Kabus tebal menyelimuti kawasan Bukit Lebah ketika kereta Anisah berhenti di hadapan pagar besi yang berkarat pada pukul 12.00 malam.
“Hai korang, malam ni saya nak jelajah ke sebuah rumah yang pernah didiami oleh seorang bangsawan British bernama Lord Ambrose. Itu rumah dia korang.” Ujar Anisah kepada para penonton live Youtube-nya.
“Lord Ambrose ni dia mati dengan cara gantung diri di chandelier ruang tamu rumah tu. Lepas tu, dengar cerita, semua ahli keluarga dan pekerja pergi meninggalkan rumah ni secara beramai-ramai. Rumah ni dah ditinggalkan selama 70 tahun.” Tambah Anisah lagi. Dia kemudiannya keluar dari perut kereta.
Setelah bersedia dengan kamera, lampu suluh dan beg galas, Anisah berjalan masuk ke halaman rumah itu melalui pagar besi yang tidak berkunci. Kemudian Anisah berdiri di hadapan rumah tersebut sambil menyuluh dan merakam. Rumah itu sangat besar dan mewah dengan seni bina Gothik Victoria. Terdapat sebuah menara batu di bumbung rumah tersebut yang sudah buruk dimamah masa selain tingkap-tingkap tinggi yang gelap. Ada beberapa tingkap rumah itu yang sudah pecah atau retak.
Di tengah-tengah halaman depan rumah tersebut, terdapat air pancur batu yang masih utuh walau sudah buruk dan berlumut. Terdapat juga patung malaikat dengan kedua tangan tercacak ke langit dengan wajah hampir lupus dimakan hujan dan angin selama tujuh dekad di tengah-tengah air pancur batu itu.
“Sejuk korang kat kawasan ni. Mungkin sebab rumah ni duduk atas bukit sebab tu sejuk. Dan saya ada bau tanah basah. Nak kata hujan, tak hujan. Pastu macam biasalah. Ada bau benda lama atau benda tertutup. Tak tahu saya nak terangkan macam mana.” Kata Anisah kepada para penontonnya.
Setelah menarik nafas panjang, Anisah mula melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu utama rumah itu berderit panjang ketika ditolak. Di dalam rumah itu Anisah terhidu sesuatu. Bau itu bukan bau busuk tetapi bau yang sangat berat dan pekat. Bau itu sukar digambarkan dengan kata-kata.
Keadaan ruang tamu rumah itu sangat gelap. Tirai tebal menutup semua tingkap. Mujur ada lampu suluh yang dibawa oleh Anisah. Jadi, dia dapat melihat keadaan di situ. Di ruang tamu itu, habuk usah dicakap. Begitu menebal di setiap permukaan. Terdapat sebuah chandelier kristal yang tergantung rendah di siling, lukisan-lukisan besar di dinding dan perabot zaman Victoria yang tersusun rapi.
“Korang tengok sini, kat meja ni ada set teh.” Bisik Anisah kepada para penontonnya sambil kameranya menyorot ke sebuah meja yang terletak di sudut rumah. Terdapat satu set teh perak berdebu tersusun rapi di atas meja kecil. Tiga cawan. Tiga piring. Satu teko yang masih tegak.
Anisah yang ditemani lampu suluh dan kamera meneroka di tingkat bawah rumah agam itu. Dari ruang tamu, Anisah menjumpai ruang makan yang sangat besar dan dapur. Anisah juga menjumpai sebuah bilik stor yang ada banyak barang. .
Setelah keluar dari stor, Anisah jumpa sebuah pintu kecil. Pintu itu separuh terbuka. Dia berjalan mendekati pintu itu secara perlahan-lahan. Bunyi tapak kakinya menjadi bunyi gema dalam rumah yang sunyi sepi. Terlalu sunyi. Tiada bunyi tikus, tiada angin, tiada apa-apa.
Anisah menolak pintu itu. Dia masuk ke sebuah bilik yang agak besar. Di dalam bilik itu, terdapat sebuah meja altar, salib kayu yang hampir reput dan bangku-bangku panjang yang tersusun rapi menghadap ke depan. Di dinding bilik itu, terdapat lukisan-lukisan dinding yang sudah lusuh dengan gambaran syurga dan neraka, malaikat dan iblis, dalam gaya zaman pertengahan.
