Selasa, 3 Mac 2026

JELAJAH MALAM : BANGLO ARFY

“Hai korang…macam biasa malam ni saya sekarang berada di depan sebuah banglo lama yang dinamakan sebagai Banglo Arfy. Rumah dua tingkat ni sudah 17 tahun ditinggalkan. Korang teruja tak nak masuk dalam rumah ni? Saya teruja walaupun takut. Apa pun, jom kita masuk.” Ujar Anisah kepada kamera. 

Anisah masuk ke kawasan rumah banglo lama itu. Halaman rumah itu dipenuhi dengan semak samun. Pokok-pokok renek sudah semakin menebal dan meninggi di halaman rumah itu. Anisah menebas pokok-pokok yang menghalang laluan untuk masuk ke dalam rumah tersebut dengan parang yang dia bawa dari rumah. 

Di luar banglo, Anisah melihat sebatang pokok rambutan liar yang sudah menjalar hingga ke bumbung. Anisah juga melihat tingkap rumah itu sudah banyak yang pecah, cat sudah pudar dan mengelupas serta terdapat banyak lukisan vandalisme di dinding. Anisah terus merakam dan menyuluh atas apa yang dilihatnya. 

“Korang tahu tak kenapa saya datang ke banglo ni? Sebab Banglo Arfy ni bukan biasa-biasa tau. Dulu, pemilik banglo ni yang didakwa bernama Arfy telah mengurung isteri dia sendiri dalam satu bilik kat tingkat atas. Mengikut cerita, dia kurung isteri dia dalam bilik tu selama lima hari. Lima hari penuh tanpa makanan dan tanpa air sebab cemburu buta je korang. Isteri dia didakwa meninggal dalam bilik tu. Bila si Arfy buka bilik tu, isteri dia dah meninggal. Mengikut cerita, si Arfy ni kena tangkap dan kena hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah.” Anisah bercerita kepada penonton melalui kamera. 

Anisah melangkah masuk ke dalam rumah. Mujur pintu utama rumah yang diperbuat dari kayu jati itu tidak berkunci jadi dia dapat masuk dengan mudah.    

“Sekarang saya dah masuk korang. Korang boleh tengok rumah ni. Rumah ni besar gila. Sebelah kiri ni saya rasa dia punya ruang tamu sebab nampak ada sofa. Kalau kita terus, saya rasa kita akan jumpa ruang makan dan dapur.” Kata Anisah kepada kamera. 

Anisah melangkah ke ruang tamu di sebelah kiri rumah. Lantai rumah penuh dengan sampah dan bersepah-sepah. Terdapat kaca, botol, kain dan sebagainya di lantai banglo itu. Terdapat juga televisyen dan rak yang tak digunakan. Ada juga dua tiga sofa dan kerusi lama. Bau hapak dan busuk begitu kuat menusuk hidung. Anisah kemudiannya mengarahkan lampu suluh dan kamera ke dinding. Di situ terdapat beberapa gambar keluarga yang masih tergantung dengan elok.   

“Korang tengok ni. Ada beberapa gambar kat dinding. Ada gambar berdua dan ada gambar berempat. Mungkin salah satu orang dalam gambar ni ialah Arfy dengan isteri dia. Saya rasa yang tua ni mungkin mak atau nenek dia.” Anisah berkata kepada kamera. 

Setelah puas menjelajah di ruang tamu, Anisah menjelajah pula ke ruang makan. Di situ terdapat sebuah meja yang agak panjang. Anisah rasa di situlah mereka sekeluarga makan bersama. Kemudian Anisah masuk ke ruang dapur. Di ruang dapur masih terdapat banyak pinggan, mangkuk dan cawan yang telah lama ditinggalkan. Terdapat juga sebuah meja yang sederhana besar dan peti ais rosak. Ada juga bungkusan makanan dan botol-botol yang masih terletak di rak walaupun sudah berhabuk. Pendek kata, ruang dapur itu sangat lengkap sebelum ditinggalkan terbiar sebegitu rupa. 

