Ahad, 15 Mac 2026

PATUNG

Ada keheningan yang tidak pernah sunyi. Hanya bisu yang berbicara dan diam yang bergema. Itulah patung. Sebongkah batu, seketul kayu atau sejalin logam yang dihembuskan ‘nyawa’ oleh tangan kreatif, lalu berdiri tegak melawan zaman. Dalam dunia yang hiruk-pikuk dengan bunyi, patung memilih untuk diam. Namun dalam diam sebuah patung, tersimpan ribuan cerita, jutaan makna dan segudang tanya.

Patung adalah penyair bisu - tidak melafazkan kata, tetapi bahasa patung lebih kuat dari ribuan perkataan. Bangun pagi di kota besar, kita disapa patung pahlawan yang gagah menunggang kuda dengan mata memandang jauh ke ufuk - mengingatkan kita supaya tidak lupa pada sejarah. Di sudut taman tema air, patung kanak-kanak yang sedang bermain mengingatkan kita pada erti kegembiraan yang hilang ditelan rutin. Patung-patung ini berpuisi melalui bentuk yakni lipatan baju yang ditiup angin, urat-urat tangan yang mengepal dan senyuman kecil yang terpahat kekal. Setiap lengkuk dan lekuk adalah metafora, setiap rongga dan tonjolan adalah perlambangan.

Dalam kesenyapan, patung menjadi saksi bisu perjalanan masa. Patung melihat empayar bangkit dan runtuh selain menyaksikan kegemilangan dan kehancuran. Patung Buddha di Bukit Chaiya, selatan Thailand, umpamanya, telah berabad-abad direnjat hujan dan disental angin. Wajah patung itu tetap tenang dan tersenyum lembut. Patung itu seolah-olah mengingatkan kita bahawa segala sesuatu akan berlalu dan hanya kedamaian yang kekal. Sementara itu, patung-patung pahlawan di mana-mana tempat sering kali mengingatkan kita sama ada perjuangan nenek moyang masih diteruskan ataupun tidak. 

Apa yang paling mengharukan ialah patung-patung yang sudah rosak - tangannya patah, hidungnya pecah atau tubuhnya ditumbuhi lumut. Kecederaan ini bukan cela, sebaliknya menambah martabat. Patung sebegini sama seperti orang tua yang tubuhnya sudah bongkok dan kulitnya berkedut, tetapi matanya masih bersinar mengenang masa muda. Patung rosak mengajar kita bahawa kecantikan sejati bukan pada kesempurnaan, tetapi pada ketahanan menghadapi ujian. Retak di dahi patung dewa mungkin kerana ribuan kali dicium cahaya mentari pagi. Lumut di kaki patung dewi mungkin kerana berabad-abad direnjat embun. Patung-patung ini menjadi ‘wira penyangga’ yang diam-diam memikul tanggungjawab menyimpan ingatan kolektif.

Patung tua yang duduk di kompleks candi pada waktu senja sering kali berdiam diri dan tidak pernah berasa bosan. Namun, dalam diam, patung itu menyimpan berabad-abad peristiwa. Patung tersebut tahu rahsia para raja yang pernah bersujud di kakinya selain mendengar tangisan ibu-ibu yang kehilangan anak dalam perang dan melihat tawa kanak-kanak yang bermain di serambi candi. Ribuan cerita tersimpan dalam setiap serat batunya. Patung itu bukan bisu apatah lagi kosong. Hanya manusia yang tidak tahu malu dan tidak suka mengambil cakna. 

Patung juga menjadi cerminan zaman. Pada era klasik, patung dewa-dewi digambarkan dengan tubuh sempurna, melambangkan keagungan yang ‘maha sempurna’. Pada zaman moden, patung-patung itu mulai ‘patah’ - patung manusia tanpa kepala atau tubuh yang terpotong-potong. Bukan kerana pahat yang salah tetapi kerana jiwa zaman yang retak. Manusia moden yang terasing, kehilangan jati diri dan tercerai-berai. Patung itu pada hari ini tidak lagi mengajar kita tentang ‘kesempurnaan’, sebaliknya mempersoal kewujudan di tengah dunia yang hancur ini. Dari patung sempurna yang mengajar erti ideal, kepada patung retak yang menyoal erti kemanusiaan.

Di sudut lain, patung-patung kecil di rumah juga punya cerita. Patung Ganesha di ruang tamu yang setiap pagi diberi bunga, patung malaikat di kamar tidur yang menemani mimpi atau patung kuda laut di rak buku yang membawa nostalgia. Patung-patung ini menjadi ‘teman diam’ yang menerima segala keluh kesah tanpa membantah dan mendengar segala rahsia tanpa membocorkan. Dalam kesepian pukul tiga pagi, patung-patung kecil ini menjadi saksi air mata yang tidak dapat dikongsi dengan manusia lain.

Maka, bila kita lalu di hadapan patung, jangan terburu-buru. Hentikan langkah sejenak. Pandang wajahnya yang kaku itu. Cuba dengar. Mungkin patung itu sedang bercerita tentang zaman ketika batu ini masih menjadi gunung, sebelum dipahat menjadi bentuk. Mungkin patung itu sedang merindu sentuhan pertama pengukirnya yang kini sudah menjadi tanah atau mungkin kita boleh berfikir : kita yang hidup dan bernyawa ini, sudahkah benar-benar hidup hari ini atau kita juga sebaliknya adalah patung yang bergerak?

Patung hanya diam tetapi tidak pernah sunyi. Dalam diam sebuah patung yang maha dalam, patung akan terus berpesan supaya melihat dirinya agar kita boleh melihat diri kita sendiri.  

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.