Jumaat, 13 Februari 2026

HANTU TANGGA TUNGGAL



Di pinggir Kampung Banggul Derdap, terdapat sebuah padang yang menjadi tempat permainan anak-anak kampung bermain bola lisut setiap petang. Di tepi padang itu, berdiri sebuah tangga batu lama, sisa dari tinggalan rumah Melayu tradisional yang sudah lama runtuh. Tangga itu disebut Tangga Tunggal kerana tangga itu berdiri sendirian, tanpa rumah yang menempel padanya. Ironinya, batu tangga itu masih putih dan bersih seolah-olah ada orang yang membersihkannya setiap hari meskipun tangga itu sudah berada di padang tersebut 80 tahun lamanya. 

Penduduk kampung jarang mendekati tangga itu. Remaja dan kanak-kanak yang bermain di padang itu pun takut untuk menghampiri tangga tersebut. Terdapat cerita yang mengatakan tangga itu berpenunggu. Kononnya, roh seorang perempuan yang mati tragis pada zaman penjajahan Jepun masih bergentayangan di situ. Namanya Fazidah, seorang gadis Melayu yang dibunuh secara kejam oleh tentera Jepun. Mayatnya dikuburkan di bawah tangga rumahnya. Malangnya rumahnya sengaja dibakar. Tiada apa yang tinggal kecuali tangga batu itu sahaja. Roh Fazidah didakwa tidak tenang, marah kerana kuburnya diganggu apabila padang bola lisut dibina di atas tapak rumah lama itu.

Pada suatu petang yang redup, segerombolan budak lelaki pergi mendekati tangga itu. Mereka diketuai oleh Kormeng, seorang budak berusia 12 tahun yang suka mencabar kawan-kawannya. Dia memutuskan untuk bermain di tangga itu. 

"Jangan takutlah, hantu mana ada siang-siang ni," kata Kormeng sambil ketawa, memandang kawan-kawannya yang ragu-ragu. 

"Kau pasti ke Meng? Aku dengar cerita Pakcik Anwar mati sebab tangga ni." Balas Hanif, sahabat baik Kormeng, dengan suara perlahan.

"Eleh, cerita lama tu. Kalau takut, balik rumah je lah!" Ejek Kormeng, sambil melangkah naik tangga pertama. Kawan-kawan yang lain, termasuk Ibrahim dan Zahid, ikut serta walaupun hati mereka berdegup kencang. Mereka naik turun tangga itu, melompat-lompat seperti monyet. 

"Woi, siapa paling laju naik turun, dia menang!" Jerit Kormeng, cuba membuat suasana lebih ceria. Namun, tiba-tiba, angin bertiup lembut, membawa bau amis seperti darah basi. 

"Eh, angin apa ni? Busuk betul!" Kata Ibrahim sambil menutup hidungnya.

Tiba-tiba Zahid tergelincir dan jatuh terlentang di atas tangga. Mereka mentertawakan Zahid. Namun, tawa mereka berhenti sebaik sahaja melihat mata Zahid membulat dan badannya kejang-kejang. Mulutnya juga mengeluarkan buih warna putih seperti tertelan racun. 

"Kamu semua akan mati…" Bisik Zahid dengan suara perempuan yang serak dan garau. Kormeng dan kawan-kawan mula menyedari bahawa yang bercakap itu bukan suara Zahid sendiri. 

"Zahid! Kau okay tak? Bangun lah!" Jerit Kormeng, cuba menggoncang badan Zahid. 

Tiba-tiba mata Zahid melotot, membulat dan terbentuk menjadi mata ular. Zahid tersenyum dengan senyuman yang sangat menyeramkan. Melihat keadaan itu, kawan-kawannya lari lintang-pukang, meninggalkan Zahid bersendirian di tangga itu. Mereka memberitahu ibu bapa masing-masing mengenai kejadian itu. Kemudian beberapa penduduk kampung datang mencari Zahid di tangga tersebut. Malangnya, Zahid ditemui mati dengan mulut berbuih. Tidak hanya Zahid, Kormeng, Hanif dan Ibrahim turut meninggal dalam keadaan yang sangat mengerikan tidak lama kemudian. 

Insiden itu bukan yang pertama. Ramai yang cuba mengalihkan tangga itu – kontraktor, penduduk kampung bahkan pegawai daerah. Seorang kontraktor bernama Pak Fadhilah pernah membawa jentolak untuk meruntuhkan tangga itu. Dia benci melihat tangga itu kerana anaknya dirasuk sehingga gila setelah bermain di tangga tersebut. Keesokan harinya, Pak Fadhilah ditemui tergantung di pokok mangga belakang rumahnya, tanpa sebab yang jelas. Sejak itu, ramai penduduk kampung takut untuk mendekati atau berbuat sesuatu di tangga itu. 