Di meja altar itu, terdapat tujuh batang lilin yang sudah lama tidak digunakan. Di hadapan lilin-lilin itu, terdapat sebuah buku tebal. Anisah pergi merakam dan menyuluh buku itu. Dia mendapati kulit buku itu diperbuat daripada kulit binatang. Halaman-halamannya sudah kuning dimakan zaman.
Anisah buka buku itu untuk melihat isi kandungan buku tersebut. Terdapat tulisan tangan dalam bahasa Inggeris lama. Anisah malas mahu membaca jadi dia menutup semula buku tersebut.
Tiba-tiba dia mendengar suara perempuan menjerit. Anisah agak terkejut lalu dia menyuluh dan merakam di sini sana tetapi tidak menjumpai apa-apa.
Tiba-tiba, bangku-bangku kayu yang tersusun rapi tadi bergerak dengan sendiri secara rawak dan berselerak. Mujur Anisah sempat merakam kejadian itu untuk dipersembahkan kepada para penontonnya.
Anisah agak takut tetapi dia kekal tenang dan mula membaca doa meminta pertolongan Allah. Dia terpaku di situ selama beberapa minit. Setelah keadaan menjadi tenang, barulah dia bergerak semula keluar dari bilik itu.
Ketika dia hendak keluar, dia mendengar lagi suara jeritan yang entah dari mana. Suara jeritan itu bercampur-campur antara jeritan bayi, jeritan perempuan dan jeritan lelaki. Anisah kembali menyuluh dan merakam di dalam bilik itu untuk mencari punca suara namun dia tidak menemui apa-apa. Beberapa minit kemudian suara jeritan itu pun berhenti. Anisah menarik nafas lega.
Kemudian dia mendengar sesuatu terjatuh dengan banyak. Apabila dia menyuluh, dia melihat lilin-lilin yang berada di altar tadi semuanya jatuh ke lantai. Dia merakam kejadian itu supaya para penonton dapat melihat.
Tiba-tiba dia mendengar suara bayi ketawa. Dia terkejut dan terus menyuluh ke sini sana tetapi dia tidak menjumpai apa-apa.
Tiba-tiba dia melihat sesuatu bergerak dari muka pintu bilik itu. Dia menyuluh dan merakam ke arah pintu. Dan dia melihat ada entiti berbentuk bayi sedang merangkak di lantai. Entiti itu sedang merangkak ke arahnya. Kulit entiti itu berwarna kelabu, matanya hitam pekat dan dari mulutnya yang tidak bergigi, keluar bunyi menderam seperti haiwan.
Anisah menjerit kerana terkejut melihat entiti itu. Segera dia baca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon perlindungan Allah. Tanpa melengahkan masa, dia segera berlari untuk keluar dari bilik itu. Sampai sahaja di ruang tamu rumah agam itu, dia berhenti seketika mengambil nafas. Dia sangat takut masa itu tetapi dia cuba untuk bertenang.
“Rumah ni memang menyeramkan.” Anisah berkata kepada para penonton.
Kemudian Anisah naik ke tingkat dua. Tangga kayu berderit ketika kakinya memijak. Di tingkat dua, terdapat sebuah koridor yang agak panjang. Koridor itu dipenuhi dengan potret-potret keluarga Lord Ambrose. Anisah menyuluh dan merakam kesemua potret tersebut untuk tatapan penonton. Namun, dia berasa aneh, mengapa potret yang begitu banyak kenangan ini ditinggalkan begitu sahaja di rumah agam tersebut.
Selain potret, di tingkat dua juga ada tujuh buah bilik. Bilik-bilik itu tidak lain dan tidak bukan adalah bilik tidur yang pernah didiami oleh keluarga Lord Ambrose. Mungkin juga bilik-bilik itu dibuat khusus untuk tetamu bangsawan tersebut. Kesemua bilik itu mempunyai katil, almari, dan meja solek yang tersusun rapi. Terdapat pakaian mewah yang sudah lama tidak digunakan dan hampir reput dalam almari.
