Jumaat, 20 Februari 2026

JELAJAH MALAM : GUDANG BURUK

Anisah Malek menatap kameranya dengan senyuman. 

"Hai, korang! Ini Anisah dari channel Jelajah Malam. Malam ini, saya berada di sebuah gudang tua di pinggir Bandar Kelian Intan. Dahulu gudang ini adalah gudang minuman dalam tin dan dalam kotak. Gudang ini sudah lima tahun ditinggalkan. Saya pun tak tahu sebab apa gudang ini ditinggalkan. Apa-apa pun malam ni jom kita jelajah!" Ujar Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Malam itu keadaan sangat gelap. Anisah yang berjalan menghampiri gudang tinggal itu sudah terhidu bau karat dan debu. Gudang itu sangat buruk jika dilihat dari luar. Dinding batu gudang itu sudah banyak yang retak dan atapnya bocor di sana-sini. Sebelum masuk ke dalam gudang, Anisah menyalakan lampu suluh berkuasa tingginya. Kemudian barulah dia masuk ke dalam gudang melalui pintu belakang kerana pintu depan gudang itu terkunci. 

Lampu suluhnya memancarkan cahaya putih untuk menyinari gudang yang penuh dengan kotak-kotak lama dan mesin-mesin rosak. Terdapat juga banyak palet kayu yang ditinggalkan. Kameranya merakam setiap inci ruang gudang itu. Suara tapak kakinya bergema kerana gudang itu terlalu besar.

Anisah datang bukanlah untuk mencari hantu. Dia mahu belajar sesuatu di gudang itu. Gudang lama yang ditinggalkan itu pasti mempunyai sejarah, pengalaman dan kenangan yang didiamkan. Dia ingin belajar semua itu. 

Anisah melangkah masuk ke dalam gudang dengan lebih dalam. Kameranya merakam rak-rak besi yang tinggi. Rak-rak itu penuh dengan kotak-kotak besar yang sudah berhabuk. 

"Lihat ni, guys. Ini mungkin kotak-kotak yang berisi minuman yang ditinggalkan di sini. Kalau pencuri atau penagih dadah jumpa ni, mereka dah ambil dan jual semua kotak-kotak ni."

Tiba-tiba, suara creak bergema dari belakang. Anisah berpaling pantas, lampu suluhnya menyinari kegelapan. Namun, dia tidak melihat apa-apa di situ.

"Bunyi apa tu korang?" Soalnya pada kamera dalam keadaan hatinya berdegup laju. 

Apabila memastikan bahawa tiada apa-apa atau siapa-siapa di sana, dia meneruskan penjelajahan. Dia masuk ke sebuah bilik kecil di hujung gudang. Di situ, terdapat sebuah meja kayu yang dipenuhi dengan fail dan buku yang sudah lama. Anisah menyuluh ke arah buku-buku yang ada di situ. Halaman buku-buku itu sudah berwarna kuning dan tulisannya sudah pudar.

“Saya tak tahu ni buku apa. Mungkin buku panduan untuk gudang ni. Buku ni memang sudah lama tak guna.” Ujar Anisah pada penontonnya. 

Tiba-tiba, dia nampak sesuatu bergerak. Anisah menyuluh ke segenap ruangan itu. Di tepi sebuah almari besi, dia melihat suatu bayang hitam yang seperti melekat di dinding dan seperti bergoyang-goyang.

"Apa tu?" Bisiknya kepada para penonton. Kameranya fokus pada bayang hitam di dinding. Dan tiba-tiba bayang hitam itu menghilang. Dia menarik nafas lega. 

Malam semakin larut. Jam menunjukkan pukul 1.00 pagi. Setelah puas menjelajah di bahagian bawah, Anisah kemudiannya naik ke tingkat atas gudang melalui sebuah tangga besi. Tangga itu berderit apabila kaki Anisah mula memijak. Di atas, ruang lebih luas dan penuh dengan meja dan kerusi. Anisah yakin ruang itu pernah dijadikan pejabat untuk gudang tersebut. 

"Guys, saya rasa ruang ni dulu mereka jadikan sebagai pejabat." Kata Anisah. Dia berjalan perlahan-lahan sambil menyuluh. Di atas meja itu terdapat banyak kertas dan fail yang berselerakan. Terdapat juga beberapa buah komputer yang ditinggalkan. 

Tiba-tiba dia terdengar suara bisikan. Anisah tidak jelas dengan suara itu. Dia terus menyuluh dan merakam di sini sana namun tiada siapa di situ.

"Saya ada dengar suara tadi tapi saya tak tahu suara apa." Anisah memberitahu para penontonnya. Dia cuba untuk bertenang dan meneruskan penjelajahan sambil menyuluh dan merakam di segenap ruangan bekas pejabat. 

Ketika dia sedang sibuk menyuluh, merakam dan memeriksa, sebuah papan kenyataan yang ada di pejabat itu jatuh secara tiba-tiba ke lantai lalu menghasilkan bunyi yang kuat. Papan itu jatuh betul-betul di sebelahnya. Anisah menjerit kerana terkejut. Dia terus menyuluh papan kenyataan yang baru sahaja terjatuh itu. Tiada apa-apa di situ. 