**********


Ustaz Fitri, seorang pengamal perubatan Islam yang terkenal, telah ditemui oleh Haji Yusuf, Penghulu Kampung Banggul Derdap. 

"Ustaz, tolonglah. Tangga tu dah bunuh ramai orang. Ramai budak takut nak main kat padang tu. Kami nak alihkan tangga tu tapi penunggu tangga tu tak bagi." Kata Haji Yusuf dengan suara gementar di pusat rawatan Ustaz Fitri. 

"InsyaAllah, saya pasti datang untuk bantu." Balas Ustaz Fitri, suaranya tenang tapi tegas. Dia sudah biasa dengan kes-kes seperti ini – roh-roh tidak tenang yang memerlukan doa dan ayat suci untuk dihalau.

Mendengar kata-kata Ustaz Fitri, Haji Yusuf menjadi tenang. 

“Tuan Haji pulang dulu. Esok saya akan ke sana untuk buat apa yang patut.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Baiklah.” Balas Haji Yusuf. 

Setelah Haji Yusuf pulang, Ustaz Fitri menghubungi Saliha, seorang pengamal reiki yang mempunyai kebolehan merasai kehadiran makhluk ghaib dalam bentuk tenaga. Saliha, berusia 38 tahun, pernah membantu Ustaz Fitri merawat seorang kanak-kanak perempuan yang dirasuk dengan jin yang sangat jahat dan kuat. Sejak itu, jika ada kes, Ustaz Fitri pasti akan menghubungi Saliha untuk membantu. 

“Saliha, Penghulu Kampung Banggul Derdap, Haji Yusuf, ada datang jumpa saya tadi. Dia nak minta tolong halau penunggu tangga kat padang kampung tu.” Ujar Ustaz Fitri melalui panggilan telefon. “Bila awak free? Saya nak ajak awak ke sana.” 

“Lusa saya takde customer. Insha Allah lusa saya free. Lusa la kita ke sana.” Saliha menjawab. 

“Baik. Kita jumpa di kampung tu lusa." Balas Ustaz Fitri.


*********


Mereka tiba di Kampung Banggul Derdap pada malam Jumaat, malam yang dikatakan paling kuat kuasa ghaib. Padang bola lisut pada masa itu gelap, hanya diterangi cahaya bulan sabit. Tangga Tunggal kelihatan lebih menyeramkan di bawah cahaya bulan yang samar-samar. Beberapa penduduk kampung diketuai Haji Yusuf berkumpul di pinggir padang, memegang lampu suluh dan membaca ayat Kursi beramai-ramai. 

"Ustaz, selamat datang. Ini Saliha ke? Kami harap korang boleh tolong," Kata Haji Yusuf, menyambut mereka dengan tangan berjabat. 

"Insha Allah, dengan izin Allah," balas Ustaz Fitri. Kemudian mereka beramai-ramai menuju ke Tangga Tunggal. 

Ustaz Fitri dan Saliha mendekati tangga itu perlahan-lahan. Ustaz Fitri membaca ayat Kursi dengan suara yang lantang, sambil memercik air zamzam ke tangga tersebut. 

"Wahai makhluk Allah, kami datang dengan niat baik," kata Ustaz Fitri kepada penunggu tangga. 

Saliha menutup mata, kedua-dua telapak tangannya dihadapkan ke tangga itu untuk merasai kehadiran tenaga penunggu itu. Tiba-tiba, matanya terbuka luas. 

"Penunggu tu ada di sini…dia marah kerana kawasannya diganggu. Dia tak mahu pergi kerana tangga ni rumah dia." Kata Saliha, suaranya bergetar.

Tiba-tiba, angin bertiup kencang, membawa suara tangisan perempuan yang pilu. Daun-daun pokok berhampiran bergoyang ganas, seolah-olah ada ribut kecil yang hanya berlaku di sekitar padang itu. Semua yang ada di situ mula berasa panik dan takut. 

"Apa ni? Mana datang angin ni?" Tanya salah seorang penduduk, memegang lampu suluhnya dengan erat. 

Ustaz Fitri cuba menaiki tangga tetapi langkah pertamanya membuatkan tangga batu itu bergetar seperti ada gempa bumi. 

"Allahuakbar!" Jeritnya apabila dia merasa ada tangan yang sejuk menyentuh bahu kirinya. Dia berpaling tetapi tiada siapa. Dia berasa seperti hendak terjatuh kerana hilang keseimbangan badan. 