Anisah memasuki sebuah bilik yang paling besar. Anisah yakin itulah bilik tidur Lord Ambrose kerana terdapat potret bangsawan tersebut yang sangat besar di bilik itu. Selain ada katil dan almari, terdapat juga sebuah meja solek yang mempunyai cermin besar di atasnya.
“Saya rasa inilah bilik tidur Lord Ambrose dulu. Nampak mewah betul bilik ni. Saya rasa rumah ni belum lagi diceroboh oleh penagih dadah atau pencuri. Sebab tu barang-barang dalam rumah ni nampak kemas.” Kata Anisah kepada para penonton.
Ketika Anisah sedang ralit memeriksa ruangan itu, dia perasan ada sesuatu yang berdiri di tepi katil. Dia lantas menghalakan kamera dan lampu suluhnya ke arah katil. Di sana, dia melihat entiti seorang lelaki berpakaian coat lama dengan wajah pucat dengan mata hitam legam. Anisah mahu menjerit namun dia cuba tahan. Beberapa saat kemudian entiti itu pun menghilang.
"Apa itu korang? Korang nampak tak entiti tu tadi?" Seru Anisah ke kamera.
Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Anisah masih meneroka di rumah agam milik Lord Ambrose itu. Di tingkat dua rumah itu, dia menjumpai sebuah bilik lagi yang agak tersorok. Anisah masuk ke bilik itu secara perlahan-lahan sambil ditemani lampu suluh dan kamera. Bilik itu tidak lain dan tidak bukan adalah bilik bacaan milik bangsawan itu. Ada banyak buku yang terdapat di situ seperti sebuah perpustakaan kecil.
Anisah menyuluh di rak-rak buku tua untuk melihat buku-buku yang ada di situ. Ada banyak sekali buku yang bukan dalam bahasa Inggeris terdapat di rak itu. Kemudian Anisah menghalakan kamera dan lampu suluhnya dii tengah ruangan. Di situ, terdapat sebuah meja dengan pelbagai buku usang. Anisah membuka buku-buku itu. Banyak halamannya sudah rapuh berisi tulisan tangan cakar ayam yang Anisah tidak faham maksudnya.
Tiba-tiba Anisah terdengar suara langkah kaki yang sedang mendekat tetapi perlahan. Anisah menyuluh ke sini sana untuk memeriksa tetapi tiada apa-apa. Dan secara tiba-tiba, pintu bilik bacaan itu tertutup sendiri dengan dentuman keras. Anisah agak terkejut namun dia cuba untuk tidak panik.
Kemudian Anisah melihat munculnya satu entiti lelaki berbaju coat dengan wajah membusuk dan mata berlubang berdiri di hadapan meja. Anisah menjerit kerana terkejut tetapi dia masih lagi terus merakam untuk tatapan penonton live Youtube-nya. Beberapa saat kemudian entiti itu pun menghilang dan Anisah menarik nafas lega.
Anisah keluar dari bilik itu dan turun ke ruang tamu di tingkat bawah.
“Seram korang bila saya tengok entiti tadi tu. Rasa nak tercabut jantung saya sebab terlalu terkejut.” Ujar Anisah kepada para penonton.
“Korang, saya rasa saya nak stop jelajah saya sampai sini. Saya rasa rumah ni dulu pernah ada orang buat praktik sihir. Jadi ‘penghuni’ dalam rumah ni sangat banyak dan menakutkan. Apa pun, menjelajah di rumah ini adalah pengalaman yang paling menarik sekaligus menakutkan dalam hidup saya. Jadi korang, kita jumpa lagi di video yang akan datang. Jangan risau, untuk video kali ni saya akan upload kat YouTube. Bye korang.” Ujar Anisah kepada para penontonnya.
Kemudian dia segera keluar dari rumah tersebut dan bergegas menuju ke keretanya. Sebelum pulang, dia memandang rumah agam milik Lord Ambrose itu. Pengalaman dia di rumah itu sangat menakutkan walaupun seronok. Dia berpuas hati dengan jelajahnya kali ini. Namun, cukuplah sekali dia hadap pengalaman yang sangat mencabar malam itu. Sekarang dia mahu pulang dan berehat di rumah.
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.