Rabu, 4 Mac 2026

JELAJAH MALAM : KILANG BEG

“Selamat malam korang semua! Okay, malam ni saya tengah berdiri di depan sebuah sebuah kilang beg sekolah lama di pinggir mukim Kurong Anai yang sudah 15 tahun ditinggalkan. Dulu kilang ni mereka buat beg sekolah. Korang semua pasti boleh bayangkan beribu-ribu beg sekolah berwarna-warni keluar dari sini setiap bulan dulu. Tapi sekarang kilang ni dah tutup. Apa-apa pun, jom kita masuk.” Ujar Anisah kepada para penonton live Youtube-nya. 

“Korang nak tahu tak, ramai orang cakap yang mereka selalu dengar bunyi mesin beroperasi pada waktu tengah malam. Ada yang pernah nampak bayang perempuan berbaju kurung putih berjalan di atas atap kilang ni.” Anisah bercerita sambil berjalan dengan kamera dan lampu suluhnya untuk masuk ke kawasan kilang. 

Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 12:17 pagi. Anisah berjalan seorang diri untuk masuk ke kilang. Tiada siapa yang menemani kecuali kamera dan lampu suluh. Takut? Ya, dia memang takut tetapi dia seronok dan teruja pada masa yang sama. 

Anisah sampai di pintu pagar besi kilang tersebut. Pagar besi itu sudah separuh roboh. Anisah tolak pagar itu secara perlahan lalu menghasilkan bunyi yang kuat untuk memecah kesunyian malam. Bunyi pagar itu sudah cukup buat bulu roma Anisah berdiri. Setelah memastikan keadaan selamat, Anisah masuk secara perlahan-lahan ke kawasan kilang.  

Kawasan di luar bangunan kilang itu seperti biasa sudah ditumbuhi pokok besar dan pokok kecil yang menyukarkan Anisah untuk dia sampai ke bangunan kilang. Mujur dia ada parang yang dia bawa dari rumah. Jadi, dia guna parang itu untuk menebas pokok-pokok dan semak-samun yang menghalang laluannya. Sambil-sambil itu dia harus berhati-hati. Dia agak takut bertemu dengan haiwan berbisa seperti ular misalnya. 

 Dia sampai di pintu utama bangunan kilang. Pintu itu sudah rosak jadi Anisah boleh masuk dengan mudah. Mungkin kerana ada penceroboh atau pencuri atau penagih dadah yang masuk ke kilang itu secara paksa lalu merosakkan pintu. Anisah menyuluh ke segenap ruangan untuk mencari arah masuk ke dalam bangunan kilang. Debu di dalam kilang sangat tebal sehingga Anisah ingin terbersin. Dengan lafaz Basmallah, Anisah menjejakkan kaki ke dalam bangunan kilang.

Di dalam bangunan itu, dia melihat ada banyak beg sekolah lama yang dibiarkan bersepah di atas lantai. Terdapat bermacam warna beg sekolah itu seperti warna biru dan merah. Terdapat juga beg dengan gambar Hello Kitty yang sudah pudar. Anisah menyuluh dan merakam apa sahaja beg yang dia jumpa di atas lantai kilang itu.

Setelah berpuas hati dengan rakaman beg yang dia jumpa, Anisah meneruskan jelajah malamnya. Dia jalan ke bahagian tengah kilang. Dia rasa ruangan itu ialah ruangan untuk production hall. Terdapat banyak mesin yang besar-besar berada di di situ. Dia menghalakan kamera dan lampu suluhnya untuk merakam semua mesin yang ada di ruangan itu. 

“Tengok korang. Saya rasa inilah mesin yang mereka gunakan untuk buat beg-beg tu semua. Sekarang dah tak berfungsi dan beroperasi lagi. Rasa sayang sangat tengok mesin-mesin ni. Kalau jual ni, confirm boleh kaya. Haha.” Kata Anisah kepada kamera sambil tertawa kecil. 

Tiba-tiba Anisah mendengar seperti ada bunyi orang mengheret sesuatu. Segera dia menyuluh ke sana sini untuk mencari punca bunyi itu tetapi dia tidak jumpa. Anisah mula seram sejuk. Gangguan sudah pun bermula. Dia tidak risau kalau hantu yang buat bunyi itu. Dia lebih risau akan orang jahat yang menetap di situ secara rahsia. 