Di tingkat bawah banglo itu juga, Anisah dapat mengakses halaman belakang. Di situ, terdapat sebuah kolam renang yang agak besar. Namun, airnya sudah berwarna hitam dan berbau. Terdapat juga pokok-pokok bunga di dalam pasu yang sudah mati kerana tidak terjaga.

 Setelah puas menjelajah di tingkat bawah, Anisah naik pula ke tingkat atas melalui tangga. Semasa menaiki tangga, Anisah merasakan ada seseorang yang turut sama menaiki tangga bersamanya. Segera dia pusing bersama kamera dan lampu suluh untuk melihat wujudkah sesiapa di situ. Namun, tiada siapa di tempat itu. Hanya dirinya seorang diri. 

Di tingkat atas terdapat lima buah bilik. Setiap bilik dilengkapi dengan almari, katil dan meja solek. Ada juga bilik yang dilengkapi dengan sofa. Namun, keadaan semua bilik sangat tidak terurus. Sampah di mana-mana sahaja memenuhi lantai. Ada tilam yang terletak elok di atas katil dan ada tilam yang sudah terlempar jauh dari katil. Terdapat juga pakaian lelaki dan wanita yang masih ada di dalam almari. 

Meskipun di tingkat atas mempunyai lima bilik, hanya empat bilik sahaja yang Anisah boleh masuk. Terdapat sebuah bilik yang berkunci. Di hadapan bilik itu terdapat garisan polis berwarna kuning. Anisah cuba membuka pintu bilik itu namun tidak berjaya. 

“Korang, saya rasa bilik inilah tempat isteri Arfy tu dikurung. Sebab nampak garisan polis ni. Mungkin polis kot yang tutup bilik ni sebab ada kematian. Bilik ni saya rasa dah jadi tempat jenayah.” Ujar Anisah kepada penonton melalui kamera.  

Tiba-tiba, Anisah terdengar seseorang mengetuk pintu dari dalam bilik yang berkunci itu. Pucat lesi dan seram sejuk dirinya waktu itu. Segera dia berundur ke belakang. Dia sangat terkejut mendengar ketukan yang sangat dia tidak jangka waktu itu. 

“Korang dengar tak tu? Ada orang ketuk dari dalam!” Anisah beritahu kepada penonton melalui kamera. Namun ketukan itu sebentar sahaja dan dia tahu itu bukan ketukan yang dibuat oleh manusia.  

Anisah menarik nafas panjang. Segera dia baca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon pertolongan Allah.  

Anisah mahu masuk ke bilik itu tetapi pintu bilik itu sukar dibuka. Jadi, dia membatalkan niat tersebut. 

Kemudian, Anisah terbau sesuatu yang sangat busuk seperti bau bangkai. Bau itu keluar secara tiba-tiba. Anisah menyuluh ke sini sana untuk mencari punca bau tetapi tidak jumpa. Justeru, Anisah buat tidak endah akan bau tersebut. 

Dengan lampu suluh dan kamera, Anisah memutuskan untuk masuk ke dalam sebuah bilik yang paling besar. Anisah rasa itu master bedroom. Tadi dia hanya lihat sekali imbas sahaja. Kali ini dia hendak masuk dan meneroka betul-betul dalam bilik itu. Di dalam bilik itu, terdapat sebuah katil saiz king. Terdapat juga sebuah almari pakaian yang terbuka. Di dalam almari itu, terdapat banyak baju lelaki dan wanita yang tergantung rapi meskipun sudah berhabuk. Terdapat juga meja solek yang cerminnya sudah pecah. Dan di sudut bilik, tepat di bawah tingkap yang sudah pecah, terdapat banyak botol minuman keras. 

Tiba-tiba, Anisah terdengar seperti ada suara orang berbisik. Segera dia menyuluh dan merakam di sini sana untuk mencari punca suara namun tidak jumpa. Bulu roma Anisah mula berdiri. Terus dia baca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon pertolongan Allah.  

Habis sahaja Anisah membaca ayat-ayat suci Al-Quran, dia mula lihat entiti seorang perempuan berdiri tepat di sebelah kirinya. Segera dia menoleh bersama kamera dan lampu suluh. Di situ, dia melihat entiti itu berambut panjang kusut-masai, muka pucat kebiruan, mata cengkung ke dalam dan bibir kering retak-retak. Entiti perempuan itu memakai baju tidur berwarna putih yang sudah kuning kerana kotoran dan darah kering.

