Sabtu, 7 Mac 2026

SUAMI CEO BENCI AKU!

Seorang wanita bernama Rinieta (bukan nama sebenar) telah menghubungi saya untuk menceritakan kisah hidupnya yang agak tragis dan pilu. Jika mendengar kisahnya, pasti hati pembaca akan rawan sehingga mampu mengalirkan air mata. 

Akhirnya, setelah bertukar-tukar maklumat, saya bersetuju untuk menemui Rinieta di mukim Bangsar. Tujuan saya bertemu dengannya bukan sahaja untuk melakukan wawancara tetapi juga ingin mendapatkan maklumat dan mendengar ceritanya.  

Kami bertemu di sebuah taman permainan kanak-kanak yang berhampiran dengan rumahnya di suatu pagi. Oleh sebab hari tu hari bekerja, jadi tiada orang atau kanak-kanak di taman permainan itu. Hanya kami berdua sahaja. 

Rinieta : Kalau dengar cerita saya ni mamang nampak macam novel tapi perkara ni memang betul-betul berlaku pada saya. Terima kasih abang sebab sudi jumpa dan wawancara saya. Saya memang berharap sangat kita dapat berjumpa supaya abang boleh wawancara saya. Saya harap kisah hidup saya ini dapat dijadikan iktibar dalam masyarakat.

Saya : Baik, sama-sama. Kalau awak tak keberatan, boleh kita mulakan?

Rinieta : Baik, boleh. 

Saya : Boleh awak ceritakan sedikit tentang latar belakang diri awak? 

Rinieta : Nama saya Rinieta. Berusia 22 tahun. Saya berasal dari kampung Padang Siding. Saya bersekolah sampai SPM sahaja. Saya ni masa sekolah tak berapa pandai. Keputusan SPM saya pun banyak subjek dapat C dan D. Boleh kata saya ni pelajar yang bodoh juga la. Habis sekolah, saya bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat di Kuala Lumpur. Saya suka kerja tu walaupun kerja tu memenatkan. Ye la, sebab gunakan tenaga kan? Tapi saya sangat suka kerja saya sebab saya tahu kelulusan saya setakat mana. Jadi, apa kerja yang ada saya buat sahaja.

Saya : Boleh saya tahu apa tugas awak sebagai tukang cuci? 

Rinieta : Secara umumnya tugas saya membersihkan lantai, meja dan segala sudut pejabat dari dari pukul 8.00 pagi sampai 6.00 petang.

Saya : Boleh saya tahu pasal keluarga awak? 

Rinieta : Saya mak ayah dah takde. Mak dan ayah meninggal sejak saya masih kecil lagi. Saya tinggal dengan nenek.

Saya : Ohh…faham…Okay, sekarang boleh saya tahu apa kisah yang awak nak kongsikan dengan saya tu?

Rinieta : Macam ni bang. Semuanya bermula dari satu salah faham yang tragis. Suatu hari, saya sedang membersihkan bilik boss saya, Qairan (bukan nama sebenar) nama dia. Dia CEO kat syarikat yang saya kerja tu. Boss saya tu memang tampan tapi dia sombong sikit. Masa saya tengah buat kerja petang tu, dia masuk ke bilik dia lepas tu dia terus duduk kat kerusi kerja. Dia kata dia pening kepala. Jadi dia suruh saya ambil panadol dan air kat pantry. Saya pun pergilah ambil dan bawa pergi jumpa dia. Dia makan panadol tu lepas tu dia bersandar kat kerusi. Dia suruh saya picit kepala dia. Saya memang tak nak tapi sebab saya kesian, saya pun buatlah.

Saya : Awak buat tu dalam keadaan terpaksa ke rela?

Rinieta : Paksa rela (tertawa kecil).

Saya : Okay lepas tu?

Rinieta : Masa saya urut kepala dia tu, tiba-tiba mak dia masuk. Mak dia syak saya ada hubungan dengan dia. Puas saya nafikan tapi mak dia tak percaya. Lepas tu mak dia paksa saya kahwin dengan dia.

Saya : Hah? Picit kepala pun boleh kena tuduh macam tu?

Rinieta : Ya, saya tahu mak dia buat macam tu sebab mak dia nak dia kahwin. Dia ni playboy bang. Tidur dengan perempuan sana sini. Mak dia nak hadkan aktiviti dia tu jadi mak dia paksa kahwin dengan saya.