Apabila sudah memastikan bahawa tiada apa-apa, Anisah meneruskan jelajahnya ke bahagian belakang kilang. Di situ keadaan lebih gelap. Terdapat banyak rak besi yang tinggi-tinggi berada di situ. Di rak itu terdapat banyak kotak, kertas dan sampah sarap. Terdapat juga botol-botol dan tin-tin minuman. 

“Korang tengok ni. Kat ruangan ni ada banyak rak dan sampah. Sampah-sampah ni sama ada pekerja yang buat atau penceroboh yang buat.” Anisah berkata kepada kamera.  

Anisah terus menjelajah di ruangan itu. Di sana, Anisah jumpa kantin dan bilik locker pekerja yang sudah lama tidak digunakan. Anisah juga jumpa beberapa buah tandas dan surau yang sudah lama terbengkalai.

Setelah Anisah menjelajah di setiap ceruk dan ruangan di tingkat bawah, Anisah naik pula ke tingkat dua dengan menggunakan tangga yang penuh dengan sampah-sarap. Di tingkat dua itu ada pintu yang separuh terbuka. Anisah tolak pintu itu dan di sebalik pintu itu menempatkan ruang pejabat. Mungkin di situlah tempat kumpulan pengurusan melakukan kerja-kerja mereka. 

Terdapat banyak meja di ruangan itu. Dan di setiap meja masih ada kertas, alat tulis, cop dan fail-fail lama. Anisah belek-belek fail tersebut untuk mencari tarikh. Terdapat surat yang mempunyai tahun 2010. Dia juga jumpa satu kalendar pada tahun 2009. Anisah juga jumpa beberapa buku catatan yang dia sendiri tidak faham dengan kandungan di dalamnya. 

“Tengok ni korang. Saya jumpa surat yang ditulis pada tahun 2010. Saya juga jumpa kalendar pada tahun 2009. Memang kilang ini sudah ditinggal agak lama ye.” Ujar Anisah kepada kamera. 

Tiba-tiba Anisah terdengar bunyi tangisan kanak-kanak kecil. Segera dia menyuluh dan merakam ke sini sana untuk mencari arah bunyi itu tetapi tidak jumpa. Bunyi itu kedengaran dalam dua atau tiga minit begitu sebelum hilang secara tiba-tiba. 

Kemudian, Anisah melihat bayang hitam kecil berdiri di sudut bilik. Bayang itu setinggi kanak-kanak tujuh tahun. Bayang itu tidak melakukan apa-apa. Sekadar memerhatikan sahaja Anisah merakam dan menyuluh dirinya. Lebih menyeramkan Anisah tidak dapat melihat wajah bayang hitam itu. Anisah berasa takut namun dia cuba bertenang. Kumat-kamit mulutnya membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk memohon pertolongan Allah. 

“Tengok tu korang. Ada bayang hitam berdiri kat situ. Bayang apa tu korang? Korang nampak tak?” Soal Anisah kepada kamera.  

Beberapa saat kemudian, bayang itu pun menghilang. Kemudian Anisah terdengar pula bunyi mesin. Tidak tahu mesin apa tetapi apa yang pasti, tentulah mesin yang ada di kilang tersebut cuma Anisah tidak tahu mesin mana yang berbunyi. Mesin berada di tingkat bawah justeru Anisah malas mahu mencari dari mana arah bunyi mesin itu. Anisah buat tidak endah sahaja dan tidak lama kemudian bunyi mesin itu pun menghilang dengan sendiri. 

Anisah meneruskan jelajahnya di ruangan pejabat yang agak besar itu. Tiba-tiba, suatu fail yang terletak di atas meja yang berada di hadapannya jatuh dengan sendiri ke lantai. Anisah agak terkejut tetapi dia tidak menjerit. Cuma dia berpuas hati kerana kameranya dapat merakam kejadian aneh lagi misteri itu. 

Anisah berjalan ke arah fail yang jatuh ke lantai tadi. Di dalam fail itu ada banyak kertas. Semuanya terkeluar dari fail dan bertaburan di lantai. Anisah menyuluh dan merakam fail dan kertas yang ada di lantai itu. 

Kemudian Anisah mendengar seperti ada orang bernafas dengan kuat di sisi kanannya. Segera dia menoleh bersama kamera dan lampu suluh untuk melihat siapa atau apa yang bernafas itu namun tiada apa-apa. Rasa takut dan seram sejuk muncul lagi memeluk Anisah tetapi dia cuba bertenang. Dia kembali berzikir dan berdoa untuk memohon pertolongan Allah. 

