Imej sebenarnya bukan sekadar persoalan estetika atau seni visual semata-mata, tetapi juga salah satu persoalan paling asas dalam sejarah pemikiran manusia tentang hakikat realiti, pengetahuan dan kewujudan itu sendiri. Apa sebenarnya maksud imej? Adakah sekadar salinan lemah daripada sesuatu yang lebih nyata atau sesuatu yang telah menjadi realiti itu sendiri di zaman kita sekarang?
Terdapat banyak ulasan yang boleh diberikan terhadap imej. Antaranya, imej digambarkan melalui manusia biasa sebagai tahanan yang hanya melihat bayang-bayang di dinding gua yakni bayang-bayang yang dicipta oleh objek tiruan yang dibawa di belakang mereka, diterangi api.
Justeru, imej boleh dinyatakan seperti di bawah :
* Dunia deria (sensible world) hanyalah dunia imej (eikones).
* Imej ini adalah salinan daripada objek fizikal.
* Objek fizikal pula hanyalah salinan daripada idea atau bentuk (forms) yang sempurna dan kekal di alam akal (intelligible realm).
Justeru, imej adalah dua kali terpisah daripada kebenaran hakiki. Pelukis atau penyair yang mencipta imej bukan sahaja tidak mengenal hakikat, malah mereka sengaja memperdaya jiwa manusia dengan menarik perhatian kepada penampilan semata-mata. Imej sebenarnya sangat berbahaya kerana boleh menjauhkan manusia daripada pencarian kebenaran menuju idea yang benar.
Selain itu, kita boleh mengetengahkan konsep imej dari dimensi yang lebih kaya dan kurang menghukum. Kita boleh menyatakan imej dalam gagasan tentang khayal (imaginasi) yang bukan sekadar fakulti rendah, malah menjadi jambatan antara deria dan akal.
Kita juga boleh menyatakan kewujudan imej dalam satu alam perantara iaitu dunia imej yang digantung atau dunia imej yang terpisah.
Justeru, konsep imej boleh diketengahkan melalui ciri-ciri berikut :
* Imej di situ bukan material (bukan di tempat fizikal).
* Imej itu ‘digantung’ (suspended) — tiada badan dan tiada lokasi tetapi tetap wujud dengan kejelasan dan realiti sendiri.
* Alam ini menjadi tempat pengalaman rohani, mimpi benar, visi para nabi malah kehidupan selepas mati.
Sebagai manusia, kita boleh merendahkan imej. Namun, kita juga boleh melihat imej sebagai modus kewujudan yang sah dan penting, malah lebih dekat dengan cahaya kebenaran berbanding dunia material yang gelap.
Jika kita melihat imej sebagai salinan yang lemah, kita juga boleh melihat imej moden yang telah memusnahkan apa yang asalnya disalin.
Terdapat empat fasa evolusi imej :
1. Imej sebagai cerminan realiti mendalam (good appearance) → imej mewakili sesuatu yang benar-benar wujud.
2. Imej menutup dan memutarbelitkan realiti (evil appearance) → propaganda, iklan palsu.
3. Imej menutup ketiadaan realiti → imej berpura-pura ada rujukan, padahal tiada.
4. Imej menjadi simulacra tulen → imej tidak lagi merujuk kepada apa-apa realiti sebaliknya menjadi realiti itu sendiri (hyperreality).
Di era media digital, media sosial, AI-generated images, deepfake dan metaverse, kita hidup dalam fasa keempat. Contohnya, perang di TV bukan lagi perang sebenar, tetapi simulasi perang. Influencer bukan hidup sebenar, tetapi ‘kehidupan yang dipentaskan’, malah identiti diri kita kini lebih wujud di feed Instagram berbanding di dunia fizikal.
Perlu diingatkan bahawa imej berupaya menjauhkan kita daripada hakikat. Namun, imej juga boleh menjadi pintu menuju cahaya kebenaran, selain imej boleh membunuh hakikat yakni pemikiran tentang imej yang menunjukkan satu trajektori yang dramatik.
Pada masa ini, ketika setiap orang membawa berjuta imej dalam poket (telefon pintar), persoalan tentang imej tidak lagi bercakap tentang definisi imej itu sendiri sebaliknya :
* Adakah masih ada realiti di luar imej?
* Bolehkah kita kembali kepada hakikat tanpa melalui imej?
* Adakah kita telah menjadi makhluk yang hanya wujud dalam dan melalui imej?
Mungkin jawapan yang paling jujur ialah, imej bukan lagi sekadar bayang-bayang di dinding gua. Imej telah menjadi gua itu sendiri dan kita, tanpa sedar, telah menjadi bayang-bayang di dalamnya.
Pemikiran tentang imej mengajak kita bukan untuk menolak imej, tetapi untuk bertanya dengan lebih tajam yakni apa yang imej sembunyikan dan apa yang imej, dengan kejamnya, telah hapuskan?
0 comments:
Catat Ulasan
Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.