Khamis, 19 Februari 2026

SIULAN HANTU

“Ada apa tok datang ke mari?” Soal Ustaz Fitri kepada Tok Saifuddin, Penghulu Kampung Seri Bertam. Mereka pada masa itu di pusat rawatan Islam yang dimiliki oleh Ustaz Fitri. 

“Saya nak minta tolong Ustaz.” Balas Tok Saifuddin dengan wajah gusar. 

“Minta tolong apa tu?” Tanya Ustaz Fitri. Dia mengamati wajah lelaki tua yang duduk di hadapannya itu.  

“Sebulan dua ni, ada seorang penduduk di kampung saya, Nasution namanya, dia meninggal dalam keadaan yang sangat mengerikan. Dia mati dalam keadaan badan dia mengeras dan matanya terbutang selepas dia kena rasuk. Sebelum dia mati, dia asyik sebut pasal siulan ataupun orang bersiul. Saya pun tak faham apa tu.” Tok Saifuddin bercerita. 

“Siulan?” 

“Ya, betul ustaz. Ada khabar angin kata, kalau kita dengar siulan di kawasan kampung tu pada waktu malam, kita boleh mati. Saya pun tak pasti betul ke tidak khabar angin tu.”  

“Tok pernah dengar ke siulan tu?” 

“Tak pernah ustaz. Kalau saya pernah dengar, saya tak ada dekat depan ustaz ni.” Ujar Tok Saifuddin. Ustaz Fitri tersenyum kecil mendengar kata-kata penghulu kampung itu. 

“Boleh tok cerita sikit latar belakang Nasution tu?” 

“Nasution ni dia petani kecil-kecilan kat kampung tu. Malam dia mati tu, dia pergi lepak dengan kawan dia kat Warung Hasnah. Dalam pukul 10.30 malam kot baru dia balik rumah. Dia sampai je rumah, isteri dia kata wajah dia pucat. Lepas tu dia terus rebah kat ruang tamu. Lepas tu dia macam kena rasuk dan akhirnya dia meninggal.” 

“Lepas Nasution, ada lagi tak yang mengalami hal yang sama?” 

“Ada, lepas Nasution, si Ismail pula kena. Ismail ni bapa tunggal. Anak dia cerita, sebelum dia meninggal, dia ada dengar siulan semasa menyapu sampah di belakang rumah. Saya pun tak faham la kenapa dia menyapu sampah malam-malam. Esoknya tu dia jatuh sakit. Dia kena demam tinggi dan mula bercakap dalam bahasa aneh. Dua hari kemudian, dia mati dalam tidur, dengan senyuman aneh di bibir.”

“Lepas tu ada lagi tak orang lain yang kena?” 

“Ada ustaz. Lepas tu, ada sebelas orang lagi penduduk kampung yang mengalami nasib sama. Ramai yang takut keluar malam. Saya ada suruh penduduk kampung untuk buat rondaan malam-malam tapi ramai yang tak berani. Saya sendiri pun takut ustaz.” 

“Selain dari siulan, tok ada dengar apa-apa lagi punca penduduk kampung mati secara misteri ni?”  

“Ada yang kata orang bunian yang buat bunyi tu. Ada yang kata roh yang tak tenang yang buat bunyi tu. Ada yang kata, siulan itu adalah panggilan dari hantu langsuir untuk membalas dendam. Saya sendiri pun tak tahu mana satu yang betul.” 

“Baik, faham. Takpe, macam ni, tok balik dulu. Saya nak bincang dengan kawan saya dulu bila nak ke kampung tok. Bila kami dah sepakat, kami akan beritahu tok bila kami nak datang untuk uruskan masalah ni.” 

“Baiklah. Harapnya ustaz dapatlah bantu kami untuk selesaikan masalah ni.” 

“Insha Allah…kami pasti bantu.” 


************ 


Ustaz Fitri, Saliha, seorang pengamal reiki dan Ustaz Baba yang merupakan pembantu kepada Ustaz Fitri berkereta menuju ke Kampung Seri Bertam. Ustaz Baba yang jadi pemandu. Ustaz Fitri duduk di sebelahnya manakala Saliha duduk di kerusi belakang. Dalam perjalanan itu, mereka mengamati suasana kampung tersebut. Kampung Seri Bertam terletak di sebelah barat daya Semenanjung Malaysia. Kampung itu sangat tenang, redup dan sejuk kerana kampung itu masih dihiasi dengan pokok-pokok rimbun nan tinggi yang menjadi kanopi semula jadi yang menghalang cahaya matahari menembus masuk dengan garang.  

