Sabtu, 21 Februari 2026

JELAJAH MALAM : PONDOK BOMOH SIAM

Malam itu sangat gelap. Tiada satu bintang pun yang muncul di langit. Anisah Malek, seorang YouTuber paranormal dengan 700 ribu subscriber, memegang kamera GoPro di tangannya. Dia sudah biasa dengan jelajah malam seperti ini – rumah tinggal, kubur lama atau hospital terbengkalai. 

Kali ini, dia hendak menjelajah ke sebuah pondok pula. Pondok yang pernah didiami oleh bomoh Siam. Pondok itu terletak di pinggir kampung Tanjung Penaga, ditinggalkan sejak bomoh itu setelah dia meninggal 12 tahun lalu. Ramai yang kata pondok itu menyeramkan dan ada banyak makhluk jahat yang mendiami pondok tersebut. 

"Korang, malam ni kita jelajah sebuah pondok yang pernah didiami oleh seorang bomoh Siam. Penduduk di kawasan ni kata pondok ni menyeramkan." Kata Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

Suaranya tenang meskipun malam itu bulu roma dan bulu tengkuknya sudah meremang. Dia hanya bersendirian, seperti biasanya, meskipun dia seorang perempuan. Sebab itulah videonya sering tular. Tiada kru dan tiada peneman di sisinya selain lampu suluh dan kameranya.

Anisah sampai di pondok itu sekitar pukul 12.00 malam. Anisah menyuluh dan merakam di sekitar pondok. Pondok itu kelihatan sangat buruk dan usang. Dinding kayunya sudah reput, atapnya bocor di sana-sini dan pintu depannya sudah mahu tertanggal. Anisah menolak pintu itu dan bunyi engsel yang berkarat begitu kuat. Di dalam pondok, dia terhidu bau amis bercampur dengan bau herba kering dan sesuatu yang busuk. Rak-rak penuh botol berisi cecair aneh, patung-patung kayu berwajah garang dan altar kecil di tengah ruang tamu dengan lilin yang sudah lama padam.

"Korang, kalau korang tengok sini kan, inilah altar utamanya. Sinilah agaknya bomoh ni gunakan untuk buat ritual." Ujar Anisah kepada para penontonnya. Dia halakan lampu suluh dan kameranya pada altar untuk menunjukkan pada para penonton.

Tiba-tiba, tingkap pondok itu terbuka dengan sendiri. Bukan sekadar terbuka, malah bergerak sendiri meskipun tiada angin pada masa itu. Kamera Anisah merakam kejadian itu supaya penonton dapat melihatnya. 

Anisah secara tiba-tiba melihat satu lembaga hitam yang berdiri tidak jauh darinya. Dia terus halakan kameranya untuk merakam. Mata lembaga hitam itu berwarna merah. Setelah terakam di kamera, lembaga hitam itu menghilang.  

"Korang nampak tak tadi lembaga hitam tu? Besar betul dan matanya berwarna merah." Bisik Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Setelah bertenang, Anisah meneruskan jelajahnya di pondok itu. Di bahagian belakang pondok, dia menemui sebuah bilik. Lantai kayu berderit ketika dia memijak lantai bilik itu. Di dalam bilik tersebut, terdapat sebuah cermin besar yang retak. Di depan cermin itu, terdapat sebuah buku yang kelihatan agak usang. Anisah pun membuka buku itu untuk mengetahui isi kandungan buku tersebut. Terdapat tulisan Siam di dalam buku itu. Buku itu bertulis tangan dengan aksara Siam. Terdapat percikan berwarna merah pada buku tersebut. Anisah pun zoom kamera ke buku itu. 

"Saya pun tak tahu ni buku apa korang. Mungkin buku ilmu hitam. Saya tak faham bahasa Siam, tapi buku ni nampak menakutkan." Ujar Anisah kepada para penontonnya. 

Ketika Anisah ralit merakam segenap bilik, kameranya merakam satu entiti putih seakan-akan pocong sedang berdiri di pintu bilik. Anisah agak terkejut namun dia segera menghalakan kameranya pada entiti itu untuk merakan namun dalam beberapa saat entiti itu pun menghilang.

Kemudian, di tepi cermin besar itu, muncul satu entiti wanita berbaju merah dengan wajah yang aneh. Entiti wanita itu mempunyai mata, hidung dan rambut namun tidak mempunyai mulut. Mata entiti itu hitam pekat seperti lubang tanpa dasar. Anisah terjerit kecil dan dia mundur kebelakang namun kameranya masih merekod entiti itu. Dalam beberapa saat entiti itu pun menghilang. Anisah menarik nafas lega. Rasa mahu tercabut jantungnya melihat entiti itu. 

Setelah mengambil nafas, Anisah berjalan semula ke ruang tamu. 

"Pondok ni memang menakutkan, korang. Ada banyak ‘penghuni’ dalam pondok ni. Mungkin sebab pondok ni pernah jadi praktik sihir. Sebab itu jadi macam ni." Anisah berkata kepada para penontonnya. 