“Apa tu korang? Papan tu jatuh…tiba-tiba je…saya rasa ‘penghuni’ tempat ni sudah mula bertindak.” Kata Anisah kepada penonton live Youtube-nya. 

Rasa takut Anisah kembali bertambah. Dia memutuskan untuk turun ke bawah. Dia turun tangga yang dia naik tadi secara perlahan-lahan. Waktu itu hatinya berdegup kencang. 

Namun, dia teruskan juga sesi jelajahnya malam itu. Dia terus berjalan di gudang itu ditemani kamera dan lampu suluh. Di sebelah timur laut gudang, dia jumpa sebuah bilik. Dia masuk ke bilik itu secara perlahan-lahan. Di dalam bilik itu terdapat banyak fail dan buku. Dia menyuluh dan merakam di segenap ruang dalam bilik itu. 

Dia cuba menyelak fail-fail yang ada di situ. Dengan cahaya lampu suluhnya, dia cuba membaca. Namun, dia tidak memahami isi fail itu. Fail itu pastilah milik syarikat empunya gudang tersebut. 

“Sorry guys. Saya tak faham fail tu apa isi kandungan dia. Ada banyak sangat nombor. Maybe akaun ataupun kewangan syarikat. Entahlah. Saya bukan orang akaun. Jadi saya tak faham.” Ujar Anisah kepada para penontonnya. 

Setelah itu, dia terus berjalan untuk meneroka dan memeriksa apa yang ada di bilik tersebut. Tiba-tiba, sebuah cermin kecil yang ada di dinding bilik itu pecah berderai. Anisah terkejut namun dia tidak menjerit. Dia menyuluh ke arah cermin itu dan bergerak menuju cermin. Tidak tahu apa yang menyebabkan cermin itu boleh pecah secara tiba-tiba. Anisah menghalakan kameranya pada serpihan kaca cermin yang ada di lantai untuk menunjukkan kepada para penontonnya. 

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi sesuatu yang menderam. Anisah menyuluhkan lampu suluhnya pada arah bunyi menderam itu. Tidak jauh dari lokasi cermin itu, terdapat satu entiti yang menakutkan. Ada figura perempuan dengan rambut hitam panjang, muka pucat tanpa mata dan mulut hitam yang menganga.

Anisah terkejut dan terus menghalakan kameranya pada entiti itu namun entiti itu menghilang. 

“Korang nampak tak tadi? Ada hantu kat dinding tu.” Ujar Anisah kepada penontonnya dalam keadaan ketakutan. 

Apabila sudah tenang sedikit, Anisah berjalan keluar dari bilik itu. Tiba-tiba terdengar ada seseorang memukul bahagian atap gudang secara bertalu-talu. Bunyi pukulan itu sungguh kuat dan menghasilkan gema. Anisah menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke atap gudang tetapi tiada apa-apa. Bunyi itu masih berlaku dalam beberapa minit. Anisah hanya mampu meneguk liur pahit akibat takut. 

“Korang dengar tak guys bunyi tu tadi? Apa yang pukul atap tu korang? Haiwan ke? Atau ‘penghuni’ tempat ni?” Soal Anisah kepada penonton. Wajahnya pucat ketakutan dan matanya membulat. 

Tiba-tiba Anisah melihat ada entiti perempuan berambut panjang dan berjubah putih compang-camping melayang di atas atau gudang. Anisah terus menghalakan kamera dan lampu suluhnya pada entiti itu untuk menunjukkan kepada para penonton live Youtube-nya. 

“Korang nampak tak guys apa tadi tu? Itu pontianak ke langsuir korang?” Bisik Anisah kepada penontonnya. Dia seperti mahu lari keluar dari gudang buruk itu namun dia cuba bertenang.  

Anisah mahu menjerit apabila melihat entiti itu namun dia cuba tahan. Tiba-tiba, dia terbau sesuatu yang sangat busuk seperti bau bangkai.

“Saya ada bau bangkai korang. Tiba-tiba je. Busuk sangat. Tak tahu datang dari mana.” Kata Anisah kepada para penontonnya. Dia cuba menyuluh di sini sana untuk memeriksa namun tidak jumpa punca bau itu. 

“Okaylah korang. Saya rasa saya nak akhiri live saya malam ni. Saya rasa mungkin ‘penghuni’ tempat ni nak suruh saya balik. Terima kasih kat korang yang sudi live dengan saya pagi-pagi macam ni. Harap korang enjoy dengan video kali ni. Jangan risau, video ni akan saya edit dan saya akan letakkan di channel YouTube saya. So harap korang boleh like, komen dan share okay. Okay korang, bye…” Anisah mengakhiri sesi siaran langsung YouTube-nya. 

Dia kemudian terus bergegas keluar dari gudang itu melalui pintu belakang. Kemudian dia menuju ke tempat dia meletakkan motorsikal. Sebelum dia pulang ke rumah, Anisah memandang semula gudang buruk dan tua itu. Sesungguhnya dia berasa takut dan seronok membuat penjelajahan di gudang itu. Pengalaman meneroka gudang terbiar itu adalah pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya. Dan dia sangat bersyukur kerana Allah masih melindungi dirinya dari hal-hal yang bahaya ketika berada di dalam gudang lama itu.  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.