Kemudian, Anisah mendengar suara perempuan berbisik di sisi kirinya. Anisah segera menoleh bersama kamera dan lampu suluh. Namun, seperti biasa, tiada apa-apa. Anisah sendiri tidak tahu siapa atau apa yang mengeluarkan suara bisikan itu.  

Tidak lama kemudian Anisah mendengar suara orang menjerit. Namun, Anisah tidak tahu di mana punca suara itu. Suara itu semacam dekat dengan dirinya tetapi dia tidak tahu dari arah mana suara itu muncul. Anisah berasa sangat takut masa itu. Namun dia cuba bertenang sambil berzikir dan berdoa kepada Allah.

Anisah berasa tidak sedap hati berada situ dengan lebih lama. Justeru, dia ambil keputusan untuk keluar dari kilang tersebut. Semasa dia hendak berjalan menuju ke tangga, dia mendengar bunyi orang berlari. Dia cuba mencari dari mana arah bunyi itu tetapi tidak jumpa.  

Ketika Anisah hendak turun tangga ke tingkat bawah, dia mendengar pula bunyi orang menaiki tangga. Anisah segera menyuluh dan merakam di sekitar tangga. Dia tunggu beberapa minit di atas tangga dalam keadaan tidak bergerak. Dia risau jika ada orang jahat yang masuk ke kilang itu dan mengapa-apakan dirinya. Setelah beberapa minit menunggu, dia tidak melihat sesiapa. Jadi, dia teruskan perjalanannya menuruni tangga untuk ke tingkat bawah. 

Sampai di tingkat bawah, dia masuk semula ke production hall. Tiba-tiba, dia melihat banyak beg sekolah bersusun dengan rapi di dinding ruangan itu. Seingat dia, ketika dia masuk tadi, tiada beg sekolah di situ. Jika ada pun, pastilah bersepah. Anisah mula tertanya-tanya, siapa pula yang menyusun beg-beg itu semua? Rasa takut dan tidak sedap hati mula menyerang Anisah semula. Tidak putus-putus doanya kepada Allah untuk memberinya sedikit keberanian untuk menghadapi gangguan yang ada di kilang lama itu.  

Setelah bertenang, Anisah teruskan berjalan seperti biasa. Sambil-sambil itu dia terus menyuluh dan merakam. Dia terus menuju ke pintu utama kilang untuk keluar dari bangunan tersebut. 

“Saya tak sedap hati korang nak berada dalam kilang ni lama-lama. Saya dah takut sangat ni. Saya dah tak kuat.” Ujar Anisah kepada kamera. 

Sampai sahaja di pintu utama kilang, Anisah melihat satu entiti perempuan berbaju kurung putih berdiri di sana. Entiti itu mengangkat tangannya seperti melambai. Anisah yang merakam dan menyuluh entiti itu terpaku sejenak. Dia terkejut sehingga tidak mampu berbuat apa-apa. Dia terkaku di situ seketika. Mujur sahaja dia tidak dapat melihat wajah entiti itu. 

Setelah mendapat sedikit kekuatan, Anisah membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Dia memohon pertolongan Allah agar entiti itu tidak mengapa-apakan dirinya. Dan tidak lama kemudian, entiti itu pun menghilang dengan sendiri. 

Sebaik sahaja entiti itu menghilang, Anisah lantas buka langkah seribu. Dia berlari sekuat hati menuju ke pintu pagar kilang. Dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi kerana dia terlalu takut. Keluar sahaja dari pintu pagar kilang itu, segera dia masuk ke dalam kereta. Dia kunci pintu dan menghidupkan enjin. Kemudian dia terus memecut laju meninggalkan tempat itu. 

“Korang, saya takut betul tadi tengok entiti perempuan yang melambai tu. Sesak nafas saya. Berhenti sekejap jantung saya. Tapi apa pun saya puas hati dengan jelajah saya malam ni. So sampai di sini sahaja video kali ni. So kita jumpa lagi pada video yang akan datang. Bye korang…” Anisah mematikan rakaman pada kameranya dan dia terus memandu untuk pulang ke rumah. 

0 comments:

Catat Ulasan

Terima kasih sebab sudi tinggalkan komen anda di entri ini. Setiap komen anda amat saya hargai. Walaubagaimanapun, saya kadang kala malas mahu membalas komen anda tetapi saya akan balas dengan mengunjungi blog anda semula. Pastikan komen anda tidak menghina mana mana individu, menyentuh isu perkauman, agama dan perkara perkara yang melanggar undang undang negara.