“Hai korang, selamat datang ke channel Jelajah Malam! Malam ni, saya nak menjelajah ke satu kilang lama di pinggir bandar Wang Kelian. Dulu kilang ni buat topeng muka untuk dipakai oleh rakyat Malaysia dan petugas kesihatan semasa pandemik COVID-19. Dulu kilang ni maju gila tapi tiba-tiba muflis sebab salah tadbir urus. Tak tahu mana pemilik dan pekerja kilang ni pergi tapi kilang ni ditinggalkan macam tu je. So malam ni, saya nak cari tahu sejarah dan kenangan yang ada kat kilang terbiar ni. Jom ikut saya.” Ujar Anisah kepada para pengikutnya.
Anisah meletakkan keretanya di luar pagar kilang yang berkarat. Pintu pagar itu terbuka sedikit, mungkin pernah ada pencuri, penagih dadah atau ahli paranormal lain yang pernah masuk ke situ. Anisah keluar dari perut kereta, ambil kamera, ambil lampu suluh lalu masuk ke kawasan kilang.
"Okay korang, saya dah masuk ke kawasan kilang. Kilang ni besar gila, ada tiga tingkat. Dulu mesti ramai pekerja yang datang ke kilang ni setiap hari. Bayangkan, betapa hidupnya tempat ni dulu. Tapi sekarang... entah apa yang tinggal." Kata Anisah kepada para penonton live Youtube-nya.
Anisah jalan secara perlahan masuk ke dalam bangunan kilang. Di dalam kilang itu, lantainya penuh dengan serpihan kertas dan kotak yang koyak. Lampu suluh Anisah menyorot ke mesin-mesin lama. Terdapat masih ada topeng yang separuh siap terletak di mana-mana di dalam kotak. Tiba-tiba, Anisah terdengar seperti suara orang.
"Eh, korang dengar tak? Macam ada suara orang bisik-bisik." Anisah cuba mencari punca suara dengan menggunakan kamera dan lampu suluh tetapi tidak jumpa.
Apabila melihat tiada siapa-siapa di situ, Anisah terus menjelajah di bahagian bawah kilang itu. Di bahagian bawah, dia melihat ada banyak timbunan kotak lapuk dan mesin-mesin yang sudah lama tidak digunakan. Terdapat juga sinki dan lokar yang sudah rosak serta lama dan ada banyak sekali bilik atau ruangan yang mungkin pernah dijadikan sebagai pejabat ditinggalkan kosong dan bersepah-sepah.
Anisah seterusnya naik ke tingkat dua. Di sana, terdapat banyak ruangan yang pernah dijadikan pejabat. Meja-meja di dalam ruangan itu penuh dokumen lama seperti invois, dokumen dan surat.
"Korang, tengok ni. Ada surat dari tahun 2021. Ni ada kalendar dari tahun 2020. Maksudnya kilang ni tak ditinggalkan terlalu lama." Anisah menghalakan kameranya kepada surat dan kalendar yang ada di atas meja itu.
Tiba-tiba, Anisah terdengar langkah kaki di belakang. Anisah segera pusing dengan cepat untuk merakam siapa yang berada di belakangnya tetapi kosong. Namun, kamera Anisah merakam sesuatu.
"Apa tu? Korang nampak tak bayang tu?" Anisah menunjukkan kepada para penonton. Terdapat satu entiti hitam sedang bergerak-gerak di sebalik rak yang berisi dokumen. Agak lama juga entiti hitam itu berada di situ sebelum menghilang dengan sendiri.
Jantung Anisah berdegup laju apabila melihat entiti hitam itu. Dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi dirinya. Apabila entiti itu menghilang, barulah dia boleh menarik nafas lega. Setelah bertenang, Anisah meneruskan jelajahnya di tingkat itu. Dia masuk ke sebuah bilik yang mungkin pernah jadikan sebagai stor. Di dalam bilik itu, terdapat banyak rak yang penuh dengan topeng muka dengan pelbagai warna seperti biru, hitam, peach dan hijau yang mungkin tidak sempat dijual. Topeng-topeng itu diletakkan di dalam kotak-kotak kecil dengan pelbagai saiz. Tiba-tiba, satu kotak topeng muka jatuh sendiri dari rak. Anisah terjerit kecil.
"Tengok korang, Kotak tu jatuh dengan sendiri. Tiba-tiba je." Anisah berkata kepada para penonton sambil menghalakan kamera dan lampu suluh kepada kotak yang baru sahaja terjatuh tadi di lantai.
