak tidak perlu lagi berasa takut untuk bermain di padang itu. Pagi esoknya, tangga itu dialihkan dengan selamat. Kontraktor meruntuhkannya dan membuangnya di tempat pembuangan sampah. 

"Terima kasih, Ustaz dan Saliha. Kampung kami dah aman sekarang." Kata Haji Yusuf dengan gembira. 

“Sama-sama tuan haji. Ini adalah tugas kami sebenarnya. Tuan haji tak perlu berasa segan.” Balas Ustaz Fitri. 

"Hantu bukan selalu jahat... kadang mereka cuma tak tenang akibat dari ketidakadilan yang mereka dapat." Kata Saliha semasa mereka berada di dalam kereta untuk pulang ke rumah. 

"Betul. Tapi jangan lupa, alam ghaib sentiasa dekat dengan kita. Pemisah dunia kita dan dunia mereka hanya senipis kulit bawang sahaja." Balas Ustaz Fitri. Saliha hanya tersenyum mendengar kata-kata Ustaz Fitri. Mereka berdua sangat bersyukur hari itu kerana satu lagi kes paranormal mereka berjaya selesaikan.