Saya : My God… (terkejut)

Rinieta : Jadi, kami pun kahwin paksa. Tapi jujur cakap saya sukakan dia sebab dia hensem tapi dia tak sukakan saya. (pilu) Sejak saya kahwin dengan dia, hidup saya berubah menjadi mimpi buruk. Di pejabat, Qairan selalu marah dan malukan saya depan orang ramai. Dia selalu panggil saya tukang cuci bodoh depan semua orang. Kalau ada kesilapan kecil, macam lantai tak cukup berkilat ke, dia akan jerit-jerit marah saya. Saya sangat malu bang. Tapi saya tahan demi kerja dan cinta saya. (menangis) Lebih sedih bang, dekat rumah, saya dipaksa menjadi orang gaji!. Qairan arahkan saya bersihkan rumah, memasak, membasuh baju, dan melayan segala keperluan dia macam hamba. Saya tidur di bilik kecil milik orang gaji bang. Dia tak izinkan saya tidur sebilik dengan dia. Setiap malam, dia akan hina saya. Dia selalu cakap yang saya ni miskin dan tak ada pendidikan tinggi. Dia selalu cakap yang saya tak layak jadi isteri dia sebab saya cuma tukang cuci. Saya selalu menangis sorang-sorang bang tapi tak ada siapa yang nak tolong. (suara bergetar)

Saya : Habis, mak ayah dia tak cakap apa-apa bila dia buat awak macam tu?

Rinieta : Kami duduk asing bang. Kami tak duduk sekali dengan mak ayah dia. Jadi mak ayah dia tak tahu.

Saya : Mak ayah dia okay tak dengan awak?

Rinieta : Mak ayah dia okay bang. Mereka baik je dengan saya. Dia je yang bermasalah.

Saya : Awak tak cuba bercerai ke dengan dia?

Rinieta : Saya cuba nak bercerai dengan dia tapi dia tak nak lepaskan saya. Dia kata, sampai ayah dia meninggal baru dia akan ceraikan saya. Ayah dia bagi syarat, kalau dia nak mewarisi harta dan syarikat, dia kena pertahankan perkahwinan ni.

Saya : Depan mak dan ayah dia, macam mana perangai dia?

Rinieta : Depan mak dan ayah dia, dia berlakon baik dengan saya. Dia akan layan saya macam puteri. Bila balik je ke rumah kami, perangai dia yang jahat tu datang balik.

Saya : Pandai ye dia berlakon.

Rinieta : Sangat pandai bang.

Saya : Berapa lama dah awak kahwin dengan dia?

Rinieta : Dah nak masuk tujuh bulan bang.

Saya : Ohh…masih baru lagi. Jadi, apa perancangan awak lepas ni?

Rinieta : Entahlah bang…saya pun tak tahu. Sejujurnya saya sayangkan dia. Macam mana teruk pun dia layan saya, tapi entah kenapa saya cintakan dia. Mungkin saya ni perempuan yang bodoh.

Saya : Dia pernah ke pukul awak?

Rinieta : Tak pernah bang. Biasanya dia akan sakitkan hati saya guna mulut je. Setakat ni la. Tak tahu la pada masa akan datang.

Saya : Tadi awak cerita yang Qairan tu playboy. Dia masih lagi ke buat perangai lama tu?

Rinieta : Masih lagi bang. Boleh kata kerap juga la dia bawa perempuan masuk ke rumah kami. Bertukar-tukar perempuan setiap minggu.

Saya : Ya Allah…sedihnya…

Rinieta : Memang sedih bang. Hancur hati saya bila dia buat macam tu.” 

Saya : Awak kena kuat. Dah sampai masanya awak kena ambil tindakan. Sampai bila awak nak menderita sampai macam ni.

Rinieta : Entahlah bang. Saya memang menderita. Tapi pada masa yang sama saya bahagia. Saya gembira sebab dapat jadi isteri dia.

Saya : Apa yang saya boleh cakap, saya harap awak akan terus kuat menghadapi ujian ini. Kalau awak dah tak tahan, masih banyak jalan keluar yang awak boleh pilih.

Rinieta : Baik bang. Terima kasih atas nasihat tu. Saya harap abang boleh tulis kisah hidup saya ni. Saya harap orang yang baca kisah saya ni jangan jadi bodoh macam saya. Kena hina dengan suami sendiri pun masih boleh bertahan lagi.

Saya : Baiklah. Terima kasih kepada awak sebab sudi hubungi saya untuk berkongsi kisah ini. Saya doakan agar awak dapat mengecapi kebahagiaan awak. 

Rinieta : Baik, terima kasih bang. 

Kisah Rinieta ini mengingatkan kita betapa kejamnya dunia ini terhadap golongan miskin dan tak berpelajaran. Di sebalik kemewahan bandar, ada cerita pilu seperti ini yang tersembunyi.

Pembaca yang dikasihi, jika anda ada nasihat atau bantuan untuk Rinieta, hubungi saya. Mari kita doakan agar Rinieta mendapat kekuatan untuk bangkit. Ingat, tak ada yang kekal selamanya. Mungkin suatu hari, Qairan akan insaf atau Rinieta akan temui kebahagiaan sebenar. Sampai jumpa di kisah seterusnya!


Catatan Editor: Nama w butiran tertentu diubah untuk melindungi identiti mangsa.


0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.