Tiba-tiba Anisah terdengar satu suara gelak kecil. Anisah mula rasa bulu romanya berdiri. Dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana dalam ruangan itu untuk mencari punca suara tetapi tiada siapa-siapa.
"Korang, dengar tak suara tadi tu? Suara siapa tu korang? Seram pula bila dengar suara orang kat sini sorang-sorang.” Ujar Anisah kepada para penonton.
Apabila sudah memastikan bahawa tiada siapa-siapa di situ, Anisah meneruskan jelajahnya di bilik itu. Dia menyorot kameranya ke dinding yang ada dalam ruangan itu. Terdapat banyak grafiti yang tertulis di bilik tersebut dengan pelbagai tulisan dan gambar pelbagai warna. Mungkin dilakukan oleh penceroboh atau budak-budak nakal yang pernah masuk ke situ.
Setelah puas menjelajah di bilik itu, Anisah pergi pula ke tingkat tiga. Di sana, keadaan lebih gelap dengan bau hapak. Terdapat mesin-mesin besar untuk memotong kain topeng tetapi sudah penuh dengan sarang labah-labah. Anisah juga menemui satu bilik kecil dengan pintu tertutup. Dia pun membuka pintu tersebut. Di dalam bilik itu, terdapat banyak kotak dengan pelbagai dokumen dan kertas.
"Ada banyak dokumen dalam bilik ni korang. Tak tahulah kenapa pemilik dan pekerja kilang ni tak bawa semua dokumen ni sekali. Nampak macam mereka tinggalkan kilang ni dalam keadaan tergesa-gesa.” Anisah berkata kepada para penonton.
Kemudian Anisah terpandang suatu entiti di muka pintu bilik itu. Segera dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke situ. Terdapat suatu entiti lelaki memakai uniform biru dengan wajah pucat dan mata merah. Entiti itu sekadar merenung Anisah tanpa berkata atau berbuat apa-apa. Anisah yang berasa takut lantas membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi diri. Beberapa saat kemudian, entiti lelaki itu pun menghilang. Anisah menarik nafas lega.
Tiba-tiba, lampu siling di dalam bilik itu mula berkelip. Anisah panik sekejap. Mana datang elektrik yang boleh menghidupkan lampu. Dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke arah lampu yang sedang berkelip di siling itu untuk merakam. Kemudian dia terdengar suara orang berbisik namun dia tidak tahu di mana punca suara itu. Dia hanya mampu menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana untuk mencari.
Kemudian dia mendengar bunyi dinding seperti diketuk dengan benda keras. Anisah pun pusing ke belakang bersama kamera dan lampu suluh. Di sana, dia melihat suatu entiti putih sedang berdiri di sudut bilik. Entiti itu tidak mempunyai mulut tetapi mempunyai mata yang tiada pupil. Maksudnya, mata entiti itu dalam keadaan hitam pekat.
"Korang! Korang nampak tak entiti yang tengah berdiri kat situ?" Soal Anisah kepada para penonton. Dia terus merakam entiti itu walaupun dia berasa takut. Dia terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk melindungi dirinya. Entiti itu sekadar berdiri di situ dan tidak melakukan apa-apa. Tidak lama kemudian entiti itu pun menghilang.
Setelah entiti itu menghilang, Anisah menarik nafas lega. Dia tidak mahu berada lama-lama di situ. Segera dia turun ke tingkat bawah. Semasa turun, dia masih lagi menyuluh dan merakam. Tiba-tiba, dia dengar suara orang ketawa. Dia terus menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke sini sana untuk mencari punca suara namun tidak ditemui.
Anisah cuba bertenang sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Mendapat gangguan sebegitu bukanlah suatu yang asing baginya. Walaupun dia sudah biasa, namun rasa takut masih lagi menghantuinya.
Anisah memutuskan untuk keluar dari kilang dan pulang ke rumah. Dia sudah puas menjelajah kilang topeng terbiar itu. Pengalaman dan kenangan yang dia dapat di kilang seram itu sangat banyak dan menarik. Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke pintu pagar kilang dan terus menuju ke keretanya. Kemudian dia menghidupkan keretanya dan meninggalkan kilang tu dalam kegelapan.
"Korang, terima kasih sebab sudi teman saya malam ni. Saya nak balik sebab saya rasa saya dah puas menjelajah satu kilang tu. Harap korang suka dengan video kali ni. Tolong like video ni nanti bila saya upload di YouTube saya dan tolong sangat-sangat untuk subscribe channel saya. Bye korang…kita jumpa lagi di video akan datang.” Ujar Anisah kepada para penonton dan dia segera tamatkan sesi siaran langsung Youtube-nya.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.