Menurut Tok Saifuddin, penduduk kampung itu hidup secara sederhana. Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani. Mereka bergantung pada ladang getah dan kebun sayur kecil. 

“Kita nak ke berhenti kat mana ni ustaz?” Soal Ustaz Baba kepada Ustaz Fitri. 

“Kita berhenti kat masjid besar kampung ni. Kita solat Asar dulu lepas tu baru kita ke hotel untuk check in.” Jawab Ustaz Fitri. 

“Baiklah.” Balas Ustaz Baba. 

Setelah menjumpai masjid di kampung itu, mereka bertiga pun pergi menunaikan solat Asar. Seusai solat, tidak putus-putus doa dipanjatkan oleh Ustaz Fitri kepada Allah supaya dapat membantu dan mempermudahkan urusannya. Habis solat Asar, mereka bertiga kembali semula masuk ke dalam perut kereta. 

“Lepas ni kita nak pergi mana pula ustaz?” Ustaz Baba bertanya kepada Ustaz Fitri. 

“Kita pergi check in hotel kita dulu. Malam nanti dalam pukul 11.00 malam, kita datang semula ke kampung ni. Malam ni kita akan mula siasat.” Ustaz Fitri membalas. 


*************


Malam itu, tepat pukul 11.00 malam, mereka bergerak dari hotel dan menuju semula ke Kampung Seri Bertam. Sampai sahaja di kawasan kampung, Ustaz Baba meletakkan kereta di tepi sebuah hutan yang ada di kampung itu. Dia kemudiannya mematikan enjin kereta dan duduk bertiga bersama Ustaz Fitri dan Saliha di dalam kereta. Mereka sebenarnya sedang menunggu untuk mendengar siulan yang boleh membawa maut itu. 

Semasa menunggu, Ustaz Fitri terus berzikir dengan tasbih yang dibawanya. Dia juga membawa air zam zam yang telah diruqyahkan. Malam itu suhu agak dingin. Mungkin kerana kampung tersebut ada banyak pokok. Ustaz Baba dan Saliha pula sekadar bermain telefon pintar mereka. 

“Ustaz rasa betul ke kalau kita dengan bunyi siulan tu kita boleh mati?” Soal Ustaz Baba. Sebenarnya dia agak takut berada di kawasan itu. Dalam kalangan mereka bertiga, hanya dia yang tiada ilmu dalam menangani hal-hal mistik. Dia ikut ini pun kerana diminta oleh Ustaz Fitri untuk menjadi pemandu dan menjadi teman agar Ustaz Fitri tidak berdua-duan dengan Saliha. 

“Saya pun tak tahu Ustaz. Malam ni kita dengar. Kalau malam ni kita mati, maka betul la tu.” Ustaz Fitri menjawab. Ustaz Baba meneguk liur pahitnya manakala Saliha pula tersenyum kecil mendengar kata-kata Ustaz Fitri itu. 

Selain sejuk, keadaan pada masa itu sungguh hening dan sunyi. Tiada kelihatan orang lalu lalang di kawasan itu. Tidak sampai dua kilometer di hadapan sana, ada beberapa rumah kampung yang dibina secara berjauhan antara satu sama lain. Mungkin benar kata Tok Saifuddin. Penduduk kampung itu takut untuk keluar pada waktu malam. Takut terdengar bunyi siulan yang boleh mematikan itu. 

Sedang asyik mereka melayan perasaan masing-masing, tiba-tiba mereka terdengar bunyi siulan dari arah hutan. Mereka bertiga menegakkan badan. Bulu roma mereka turut berdiri. Ustaz Fitri langsung membaca ayat-ayat ruqyah dengan kuat di dalam kereta itu. Ustaz Baba membaca ayat Kursi dan zikir-zikir yang dia tahu. Manakala Saliha pula cuba mengaktifkan tenaga semester yang positif di dalam dirinya. 