Tiba-tiba, pintu depan pondok itu tertutup dengan sendiri dengan sangat kuat seperti ada sesuatu yang menghempas pintu itu dalam keadaan marah. Anisah agak terkejut namun dia masih lagi menyuluh dan merakam kejadian aneh itu. 

Kemudian, di belakangnya, Anisah terdengar suara seperti berbisik-bisik. Dia pusing ke belakang untuk melihat. Apabila dia mengamati suara itu, suara itu bercakap dalam bahasa Siam. Anisah cuba mencari tahu siapa yang mengeluarkan suara itu. Dia menyuluh ke segenap ruang namun dia tidak menjumpai sesiapa. Beberapa saat kemudian, suara itu pun menghilang. 

Anisah merakam lagi di sekitar pondok. Di sebelah kanan pondok, dia menjumpai sebuah ruangan yang mungkin pernah dijadikan dapur kecil. Anisah merakam dan menyuluh di ruangan itu tetapi tiada apa-apa yang dia temui di situ. Hanya sekadar tong gas lama dan tempat memasak kecil. 

Tiba-tiba, Anisah mendengar bunyi sesuatu di ruang tamu. Dia bergegas ke sana untuk merakam. Di ruang tamu pondok yang menempatkan altar, tiba-tiba lilin di altar menyala dengan sendiri. Anisah mula panik apabila melihat kejadian itu namun dia kekal tenang dan terus merakam. Anisah juga mula merasakan pondok itu mula bergegar secara perlahan. Anisah hampir hilang keseimbangan badan namun dia cuba kawal. Beberapa saat kemudian gegaran itu pun berhenti dan lilin di altar padam dengan sendiri. 

Kemudian dia mendengar sesuatu dari bilik belakang yang dia masuk tadi. Dia mendengar derap langkah kaki seseorang. Anisah mula mengintip sambil merakam. Melalui kameranya, dia melihat satu entiti yang agak tinggi dengan tanduk seperti rusa sedang berdiri di hadapan cermin. Entiti itu pusing ke arah Anisah dengan mata merah menyala. Anisah tergamam namun masih lagi merakam dan menyuluh. Seram sejuk tubuhnya saat itu. Segera dia baca ayat-ayat suci Al-Quran yang dia tahu agar Allah menolong dirinya waktu itu. Beberapa minit kemudian, entiti bertanduk itu pun menghilang. 

Kemudian dia terdengar suara orang tertawa. Terdengar seperti suara wanita. Anisah pusing ke belakang untuk melihat namun tiada siapa-siapa. 

“Korang dengar tak? Saya dengar suara orang ketawa.” Anisah memberitahu kepada para penonton live YouTube-nya. 

Kemudian dia lihat api lilin di altar menyala semula. Kemudian pondok itu bergegar lagi seperti tadi. Anisah mula panik. Dia langsung duduk di tengah ruang tamu itu. Sambil merakam dan menyuluh ke sini sana, dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Secara tiba-tiba, api lilin di altar berhenti menyala dan pondok itu pun berhenti bergegar. 

Kemudian Anisah terdengar jeritan dari luar pondok. Jeritan seorang wanita. Anisah bergegas bangun dan berdiri di muka pintu pondok. Sambil merakam dan menyuluh, dia cuba memeriksa sumber suara jeritan itu tetapi tiada siapa-siapa. Anisah pada waktu itu memang sangat takut tetapi entah mengapa dia tidak ingin lari. 

Kemudian dia terhidu bau amis darah yang entah dari mana.

“Saya ada bau darah korang. Tiba-tiba je. Tak tahu mana datang.” Anisah berkata kepada para penontonnya. 

Kemudian, Anisah melihat satu bayang berwarna hitam, kurus dan setinggi galah berdiri di luar pondok. Anisah terus merakam kejadian itu agar penonton live-nya dapat melihat. Bayang itu tidak memiliki wajah. Entiti itu sekadar berdiri di luar pondok. Anisah membaca ayat-ayat suci Al-Quran lagi. Dan bayang itu hilang tidak lama kemudian. 

“Saya rasa saya nak stop sampai sini korang. Saya dah tak larat dan hadap semua benda ni lagi. Gangguan yang saya terima dari pondok ni sangat banyak dan bertalu-talu. Saya nak balik dan berehat. Terima kasih sudi tonton video saya. Insha Allah, saya akan masukkan video ni dalam YouTube tak lama lagi. Bye korang…jumpa lagi di video akan datang.” Ujar Anisah seraya mengakhiri rakamannya. Dia menarik nafas lega. 

Dan tanpa melengahkan masa lagi, Anisah bergegas meninggalkan pondok itu. Dia bersyukur kerana dia masih selamat. Pengalamannya menjelajah di pondok itu adalah antara pengalaman yang paling mencabar dalam hidupnya. Dia bersumpah tidak akan menjejakkan kaki lagi ke pondok itu. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.