"Ustaz, hati-hati! Saya dapat rasa ada tenaga jahat di belakang ustaz." Jerit Saliha dan dia lantas menarik Ustaz Fitri ke belakang.

Ustaz Fitri pula melihat satu bayang hitam meluncur di dihadapannya – seorang perempuan dengan muka penuh darah, mata merah menyala. 

"Kau jangan marah. Kami nak tolong kau." Kata Ustaz Fitri, cuba berkomunikasi dengan penunggu itu. Penunggu itu menjerit nyaring. Suaranya hampir memekakkan telinga semua yang ada di situ. Mereka beramai-ramai menutup telinga masing-masing kerana tidak tahan dengan jeritan makhluk itu walaupun mereka tidak melihatnya. 

Penunggu itu datang melulu ke arah Ustaz Fitri lalu mencekiknya. Ustaz Fitri cuba melawan dengan membaca potongan ayat Al-Quran namun gagal kerana lehernya rasa dijerut. Saliha yang melihat keadaan itu segera mengeluarkan tenaga dalamannya untuk menghalau makhluk itu. Dia menghalakan kedua-dua tapak tangannya pada penunggu itu dan mengeluarkan tenaga semester yang ada dalam dirinya. Tenaga dalaman dirinya yang bersih itu begitu kuat sekali dan berupaya menolak makhluk jahat itu terpelanting jauh dari Ustaz Fitri. Makhluk itu tercampak dan terhentak ke tanah dengan kuat. Akibat berasa sakit, makhluk itu menghilangkan diri.

Beberapa penduduk kampung pergi mendapatkan Ustaz Fitri. Ustaz Fitri tercungap-cungap mengambil nafas. Cekikan makhluk itu begitu kuat sekali di batang lehernya membuatkan dia sukar untuk bernafas. Dia duduk di tanah untuk berehat sebentar kerana dia berasa terlalu letih. Peluh jantan membasahi baju Melayu hijaunya. 

“Maafkan saya tuan-tuan. Penunggu tangga ni terlalu kuat. Saya tak mampu nak lawan dia malam ni.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Takpe Ustaz. Kami faham.” Balas Haji Yusuf. 

“Kita kena siasat tangga ni. Ada tenaga yang sangat negatif menyelubungi tangga ni. Mesti ada sesuatu di sekitar tangga yang menyebabkan penunggu itu jadikan tangga ini sebagai rumah.” Kata Saliha. 

“Betul tu. Biasanya memang macam tu. Kita kena gali tanah di sekitar tangga ni untuk mencari sesuatu. Sesuatu yang menyebabkan penunggu tu boleh jadikan tangga ini sebagai rumahnya.” Ustaz Fitri berkata. 

“Kami tak berani ustaz nak gali apa-apa kat tangga ni. Nasib buruk pasti akan menimpa kami.” Ujar Haji Yusuf. 

“Jangan risau tuan haji. Penunggu tu takde di sini. Dia mungkin berada di mana-mana. Insha Allah…takkan ada apa-apa. Saya sekarang tak merasai tenaga penunggu tu di sini.” Balas Saliha. 

“Kalau macam tu, mari kita ramai-ramai gali tanah kat sekitar tangga ni untuk mencari sesuatu.” Kata Ustaz Fitri. 

Mereka pun menggali tanah di sekitar tangga untuk mencari sesuatu. Kemudian seorang penduduk kampung, Azizan namanya menemui rangka manusia di tepi tangga itu.

“Saya dah jumpa. Ada rangka manusia di sini.” Jerit Azizan untuk memberitahu penduduk kampung. Mereka beramai-ramai menuju ke arah Azizan untuk melihat rangka itu. 

“Inilah rangka manusia milik Fazidah.” Ujar Ustaz Fitri. 

Tiba-tiba, tanah di sekitar tangga itu bergerak-gerak. Akar-akar besar mula menjulur keluar lalu melilit kaki mereka dan menarik mereka sehingga terjatuh. Akar-akar itu bergerak seperti sesungut sotong kurita yang besar - menarik dan mengheret mereka semua di sekitar padang itu.

"Tolong!!!!" Penduduk kampung mula menjerit beramai-ramai. Ustaz Fitri berjaya mengelak dari dililit oleh akar itu. Dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang boleh melawan kekuatan di sebalik tanah dan akar itu. Tidak lama kemudian akar itu berhenti bergerak dan masuk semula ke dalam tanah. Keadaan menjadi tenang semula.  