Anisah agak terkejut melihat entiti itu namun dia cuba bertenang. Berhadapan dengan entiti sebegitu bukanlah asing baginya. Sudah banyak kali dia jumpa. Meskipun takut, dia sudah lali. Dia terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon pertolongan Allah agar entiti itu tidak mengapa-apakan dirinya.   

“Tengok korang entiti tu. Saya rasa macam nak cabut lari ni. Rasa nak terkencing dan nak terberak pun ada ni.” Kata Anisah kepada kamera yang terus merakam entiti itu. Lama juga entiti itu berada di situ. Dalam beberapa minit juga. Tidak lama kemudian, entiti itu pun menghilang. 

Setelah entiti itu menghilang, Anisah terdengar suara jeritan perempuan di luar bilik. Segera dia keluar dari bilik itu untuk mencari suara jeritan itu tetapi tidak jumpa. 

Anisah berasa sangat penat menjelajah ke rumah itu. Bukan sahaja dia penat berjalan, malah dia juga penat diserang rasa takut. Dia duduk di lantai sebentar untuk melepaskan lelah. Badannya agak menggigil. Tidak tahu menggigil sebab apa. Sebab takut atau sebab terlalu penat. Dia meletakkan lampu suluh dan kameranya ke lantai sambil menghadap dirinya agar dirinya dapat terakam dalam kamera. 

Kemudian dia mendengar seperti bunyi besi yang dihempas ke lantai. Segera Anisah angkat semula kamera dan lampu suluhnya untuk mencari bunyi besi tadi tetapi dia tidak jumpa. Mungkin ‘penghuni’ banglo itu sengaja mengganggu dirinya dengan bunyi tersebut. 

Setelah letihnya sedikit berkurangan, Anisah bangun kembali. Dia bercadang untuk menamatkan jelajahnya dan mahu keluar dari rumah itu. Dia turun perlahan-lahan tangga yang dia naik tadi. 

Semasa hendak menuruni tangga, dia mendengar suara tangisan perempuan. Dia tidak pasti suara itu datang dari mana. Sama ada di tingkat bawah atau tingkat atas. Dia terus menyuluh ke sana sini untuk mencari punca suara tetapi tidak jumpa. 

Dia hanya mampu berzikir, berdoa dan membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon perlindungan Allah. Meskipun suaranya sedikit bergetar kerana takut, tetapi dia teruskan bacaan. 

Semasa hendak menuruni tangga, dia nampak ada tangan di pemegang tangga. Hanya tangan sahaja. Tiada badan, tiada kaki dan tiada kepala. Anisah berhenti sejenak sambil menyuluh merakam. Tangan berwarna hitam itu tidak bergerak. Anisah terus diserang rasa takut namun dia cuba bertenang. Zikir dan doa tidak putus-putus keluar dari mulutnya. Kemudian dia melihat tangan itu bergerak dan menghilang secara perlahan-lahan setelah beberapa minit. 

“Korang nampak tak tangan tu tadi? Rasa nak tercabut jantung saya tengok tangan tu tadi? Tangan siapa tu korang? Tangan orang ke tangan hantu?” Soal Anisah kepada kamera. 

Anisah menarik nafas panjang. Setelah bertenang, Anisah terus menuruni tangga itu. Kemudian dia terus melangkah keluar dari kawasan rumah tersebut sambil dia membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Mujur sepanjang perjalanan dia keluar dari rumah itu, tiada gangguan lagi yang dia terima. Dia sangat bersyukur akan hal itu. 

“Okaylah korang. Sampai di sini sahaja video kali ni. Saya harap korang enjoy dengan video saya kali ni. Jangan lupa untuk like, comment, share dan subscribe ye korang. Kita jumpa lagi pada video yang akan datang. Bye…” Ujar Anisah kepada kamera. 

Dia kemudiannya kembali ke kereta dan terus pulang ke rumah tanpa menoleh ke belakang lagi. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.