“Ustaz Baba tunggu dalam kereta ya. Jangan pergi mana-mana. Saya dan Saliha nak masuk hutan untuk pergi siasat. Ustaz Baba boleh buka radio yang memperdengarkan bacaan Al-Quran. Insha Allah tiada apa-apa.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Baik.” Balas Ustaz Baba pendek. 

Ustaz Fitri dan Saliha masuk ke dalam hutan dengan berjalan kaki. Mereka membawa lampu suluh untuk menerangi jalan di hutan yang gelap-gelita itu. Mereka berjalan dengan penuh hati-hati kerana takut terjatuh. Sepanjang mereka berjalan, mereka terus menerus mendengar bunyi siulan itu. 

"Saya dapat rasa tenaga negatif yang sangat kuat di sini." Kata Saliha sambil berjalan. “Saya tak tahu makhluk apa yang buat bunyi siulan ni tapi tenaga negatif dia sangat kuat.” 

Ustaz Fitri sekadar mengangguk. Dia terus membaca ayat-ayat ruqyah sepanjang dia berjalan. Siulan itu berbunyi seperti melodi duka - lambat dan menyedihkan.  

“Ustaz, saya dapat rasa satu tenaga negatif yang sangat kuat, laju dan besar sedang menuju ke arah kita. Kita kena hati-hati.” Ucap Saliha. Ustaz Fitri sekadar mengangguk. 

Tiba-tiba muncul satu makhluk yang sangat besar di hadapan mereka. Makhluk itu setinggi tiga lelaki dewasa, berwarna hitam dan berbulu. Mereka berdua tidak dapat melihat wajah makhluk itu tetapi makhluk itu mempunyai dua mata berwarna merah. 

Makhluk itu cuba mendapatkan Ustaz Fitri dan Saliha namun mereka berdua berlari dan berpecah. Ustaz Fitri terus membaca ayat-ayat ruqyah dengan suara nyaring manakala Saliha pula menghalakan tangannya ke arah makhluk itu untuk menyalurkan tenaga positifnya pada makhluk itu. Ustaz Fitri pula selain merenjis air zam zam pada makhluk itu, dia juga mencampakkan garam dan lada hitam ruqyah. Gabungan ruqyah dan tenaga semester positif daripada Ustaz Fitri dan Saliha telah membuatkan makhluk itu kesakitan dan makhluk itu pun menjerit. Siulan yang keluar dari makhluk itu tadi bertukar menjadi jeritan.

Serangan bertubi-tubi dari Ustaz Fitri dan Saliha telah melemahkan makhluk itu. Walaupun makhluk itu cuba melawan, namun makhluk itu tidak mampu. Akhirnya makhluk itu mengalah lalu menghilangkan diri. 

“Saya rasa makhluk itu la yang buat siulan tu selama ini.” Ujar Saliha setelah mendapatkan Ustaz Fitri. 

“Betul, dan makhluk itu jugalah yang membunuh penduduk kampung ni.” Balas Ustaz Fitri. 


**************


Keesokan harinya, Ustaz Fitri dan Saliha pergi membuat siasatan. Mereka hendak tahu apa yang telah berlaku di kampung itu. Kemunculan makhluk itu pasti ada sebabnya. Makhluk itu tidak akan muncul secara tiba-tiba. Pasti ada sesuatu yang membuatkan makhluk itu muncul dan membunuh penduduk kampung. 

Hasil wawancara mereka dengan penduduk kampung, pernah berlaku satu pembunuhan yang melibatkan seorang wanita bernama Qamariah 20 tahun dahulu. Wanita itu dibunuh dan ditanam oleh suaminya di dalam hutan. Qamariah dituduh curang dengan lelaki lain oleh suaminya. Oleh kerana marah dan tanpa usul periksa, dia dibunuh dengan sangat kejam.  

“Di mana jasad Qamariah sekarang?” Soal Ustaz Fitri kepada Tok Saifuddin. Mereka pada masa itu berada di rumah penghulu kampung itu. 

“Lepas polis jumpa jenazah dia di hutan, dia sudah dikuburkan dengan baik.” Jawab Tok Saifuddin. 

“Apa yang jadi dengan suami dia sekarang?” Tanya Saliha pula. 