Namun begitu, terdapat seorang penduduk kampung yang meninggal kerana akar itu tidak sahaja melilit kakinya malah melilit juga lehernya sehingga dia sukar untuk bernafas.  

"Penunggu tangga ni bukan biasa-biasa. Hantu ini sangat pendendam dan kuat. Bukan penunggu itu sahaja berada di sini. Dia juga menarik banyak jin lain menghuni tangga ni. Dia jadi ketua kepada mereka." Kata Saliha sambil menggigil. 

Ustaz Fitri hanya diam. Dia sekarang sedang berhadapan dengan makhluk yang bukan sahaja kuat malah menjadi ketua kepada makhluk-makhluk jahat yang lain. 


**************


Keesokan harinya, Ustaz Fitri dan Saliha menyelidik sejarah tangga itu. Mereka bertemu dengan seorang nenek tua di kampung itu yang bernama Fadhlina yang sudah berusia 98 tahun. Wanita itu bercerita mengenai sejarah tangga tersebut. 

"Dulu ada perempuan bernama Fazidah. Dia dibunuh kerana menentang Jepun. Dia dipancung di tangga rumahnya sendiri. Mayatnya dikubur di sekitar tangga.   Anaknya yang kecil bernama Kamaruddin juga mati dibunuh. Nenek rasa roh Fazidah tak tenang kerana anaknya dan dirinya tak dikubur betul-betul." Cerita Nenek Fadhlina dengan suara lemah, sambil menggeleng kepala. 

"Anak? Kami tak tahu yang Fazidah ada anak." Ustaz Fitri kelihatan terkejut. 

"Ya, budak kecil tu nama Kamaruddin. Roh dia didakwa yang ganggu budak-budak kampung." Tambah Nenek Fadhlina.

“Bukan Fazidah saja yang mati di situ, tapi ada anaknya juga. Itulah sebab budak-budak yang bermain di tangga itu diganggu – roh budak itu mahu ikut bermain dengan mereka, tetapi akhirnya merasuk dan membunuh.” Nenek Fadhlina menyambung. 

"Ustaz, kita kena cari tulang anak dia jugak. Kalau tak, Fazidah tak akan pergi." Kata Saliha.

"Betul kata awak. Tapi sebenarnya itu bukan roh Fazidah atau roh Kamaruddin. Itu Qorin mereka yang jadi penunggu dan hantu di situ. Takpe, malam ni kita cuba lagi." Balas Ustaz Fitri.


***********


Malam kedua, mereka datang lagi ke Tangga Tunggal. Ustaz Fitri cuba berkomunikasi dengan Qorin Fazidah yang telah menjadi penunggu di tangga itu.

"Fazidah….anak kau….kami akan kuburkan dia dengan betul. Aku harap kau pergi dan tinggalkan tangga ini." Kata Ustaz Fitri dengan suara lembut. Sambil-sambil itu dia berdoa dan membaca ayat-ayat Al-Quran untuk meminta pertolongan Allah. 

Namun, penunggu itu tidak mahu terima. Dia menjerit dengan jeritan yang sangat kuat dan boleh memekakkan telinga. Ustaz Fitri, Saliha, Haji Yusuf dan penduduk kampung yang berada di situ lantas menutup telinga kerana tidak tahan mendengar jeritan yang sangat kuat dan nyaring itu.

Tiba-tiba jeritan itu berhenti. Keadaan mula menjadi tenang. Namun, seorang penduduk kampung bernama Sidek jatuh menggelepar di atas tanah. Matanya bulat dan berbentuk seperti mata ular. Dia mengukir senyuman seram kepada semua mereka. 

"Aku takkan pergi dari sini. Ini rumah aku! Kamu semua yang kena pergi. Pergi!" Jerit Sidek yang kerasukan. Suaranya bertukar menjadi suara perempuan namun garau dan kasar. Kemudian dia tertawa kuat. Dia lantas berdiri namun badannya melengkung ke belakang. Tiba-tiba suaranya berubah menjadi tangisan budak. 

"Mak...Din nak mak..." Ratap suara itu dari mulut Sidek. Mereka percaya itu adalah suara Kamaruddin, anak Fazidah. 

"Ya Allah, lindungilah aku! Aku nak buat ruqyah sekarang!" Jerit Ustaz Fitri. Dengan cepat dia membaca ayat ruqyah. Sidek mula menggelepar dan jatuh ke atas tanah semula. Dia meronta-ronta tidak keruan. Matanya sudah bertukar hitam semua dan mulutnya berbuih putih. Penduduk kampung lantas memegang tangan dan kaki Sidek dengan erat. Ustaz Fitri memercik air zamzam yang telah dibaca dengan ayat ruqyah. Dia juga mencampakkan segenggam garam dan lada hitam ke arah Sidek.