“Suami dia kena gantung sampai mati oleh mahkamah lima belas tahun lepas.” Tok Saifuddin menjawab.  

“Selain suami dia, ada tak ahli keluarga dia yang lain?” Ustaz Fitri bertanya. 

“Kalau tak salah saya, adik dia ada tinggal di sebelah selatan kampung ni. Adik dia tu bomoh. Ramai orang yang pergi dapatkan tangkal azimat, pelaris dan minyak pengasih dari adik dia.” Balas Tok Saifuddin. 

“Siapa nama adik dia tu?” Soal Saliha. 

“Hamidi.” Tok Saifuddin membalas. 

“Saya yakin yang serang kita semalam bukan qorin Qamariah. Itu makhluk lain.” Ujar Ustaz Fitri. Dia minum teh suam yang dihidangkan oleh isteri Tok Saifuddin di ruang tamu rumah kampung itu. 

“Apa-apa pun, kita kena jumpa Hamidi untuk siasat.” Kata Saliha.

“Betul tu. Mari kita pergi cari dia.” Balas Ustaz Fitri. 


*************


Ustaz Fitri dan Saliha pergi ke rumah Bomoh Hamidi secara berkereta yang dipandu oleh Ustaz Baba. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke sebuah rumah kampung yang agak uzur. Rumah itu kecil sahaja dan jika dilihat dari luar, rumah itu kelihatan agak menyeramkan.

“Rumah ni penuh dengan tenaga negatif. Terlalu banyak. Memang pemilik rumah ni memang mengamalkan sihir yang sangat dahsyat.” Ujar Saliha setelah dia turun dari kereta. 

“Yup, rumah ni bukan sahaja suram malah seram. Hanya orang yang bersekutu dengan iblis sahaja suka tinggal di rumah ni.” Kata Ustaz Fitri. Ustaz Baba hanya diam. Dia tidak berkata apa-apa. Melihat rumah tua uzur itu sudah menakutkan dirinya. 

“Ada perlu apa kalian ke mari?” Soal seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di muka pintu rumah itu. Wajah lelaki itu garang dan menakutkan. Uban sudah memutih di kepalanya. Dia memakai baju-T dan kain pelikat yang agak lusuh. 

“Kami datang ni nak jumpa Hamidi.” Balas Ustaz Fitri. “Dia ada?”

“Sayalah Hamidi.” Kata lelaki itu. “Ada perlu apa awak nak jumpa saya?” Lelaki itu bertanya dengan agak kasar.    

“Saya nak tanya pasal kakak tuan yang nama Qamariah tu…yang meninggal 20 tahun lepas.” Jawab Ustaz Fitri. 

“Kenapa awak sibuk-sibuk nak tahu pasal dia?” Soal Hamidi dengan muka masam. 

“Tiada apa cuma kami nak siasat pasal bunyi siulan yang sering mengganggu penduduk kampung ni pada waktu malam. Kami cuma nak tahu adakah dia ada kaitan dengan siulan tu.” Ustaz Fitri membalas. 

“Tak payah nak sibuk-sibuk. Dia dah lama meninggal. Tak payah kacau dia. Kalian semua boleh balik!” Kata Hamidi dengan tegas seraya menutup pintu rumahnya dengan kasar. Ustaz Fitri dan Ustaz Baba sekadar menggelengkan kepala melihat ulah Hamidi itu. 

“Saya dapat rasakan yang makhluk semalam itu ada di sini. Tenaga negatif makhluk semalam itu begitu kuat di sini. Saya yakin makhluk bersiul semalam tu ada kaitan dengan Hamidi.” Ujar Saliha. 

“Awak yakin Saliha?” Ustaz Fitri memandang wajah Saliha.

“Ya, saya sangat yakin.” Saliha menjawab. 

“Kalau macam tu, kita kena hantar semula makhluk ni pada tuan dia. Biar dia rasa pula apa yang dia buat kat orang.” Balas Ustaz Fitri. 


*********** 


Malam itu malam bulan purnama mengambang. Ustaz Fitri, Ustaz Baba dan Saliha pergi semula ke hutan. Malam itu seperti biasa agak sejuk dan sunyi. Saliha dan Ustaz Fitri berjalan berdua di hutan manakala Ustaz Baba tunggu di dalam kereta. Saliha cuba mengesan tenaga negatif yang dipancarkan oleh makhluk itu. Ustaz Fitri pula terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. 