Saliha tidak tinggal diam. Dia menghalakan tapak tangannya ke arah Sidek. Dia cuba menyalurkan tenaga positif yang ada di dalam dirinya untuk menghalau tenaga negatif yang ada dalam diri Sidek. Sidek terus meronta-ronta tidak keruan. Sepuluh orang lelaki termasuk Haji Yusuf terpaksa memegang kaki, tangan dan badan Sidek kerana waktu itu Sidek terlalu kuat.

Setelah hampir satu jam bertarung dengan gabungan Ustaz Fitri dan Saliha, akhirnya Sidek berjaya pulih. Penunggu yang merasuk Sidek lantas melarikan diri - hilang entah ke mana. Ustaz Fitri sangat penat. Dia sudah tiada tenaga lagi setelah semua tenaganya dikerahkan untuk mengeluarkan jin dari tubuh Sidek. Begitu juga dengan Saliha. Dan malam itu mereka pulang ke rumah tanpa dapat melakukan apa-apa.      


**********


Esok malamnya, Ustaz Fitri meminta Haji Yusuf memanggil ramai orang kampung ke padang untuk membaca Surah Yaasiin. Ini dilakukan supaya penunggu Tangga Tunggal dapat dilawan dan dijinakkan. Tepat pukul 8.00 malam, ramai penduduk kampung datang ke padang tersebut dan membaca Surah Yassiin. Beberapa orang penduduk kampung pula ditugaskan membantu Ustaz Fitri untuk terus menggali lagi di kawasan padang itu. Tidak putus-putus doa Ustaz Fitri kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan. 

Akhirnya, setelah satu jam menggali, mereka jumpa tulang-tulang kecil. Tulang-tulang yang dimiliki oleh Kamaruddin, anak Fazidah. 

Ustaz Fitri meminta Haji Yusuf mengebumikan tulang milik Fazidah dan tulang milik Kamaruddin seperti yang sepatutnya. Pada malam itu juga, mereka beramai-ramai menguburkan kedua-dua jenazah yang sudah jadi tulang itu di tanah perkuburan Islam. 

Semasa sesi bacaan talqin, Ustaz Fitri melihat qorin Fazidah muncul di tanah perkuburan Islam itu. Wajahnya sudah tidak buruk lagi. Dia memakai pakaian putih bersih. Semuanya kelihatan bersih dan cantik. Di sisinya, terdapat seorang budak lelaki. Ustaz Fitri yakin bahawa budak lelaki itu pastilah Kamaruddin. 

“Terima kasih ustaz sudah membantu saya.” Ucap Fazidah dengan senyuman manis. 

“Ya, sama-sama. Aku harap lepas ni kau tinggalkan kampung ni. Pergi balik semula ke dunia kau. Aku dah kebumikan jasad tuan kau dan jasad Kamaruddin seperti yang sepatutnya.” Balas Ustaz Fitri. 

“Baiklah, saya akan pergi tinggalkan tempat ini dan takkan kembali lagi.” Ujar Fazidah dan dia terus hilang bersama Kamaruddin. Mereka kembali semula ke dunia mereka. 

"Alhamdulillah, mereka dah pergi." kata Saliha dengan nada lega lega. 

Kini, Tangga Tunggal sudah tiada penunggu atau hantu lagi. Penduduk kampung terutama kana-kanak tidak perlu lagi berasa takut untuk bermain di padang itu. Pagi esoknya, tangga itu dialihkan dengan selamat. Kontraktor meruntuhkannya dan membuangnya di tempat pembuangan sampah. 

"Terima kasih, Ustaz dan Saliha. Kampung kami dah aman sekarang." Kata Haji Yusuf dengan gembira. 

“Sama-sama tuan haji. Ini adalah tugas kami sebenarnya. Tuan haji tak perlu berasa segan.” Balas Ustaz Fitri. 

"Hantu bukan selalu jahat... kadang mereka cuma tak tenang akibat dari ketidakadilan yang mereka dapat." Kata Saliha semasa mereka berada di dalam kereta untuk pulang ke rumah. 

"Betul. Tapi jangan lupa, alam ghaib sentiasa dekat dengan kita. Pemisah dunia kita dan dunia mereka hanya senipis kulit bawang sahaja." Balas Ustaz Fitri. Saliha hanya tersenyum mendengar kata-kata Ustaz Fitri. Mereka berdua sangat bersyukur hari itu kerana satu lagi kes paranormal mereka berjaya selesaikan. 


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.