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi siulan yang kuat dan menusuk seperti biasanya. Tidak lama kemudian, makhluk hitam besar itu muncul dengan mata merah. Dari makhluk itu jelas kedengaran bunyi siulan tanpa henti.

Ustaz Fitri mula membaca ayat Kursi dengan suara kuat. Saliha pula mula merasakan tenaga negatif makhluk itu mula mendekat ke arah mereka berdua. Ustaz Fitri mula menyembur air zam-zam ke arah makhluk itu. Dia juga melempar garam dan lada hitam ke arah makhluk itu. Sesudah itu, dia pukul makhluk itu dengan kayu pohon bidara.

Saliha pula tidak tinggal diam. Dia cuba menyalurkan tenaga semester yang aktif dalam dirinya kepada makhluk itu dengan cara menghalakan tapak tangan. Tenaga semester yang disalurkan oleh Saliha itu telah menyebabkan makhluk itu lemah. Pukulan dengan kayu bidara oleh Ustaz Fitri pula menyebabkan makhluk itu kesakitan. 

Ustaz Fitri terus membaca ayat ruqyah dan ayat Al-Quran lagi. Dia cuba untuk menghantar makhluk itu kepada tuan dia semula. Dengan ilmu Ustaz Fitri digabung pula dengan tenaga semester yang ada pada diri Saliha, makhluk itu tercampak pergi dan kembali semula kepada tuan dia. 

“Esok kita akan tahu, siapa yang punya makhluk bersiul yang suka bunuh orang ni.” Ujar Ustaz Fitri. 


**************  


Keesokan harinya, gempar berita yang Hamidi meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan. Beberapa penduduk kampung yang hendak pergi ke kebun menemui mayatnya. Keadaan mayatnya sungguh menakutkan. Wajahnya kelihatan pucat dan kebiruan. Matanya terbutang dan terperosok ke dalam. Mulutnya ternganga dan keadaan kulitnya berkedut seribu.

Mendengar berita itu, Tok Saifuddin, Ustaz Fitri, Saliha dan Ustaz Baba pergi ke rumah Hamidi. Mereka sungguh terkejut melihat keadaan dan rupa mayat Hamidi. 

“Memang sah la. Hantu bersiul tu memang dia yang bela.” Ujar Ustaz Fitri. 

“Apa?” Tok Saifuddin agak terkejut mendengar kata-kata Ustaz Fitri. 

“Sebenarnya yang bersiul dan membunuh penduduk kampung ni bukan roh atau qorin Qamariah tetapi Jin yang dipuja oleh Hamidi. Saya tak tahu apa tujuan dia tapi itulah yang dia buat.” Tambah Ustaz Fitri. 

“Ya Allah…dahsyat betul dia ni. Tapi saya rasa saya tahu kenapa dia buat macam ni.” Kata Tok Saifuddin. 

“Kenapa?” Ustaz Fitri dan Saliha bertanya serentak. 

“Sebab duit. Sejak ada penduduk kampung ni ada yang mati dengar siulan hantu tu, ramai yang ke rumah Hamidi minta tangkal. Dia boleh jana pendapatan dekat situ.” Tok Saifuddin menjawab. 

“Licik juga bomoh ni.” Balas Ustaz Fitri. 

“Apa pun terima kasih Ustaz dan Cik Saliha kerana sudi datang dan tolong saya. Saya hargai sangat-sangat.” Kata Tok Saifuddin. 

“Eh tak ada apakah. Dah tugas kami. Harap lepas ni penduduk kampung tak perlu berasa takut ni.” Balas Ustaz Fitri. 

“Begitu hendaknya.” Tok Saifuddin tersenyum.

Sejak meninggalnya Bomoh Hamidi, Kampung Seri Bertam kembali tenang. Mereka tidak lagi mendengar bunyi siulan yang membawa maut itu. Mereka juga sudah tidak takut lagi untuk keluar pada waktu malam. Sesungguhnya, hantu yang bersiul itu sudah pergi dari hidup mereka.  


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.